Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33,  bersama tunangnya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah, 32, mencuri perhatian ramai apabila ‘turun dapur’ meraikan pencapaian pensijilan halal Auntea Jenny di Sunway Velocity Mall,  pada 10 Mei 2026.



Sorakan pelanggan memenuhi ruang acara apabila pasangan yang lebih dikenali dengan singkatan ‘BASS’ itu bukan sekadar hadir sebagai wajah kolaborasi, malah sanggup meluangkan lebih sejam menjadi ‘barista’ dan menyediakan kira-kira 50 cawan minuman kepada pelanggan yang hadir.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Iszam Padil mewakili Pengarah Eksekutif  JAKIM, Muhyiddin Aziz @ Saari dan Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia, Ng Ching Wai, sekali gus menyaksikan acara menjadi simbolik kepada pencapaian penting jenama minuman teh segar itu selepas 12 cawangannya di Malaysia secara rasmi menerima pensijilan halal.

Menurut Syed Saddiq, pengalaman tersebut cukup menyeronokkan walaupun mereka perlu mengendalikan pelbagai tempahan sepanjang acara berlangsung.

“Tadi ada lebih kurang 50 minuman juga kami buat. Ada saiz besar, ada saiz kecil. Lebih sejam kami jadi cashier,” katanya berseloroh.



Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, turut mengakui pengalaman itu sangat berbeza berbanding kolaborasi lain yang pernah dilakukannya sebelum ini, kerana dia dapat melihat sendiri proses penyediaan minuman segar sebelum diserahkan terus kepada pelanggan.

“Selalunya Bella pernah cuba jadi cashier untuk jenama lain, tapi kali ini lebih unik sebab ia melibatkan F&B. Bella dapat tengok sendiri macam mana mereka siapkan minuman daripada factory line sampai terus kepada pelanggan,” katanya.

Dalam acara tersebut, kedua-duanya turut berkongsi sebab utama mereka menyokong jenama berkenaan, terutama selepas berjaya memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM.

Syed Saddiq berkata, pensijilan halal Malaysia merupakan antara standard halal terbaik dunia dan berharap lebih ramai pengusaha makanan dan minuman tampil mendapatkan pengiktirafan tersebut demi meningkatkan keyakinan pengguna.

“Mereka sudah ada lebih 40 cawangan di seluruh Malaysia dan sasaran mereka adalah untuk capai 100 cawangan. Bila dapat kerjasama dengan JAKIM, itu satu perkembangan yang sangat baik kerana sijil halal Malaysia ini dianggap golden standard halal dunia,” katanya.


Dari kiri; Bella Astilla, Ng Ching Wai, Ustaz Iszam Padil dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


Bella juga mengakui status halal menjadi antara faktor yang membuatkan beliau lebih yakin untuk memberikan sokongan kepada jenama berkenaan.

“Jenama ini sebenarnya Bella sudah lama kenal, cuma sebelum ini belum ada kesempatan untuk bekerjasama. Bila mereka buka cawangan dekat dengan rumah Bella dan sekarang sudah halal certified, Bella rasa ini masa yang tepat untuk datang beri sokongan,” tambahnya.

Tidak ketinggalan, kedua-duanya turut berkongsi pilihan minuman kegemaran masing-masing dengan Syed Saddiq memilih “Classic Mango Grapefruit”, manakala Bella memilih “Super Strawberry” kerana dipengaruhi anak perempuannya, Ara, yang sangat menggemari strawberi.

Berkongsi lanjut, Bella berkata, beliau memilih untuk kerjasama dengan mana-mana jenama yang sesui kerana percaya setiap peluang yang hadir adalah rezeki yang perlu dihargai.



Dalam pada itu, acara berkenaan yang turut berlangsung bersempena sambutan 'Hari Ibu', membuatkan Bella berkongsi rasa penghargaan mendalam terhadap ibunya yang disifatkan sebagai sumber kekuatan terbesar dalam hidupnya.

“Bagi Bella, bukan hari ini sahaja, tapi setiap hari adalah hari untuk menghargai mama. Mama sentiasa ada waktu susah, senang, sedih dan gembira,” katanya.

Bella mengakui dirinya masih belajar untuk menjadi ibu terbaik buat Ayden dan Ara dengan menjadikan ibunya sendiri sebagai contoh dalam mendidik anak-anak.

Memberikan pandangannya, Syed Saddig  menyifatkan Bella sebagai seorang wanita dan ibu yang luar biasa, selain memuji kesopanan Ayden dan Ara, yang menurutnya jelas lahir daripada didikan baik Bella sendiri.

Beliau turut mencuit perhatian apabila mengakui dirinya sedang belajar memasak daripada Bella.

“Lelaki pun kena bagus di dapur. Tapi dalam hubungan ini, Bella memang pakar, jadi saya belajar daripada dia,” katanya sambil ketawa.

Mengulas ringkas mengenai persiapan perkahwinan mereka, Bella hanya meminta orang ramai mendoakan yang terbaik sambil memaklumkan dirinya kini sibuk dengan pelbagai urusan kerja dan kolaborasi.

“Kami akan kongsikan bila masanya tiba,” akhiri kedua-duanya.



Pada majlis sama, Auntea Jenny turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Book of Records (ASEAN Records) dan Asia Book of Records (Asia Records) menerusi pencapaian “Mango Pomelo Sago Paling Laris daripada Rangkaian Minuman Teh Segar” meliputi 85,951,586 cawan terjual pada tahun 202S dan wujudnya 11,494 cawangan di 4 negara setakat Disember 2025. - KitaReporters

14
11
0
5
0

Copy Link: