Video| Netizen Indo mengamuk! Food content creator jadi sasaran! Gara-gara ayam gepuk gaya Malaysia!
Published byNama food content creator terkenal, Vincent Yeow Lim bukanlah asing dalam kalangan pencinta kandungan makanan dalam media sosial.
Pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut itu sering mencuri perhatian menerusi video masakan kreatif serta persembahan makanan yang memukau. Malah, kandungannya turut mendapat sambutan daripada peminat dari pelbagai negara, termasuk Malaysia dan Indonesia.
Namun, satu video yang dikongsinya telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen kedua-dua negara.
Menerusi video berkenaan, dia memperkenal hidangan yang dinamakan sebagai Malaysian Ayam Gepuk Nasi Lemak, selain menyifatkannya sebagai antara menu terbaik yang pernah dihasilkannya di dapur.
Bagaimanapun, penggunaan perkataan Malaysian pada nama hidangan itu mengundang pelbagai reaksi, khususnya daripada netizen Indonesia yang berpendapat ayam gepuk merupakan makanan berasal dari negara mereka.

Seorang netizen dari Indonesia tampil memberikan pandangan secara sopan dengan menyatakan bahawa penggunaan nama ayam gepuk gaya Malaysia mungkin lebih sesuai.
"Saya rasa kalau dinamakan ayam gepuk gaya Malaysia mungkin lebih bijak. Adakah selepas ini akan ada chicken adobo Malaysia, sate padang Malaysia atau carbonara Malaysia?" tulisnya sambil mengakhiri komen tersebut dengan ungkapan kasih sayang kepada rakyat Malaysia.
Namun, ada juga netizen meninggalkan komen yang agak
keras.
"Hahaha, betul. Lama-kelamaan semua makanan Indonesia akan didakwa sebagai milik Malaysia," tulis salah seorang netizen yang tidak berpuas hati.

Malah, terdapat juga netizen yang mempersoal tindakan meletakkan identiti Malaysia pada nama hidangan tersebut.
"Kalau begitu nanti ada pula tomyam Malaysia, kimchi Malaysia atau pad kra pao Malaysia?" sindirnya sambil disertakan emoji ketawa.
Bagaimanapun, ramai juga tampil mempertahan bahawa apa yang dimaksudkan oleh pencipta kandungan itu hanyalah versi Malaysia
bagi hidangan tersebut dan bukannya mendakwa ia berasal dari Malaysia.
"Dia hanya merujuk kepada versi Malaysia untuk ayam gepuk itu," jelas seorang netizen.

Malah, terdapat netizen Malaysia yang menyifatkan pertikaian mengenai makanan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya diperbesarkan.
"Tak perlulah bergaduh pasal makanan. Lebih baik fokus cari rezeki," komennya.
Seorang lagi mengakui ayam gepuk sememangnya berasal dari Indonesia, namun berpendapat rakyat Malaysia berjaya mempopularkan menu tersebut sehingga dikenali masyarakat antarabangsa.
"Memang asalnya dari Indonesia. Tetapi orang Malaysia mempromosikan hidangan ini dengan sangat baik sehingga ramai pelancong luar menyangka ia berasal dari sini," katanya.

Ada juga yang beranggapan isu tersebut sengaja dijadikan bahan provokasi bagi menarik perhatian dan meningkatkan jumlah tontonan.
"Ini sekadar umpan untuk mendapatkan lebih banyak tontonan," kata seorang netizen.

Sebenarnya, perbalahan berkaitan makanan dan budaya antara Malaysia dan Indonesia bukanlah sesuatu yang baharu.
Sejak sekian lama, kedua-dua negara serumpun ini sering menjadi perhatian apabila timbul perdebatan mengenai asal-usul pelbagai warisan budaya seperti rendang, sate, cendol, batik, wayang kulit, lagu rakyat, tarian tradisional serta hidangan popular seperti ayam penyet.
Hubungan sejarah yang panjang serta perkongsian akar budaya Nusantara menyebabkan banyak elemen warisan mempunyai persamaan.
Masyarakat di Malaysia dan Indonesia turut berkongsi pengaruh budaya Melayu, Jawa, Minangkabau, Bugis dan pelbagai etnik lain yang telah merentasi sempadan moden sejak ratusan tahun dahulu.
Justeru, tidak menghairankan apabila sesuatu hidangan mengalami perubahan dari segi rasa, ramuan dan cara penyediaan apabila diterima oleh masyarakat di negara jiran.
Nasi lemak ayam gepuk.
Fenomena sedemikian sebenarnya berlaku di seluruh
dunia. Masakan Itali mempunyai versi Amerika, makanan Jepun mempunyai versi
Korea, manakala pelbagai hidangan antarabangsa turut mengalami adaptasi
mengikut cita rasa tempatan.
Menariknya, di sebalik pertikaian yang tercetus, ramai pemerhati melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang cukup aktif mempromosikan makanan serta budaya tempatan kepada masyarakat antarabangsa.
Pelbagai hidangan yang melalui proses penyesuaian tempatan akhirnya berjaya mendapat tempat di hati pelancong dan penggemar makanan dari seluruh dunia.
Food content creator terkenal, Vincent Yeow Lim.
Persoalannya, mengapakah Malaysia sering dilihat sebagai negara yang berjaya mengangkat serta memperkenal budaya serantau kepada masyarakat dunia?
Adakah kerana keupayaan rakyatnya memasarkan makanan dan budaya secara lebih agresif atau kerana budaya Nusantara sememangnya terlalu dekat sehingga sukar dipisahkan oleh sempadan negara yang wujud pada hari ini?
Mungkin persoalan itu lebih menarik untuk
dibincangkan daripada terus bertelagah mengenai siapa yang lebih dahulu
memiliki sesuatu hidangan.
Apa pun, satu perkara yang sukar dinafikan, setiap kali nama Malaysia disebut di pentas antarabangsa, negara ini hampir sentiasa dikaitkan dengan kepelbagaian budaya serta kekayaan khazanah makanan yang berjaya menarik perhatian masyarakat dunia. - KitaReporters

