Perjalanan akademik graduan Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi ini panjang. Lebih menarik, Muhammad Harith Noor Azam berjaya melengkapkan semua peringkat pengajian akademik pada peringkat tertiary beliau kesemuanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).   

Muhammad Harith Noor Azam, 28, yang berasal dari Pulau Pinang memulakan pengajian awalnya dengan mengikuti Program Tamhidi (Asasi) di USIM sebelum menyambung pengajian pada peringkat ijazah dalam program Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat). 

Beliau seterusnya menyambung pengajian pada peringkat sarjana dalam program Sarjana Sains dan menyelesaikan Ijazah Kedoktoran beliau dalam bidang Sains dan Teknologi.  

Bercerita mengenai pengalaman kerjayanya, Harith pernah bekerja dalam bidang Sains Komputer selama tujuh tahun selepas menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda selain turut menyatakan hasrat untuk bertukar bidang dengan memohon untuk menjadi tenaga akademik di universiti tempatan.   



Berkongsi perasaan gembira dan pengalaman sepanjang mengikuti pengajian pada peringkat Doktor Falsafah ini, banyak cabaran yang perlu dihadapi dan salah satunya ialah menyiapkan tesis dan penyelidikan beliau dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan pandemik COVID-19. 

Kata beliau, waktu itu adalah waktu yang mencabar kerana beliau mengalami kesukaran untuk bertemu dengan penyelia bagi menyiapkan tesis. Walaupun keadaan pada waktu sangat sulit, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk menyiapkan tesis sehingga berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi pada hari ini.   

Selain kesukaran menyambung pengajian pada kala pandemik menular, graduan yang merupakan anak sulung dalam adik beradiknya ini juga turut membuat kerja-kerja sambilan bagi menampung kos pembelajarannya suatu ketika dahulu. 

Tiada kata yang lebih indah yang boleh diberikan kepada graduan hebat Muhammad Harith selain ucapan sukses dan maju jaya dalam bidang yang diceburi serta sekalung penghargaan dan ucapan tahniah buat beliau dalam Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21. - KitaReporters

8
12
0
10
0

Copy Link: