Ramadan Mubarak! Pelajar tahfiz baca al-Quran atas bot ke masjid! Pelajar sekolah agama disantuni!
Published bymProgram khatam al-Quran di atas bot di Sungai Melaka yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka dan Masjid Fat'hur Rahman, Pengkalan Rama pada 13 Mac 2026 adalah satu usaha yang seharusnya dipuji dan dihargai.

Inisiatif yang diambil dengan menaiki bot sambil membawa mushaf di tangan serta ayat-ayat suci Al-Quran di bibir merupakan usaha murni yang cuba diterapkan kepada para pelajar.
Dari sungai sehinggalah ke dalam masjid, alunan bacaan al-Quran memenuhi ruang. Ia membuktikan sebuah perjalanan iman yang indah dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.


Al-Quran dialunkan bermula atas bot sehinggalah ke masjid.
Usaha yang agak berbeza dengan aktiviti sebegini sewajarnya diteladani supaya wujudnya kelainan yang lebih menarik dan satu pengalaman baru bagi para pelajar.

Sementara itu, syabas dan tahniah kepada Petron, Shell, Petronas, Chevron dan Intertek yang telah sanggup turun padang menyantuni pelajar sekolah agama Maktab Wan Jah di Butterworth dan meraikan anak tahfiz serta asnaf dari Jalan Baru, Perai pada 11 Mac 2026 di Surau Al-Hidayah, Balai Pukat, Butterworth.

Yang agak berbeza ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat turut memberi pendedahan kepada mereka cara dan kaedah memadam api dengan taktik dan teknik yang lebih selamat dan betul.
Pendedahan yang dibuat secara tidak langsung ini memberi impak positif apabila pendedahan merangkumi aspek dan ciri keselamatan sedia ada.


Selain dari itu rezeki yang diraih oleh syarikat terbabit turut dikongsi bersama dengan semua pelajar.
Rata-ratanya para pelajar yang hadir menzahirkan kesyukuran dengan rezeki yang dikongsi bersama mereka.
Selepas diraikan dengan demontrasi memadam api dan iftar beramai-ramai mereka turut diberi duit raya selepas solat maghrib. - KitaReporters

