Peniaga berhati mulia! Harga nasi lemak kekal 50 sen! 30 tahun menjual! Untung sikit tapi puas hati!

Published by
KitaReporters
Anda sedar atau tidak, harga makanan dan minuman di restoran serta kedai makan malah di gerai tepi jalan kini telah meningkat agak ketara.
Alasan yang diberi oleh pihak peniaga ialah mereka terpaksa menaikkan harga kerana harga barangan basah, minyak dan sebagainya sudah meningkat. 

Osman Che Mat berharap akan dapat terus mengekalkan harga nasi lemak pda harga 50 sen.


Tetapi golongan peniaga yang hanya mementingkan keuntungan besar sengaja mencari alasan kenaikan harga barangan sebagai alasan.

Kenaikan harga barangan asas makanan dan minuman serta petrol akan ada harga naik turunnya, sedang harga makanan dan minuman yang sudah naik tidak akan diturunkan.

Malah ia akan lebih membesarkan jurang keuntungan bagi peniaga makanan dan minuman. 



Contohnya bagi roti canai. Bagi sekilo, kenaikan harga barang asas seperti tepung, minyak, gas memasak dan lain-lain mungkin sekitar 30-50 sen. Namun harga sekeping roti canai dinaikkan 20 sen. Dan bagi sekilo tepung sebanyak 20 ke 30 keping roti boleh dihasil (ikut saiz).  

Jadi dengan kenaikan barangan asas sebanyak 20-30 sen, penjual roti canai sebenarnya telah mendapat untuk berganda-ganda. 

Memang 9 daripada 10 rezeki datang melalui perniagaan. Namun masih ada golongan peniaga yang terlalu mementingkan untung, tanpa memikir kesukaran hidup sejumlah golongan masyarakat dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Namun masih ada segelintir golongan peniaga yang berhati mulia. Tetap mementingkan kebajikan masyarakat sekeiiling. 

Mereka sanggup mengekalkan harga lama dan meminimumkan keuntungan. Mereka percaya dengan harga tidak dinaikkan akan mengundang lebih ramai pembeli dan ia boleh menambah keuntungan walaupun tidak banyak.



Salah seorang perniaga berhati mulia ialah penjual nasi lemak yang dikenali sebagai Othman Che Mat, 72. Othman sudah menjual nasi lemak sejak 30 tahun lalu.

Dia membekalkan nasi lemak kepada Warung Lejen di Sungai Bayor, sebuah pekan kecil di Selama, Perak.  

Ketika awal berniaga harga nasi lemak cuma 30 sen  yang kemudian dinaik kepada 50 sen dan kekal hingga sekarang. Dari 50 sen itu sebanyak 10 sen diambil sebagai komisen oleh pemilik. Jadi harga ‘sebenar’  yang dijual cuma 40 sen setiap bungkus. 

Jadi keuntungan bersih hanya sekitar RM15 hingga RM20 sehari. Setiap bungkus kandungannya sama seperti 30 tahun lalu dengan  mengandungi sambal, lauk ikan bilis dan potongan satu perempat telur rebus.

Sebanyak 300 bungkus nasi lemak disedia dari Isnin sehingga Jumaat, sementara pada Sabtu dan Ahad ditambah menjadi 500 bungkus.  


Osman dan isteri memulakan proses memasak seawal 3 pagi dan dihantar ke warung selepas solat subuh. 

Sekitar jam 6.30 pagi, Warung Lejen sudah didatangi pembeli untuk mendapatkan nasi lemak. Pembeli terdiri daripada pekerja kampung, kilang dan pelajar yang ingin mendapatkan sarapan mampu dibeli.

Walaupun cuma mendapat untung bersih antara  RM15 ke RM20 sehari, namun Othman dan isteri tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh. 

Ini kerana mereka bukan mementingkan keuntungan semata-mata. Lebih penting dapat berbakti kepada masyarakat setempat yang memerlukan sarapan berharga murah. 

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, Othman berharap dapat terus menjual nasi lemak pada harga 50 sen.


Nasi lemak 50 sen menjadi pilihan utama pengunjung Warung Lejen, Sungai Bayor di Selama, Perak.


Warung Lejen yang bertahan sejak 36 tahun lalu selain nasi lemak turut menjual beberapa sarapan dan minuman lain. Namun nasi lemak tetap menjadi buruan.

Menurut pemilik Warung Lejen, Ghazali Muda, 67, kerana popularnya nasi lemak 50 sen di warung itu, terdapat juga yang datang membeli dari daerah lain.

Kita berharap agar lebih ramai golongan peniaga berhati mulia yang tidak mementing untuk mengaut untung besar semata-mata ketika ramai masyarakat yang menghadapi masalah ekonomi yang semakin runcing. - KitaReporters

18
11
0
12
0

Copy Link: