TIGA pelajar Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL) mencuri tumpuan apabila masing-masing muncul antara yang terbaik dalam kategori berbeza pada Anugerah TVET Star PolyCC 2025 yang berlangsung di M Resort Hotel Kuala Lumpur pada 13 April 2026 lalu.
Muhammad Irfan Mohd Khairi terima Anugerah Kategori Keusahawanan Kolej Komuniti.
Muhammad Amirul Syafiq Adna (dua dari kanan) menerima Anugerah TVET Star PolyCC 2025 bagi kategori kesukarelawanan.
Muhammad Irfan Mohd Khairi mengungguli kategori keusahawanan, Muhammad Amirul Syafiq Adna bagi kategori kesukarelawanan, manakala Muhammad Azhar Safwan Mazatul Azahari menyerlah dalam kategori sukan.
Kejayaan itu sekali gus membuktikan pelajar Kolej Komuniti mampu berdiri sebaris dengan institusi lain pada peringkat nasional, bukan sahaja dalam akademik dan teknikal, malah turut cemerlang dalam kepimpinan dan sahsiah.
Anugerah anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) itu menjadi medan pengiktirafan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komunitu (PolyCC) yang menunjukkan pencapaian holistik merangkumi pelbagai aspek pembangunan diri.
Muhammad Azhar Safwan Mazatul Azahari terima Anugerah Kategori Sukan Kolej Komuniti.
Program di bawah komponen Talent ’26 itu mempertanding 10 kategori utama dengan penyertaan meluas dari seluruh negara.
Majlis berprestij itu turut menghimpunkan hampir 1,000 hadirin termasuk pelajar, tenaga pengajar, alumni serta kepimpinan tertinggi sektor pendidikan tinggi.
Pengarah KKKL, Mohd Asyraf Md Sum berkata, kejayaan tersebut menjadi bukti keberkesanan pendekatan institusi dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
“Pencapaian ini menjadi kebanggaan KKKL dan diharap dapat menyuntik semangat kepada pelajar lain untuk terus mencipta kejayaan,” katanya.
Mohd Asyraf Md Sum.
Dalam majlis sama, Umar Osman dari Politeknik Ibrahim Sultan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Menteri Pendidikan Tinggi, manakala Anugerah Khas Ketua Pengarah diraih oleh Muhammad Danish Danial Hairi dari Politeknik Nilai serta Muhammad Akmal Mohd Rashdan dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSSAAS). - KitaReporters

Peserta, pemenang dan tetamu kehormat bergambar kenangan selepas Majlis Anugerah TVET Star PolyCC 2025 yang berlangsung di M Resort Hotel, Kuala Lumpur pada 13 April 2026.