Kejayaan inovasi penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan peranan institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar menghasilkan ilmu, malah mampu memanfaatkan komuniti secara langsung sekali gus meningkatkan sosioekonomi, daya tahan dan mempromosikan keunikan Malaysia pada peringkat global.



Antara inisiatif berimpak tinggi ialah projek pembangunan laman sesawang TAPAi yang memberi fokus kepada intervensi digital dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) sebagai strategi pemasaran produk kraf seni kreatif bermotifkan batik.

Projek yang bermula sejak setahun lalu (2025) itu diterajui sekumpulan penyelidik UMT diketuai Prof. Madya Dr. Noraida Ali dengan melibatkan 15 komuniti OKU. 

Laman sesawang TAPAi berperanan sebagai platform pemasaran digital yang lebih meluas dan efektif, sekali gus membuka akses pasaran tempatan dan antarabangsa.

Salah seorang peserta, Siti Zulaikha Abdul Muin, 35, berkata projek itu memberi perubahan ketara dalam kehidupannya apabila pendapatan bulanan meningkat daripada sekitar RM500 kepada lebih RM1,500 hasil jualan kraf batik.

“Produk kami kini bukan sahaja dipasarkan di acara tempatan, malah mendapat permintaan dari luar negara seperti Dubai dan Singapura,” katanya.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan bahawa pemerkasaan digital mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup komuniti OKU selain memperkukuh daya saing produk tempatan di peringkat global.

Pada masa sama, inovasi aplikasi Think Quran untuk memahami kosa kata al-Quran turut memberi impak besar kepada penghuni Penjara Marang melalui pendekatan pendidikan rohani berasaskan teknologi.

Aplikasi itu menyokong proses rehabilitasi dengan memperkukuh sahsiah dan spiritual penghuni, sekali gus membantu mengurangkan kadar residivisme apabila mereka kembali ke pangkuan masyarakat.




Pro-Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMT, Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor berkata, kedua-dua projek itu merupakan manifestasi komitmen universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Ini termasuk menyediakan pendidikan berkualiti (SDG 4), menjana peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi (SDG 8), dan mengurangkan jurang ketidaksamaan (SDG 10).

“Sokongan rakan strategik seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu, Think Osem Sdn Bhd serta Jabatan Penjara Malaysia dan Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad (Kowata) membuktikan bahawa transformasi sosial adalah tanggungjawab kolektif.

“Saya bagi pihak UMT merakamkan penghargaan kepada pihak KPT atas sumbangan dana projek melalui Dana Kajian Sosial KPT berjumlah RM114,370.00 bagi membiayai projek-projek ini. 

"UMT komited menterjemah penyelidikan akademik kepada impak langsung yang menyentuh kelestarian hidup komuniti marginal melalui intervensi teknologi dan rohani (SDG 16),” katanya.

Tambahnya, kejayaan itu bukan sahaja memperkasa komuniti terpinggir, malah mengangkat keunikan seni kraf batik Malaysia sebagai produk bernilai tinggi di persada antarabangsa sekali gus mengukuhkan peranan inovasi tempatan sebagai pemacu pembangunan negara. - KitaReporters/Kenyataan Media


9
18
0
12
0

Copy Link: