Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed (tengah) bersama Pioneer Batch Matrik UUM 1985/87.

Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (Ansara) Pioneer Batch Matrik Universiti Utara Malaysia (UUM) 1985/87 menyerahkan sumbangan sebanyak RM87,000 untuk Dana Wakaf Khas Kepada Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan. 

Usaha murni tersebut tentunya menyemai dan memupuk lagi nilai-nilai Malaysia Madani dalam kalangan rakyat khususnya bagi membantu mereka yang memerlukan dan tidak berupaya.

Wakil Alumni Ansara Mohd Nizuaisham Mohd Sanif menyerahkan gimik sumbangan ‘mock cheque’ yang disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed dan alumni-alumni yang hadir. 


Mohd Nizuaisham Mohd Sanif menyerahkan ‘mock cheque’ (empat dari kanan) kepada Prof Dr Mohd Foad Sakdan.


Naib Canselor yang ditemui di majlis itu melahirkan rasa terima kasih atas sumbangan alumni kumpulan pelajar matrikulasi tahun pertama anjuran MARA sesi 85/87 dan juga pelajar UUM sesi Julai 1987 iaitu Batch ke-4 yang menamatkan pengajian di UUM. 

Katanya, walaupun telah lebih tiga (3) dekad meninggalkan universiti ini namun mereka tidak melupakannya malah berusaha untuk menyalurkan sumbangan dana wakaf khas bagi kegunaan pelajar di kampus ini. 

“Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) telah melantik UUM sebagai Pemegang Amanah (Mutawalli) bagi Tabung Wakaf UUM yang berkuat kuasa dari 1 Jun 2022 dan pelantikan ini juga sebagai Pemegang Amanah bagi membolehkan universiti memungut, melaburkan dana dan menggunakan hasil pelaburan selaras dengan objektif yang dibenarkan di bawah wakaf,” sambung beliau lagi. 


Mohd Nizuaisham Mohd Sanif.

Dalam pada itu katanya universiti sentiasa mengharapkan kepulangan alumni ke kampus dan bersama-sama berkongsi kepakaran, peluang pekerjaan dan juga mengharapkan sumber kewangan bagi memperkasa dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya. 

Sehingga kini jumlah terkumpul Tabung Wakaf UUM, hasil daripada sumbangan orang awam adalah berjumlah RM29,672.50 manakala jumlah terkumpul dana wakaf, hasil daripada sumbangan potongan gaji staf sehingga 31 Julai 2023 adalah berjumlah RM39,524.43 dan menjadikannya jumlah terkumpul terkini sebanyak RM69,196.93. 

Walaupun setakat ini universiti masih belum menggunakan dana wakaf ini secara khusus namun UUM sedang mempertimbang pilihan pelaburan yang dapat memaksimumkan hasil pulangan agar dapat digunakan bagi keperluan pelajarnya. 

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha ketika ditemui mengharapkan sumbangan seperti ini dapat mencetuskan satu fenomena untuk menarik minat lebih ramai alumni mengikut Batch, Pusat Pengajian dan Inapan Siswa untuk kembali membantu alma meter mereka, khususnya kepada pelajar dari kumpulan B40 atau golongan miskin. 

Turut hadir di majlis ini ialah Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan, Prof Madya Sr Dr Mohamed Sukeri Khalid dan Pengarah Pusat Islam UUM, Prof Madya Dr Mohamad Khadafi Rofie. - KitaReporters


Prof Dr Mohd Foad Sakdan bergambar kenangan bersama rombongan dari Ansara.

9
16
0
10
0

Copy Link: