Video| Biar betik! Guna tangkai cili, susu bertukar jadi yogurt? Eksperimen tular! Ramai nak tahu!

Published by
KitaReporters

Yogurt merupakan produk tenusu yang dihasilkan melalui proses penapaian susu menggunakan bakteria baik, khususnya daripada kumpulan lactobacillus dan streptococcus thermophilus

Makanan ini bukan sahaja terkenal dengan rasanya yang sedikit masam dan menyegarkan, malah kaya dengan probiotik yang membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman.



Pengambilan yogurt secara sederhana dikatakan mampu membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, selain menjadi sumber protein, kalsium dan beberapa vitamin penting.

Namun, tular pula satu video dalam media sosial yang mendakwa hanya dengan menggunakan tangkai cili padi, susu biasa boleh bertukar menjadi yogurt.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Rani Sitepu yang mengakui dirinya sendiri pada mulanya sukar mempercayai apa yang berlaku walaupun melihatnya dengan mata sendiri.

"Tak mengapa kalau kalian tak percaya. Saya sendiri semalam tengok depan mata pun masih macam tak percaya.

"Tapi nanti kalau cuba dan menjadi, jangan lupa tag saya ya," tulisnya sambil menyertakan emoji hati dan wajah tersenyum.



Perkongsian itu dengan pantas menarik perhatian ramai dan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai sama ada tangkai cili benar-benar mampu membantu proses penghasilan yogurt.

Seorang netizen, tampil memberikan pandangannya dengan menjelaskan bahawa tangkai cili mengandungi bakteria lactobacillus yang boleh menyebabkan susu menggumpal.

"Betul kak. Tangkai cili mengandungi bakteria lactobacillus yang boleh menggumpalkan susu," tulisnya. 

Penjelasan tersebut sekali gus membuatkan ramai mula tertanya-tanya sama ada semua jenis cili mempunyai fungsi yang sama. 

Ada netizen bertanya sama ada cili merah, cili hijau, cili kerinting atau cili padi boleh digunakan, atau adakah hanya jenis tertentu yang sesuai untuk tujuan tersebut. 



Dalam pada itu, seorang lagi netizen, mengakui dirinya terkejut apabila secara kebetulan membaca satu lagi perbincangan yang menyarankan tangkai cili ditumbuk bersama sambal bagi mengelakkan sakit perut. 

"Baru tadi saya baca tentang sambal yang menyarankan tangkai cili jangan dibuang kerana mengandungi bakteria yang boleh membantu perut. Sekarang untuk yogurt pula tangkai cili dikatakan menjadi pembentuk yogurt. 

"Pelik juga sebab kedua-dua perbincangan itu saya jumpa secara kebetulan ketika melayari media sosial," katanya.

Ramai juga yang ingin mengetahui kaedah penyediaannya.  



Sementara itu seorang lagi netizen bertanyakan cara membuatnya sebelum Rani mengarahkan orang ramai melihat video yang dimuat naik dalam akaunnya.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan masing-masing mengenai proses penapaian susu. Pada masa sama, seorang netizen berkongsi petua membuat yogurt secara tradisional tanpa memerlukan mesin pembuat yogurt.

Katanya, susu hanya perlu dipanaskan sehingga suam dan bukannya mendidih sebelum dicampurkan dengan yogurt asli tanpa perisa.  

"Masukkan ke dalam bekas yang boleh mengekalkan suhu supaya proses penapaian lebih stabil. Biarkan selama lapan jam. Kaedah tangkai cili seperti yang dikongsikan juga boleh dicuba," jelasnya. 



Tidak berhenti di situ, Rani memaklumkan dia akan melakukan satu lagi ujian pada keesokan harinya. 

Kali ini, dia mahu membandingkan susu yang dipanaskan secara manual dengan susu yang tidak dipanaskan tetapi dibiarkan selama 12 jam.

Perkongsian itu terus mendapat perhatian ramai dengan ada yang meninggalkan ‘jejak’ kerana mahu mengetahui hasil eksperimen tersebut.



Walaupun dakwaan mengenai tangkai cili padi mampu menukarkan susu menjadi yogurt menarik perhatian ramai, beberapa pengguna media sosial mengingatkan bahawa proses penghasilan yogurt sebenarnya bergantung kepada kehadiran bakteria baik yang sesuai serta keadaan penapaian yang terkawal.

Tidak mustahil bakteria semula jadi yang terdapat pada permukaan tumbuhan tertentu, termasuk tangkai cili, boleh mencetuskan proses penapaian. 

Namun, hasilnya mungkin berbeza-beza dan tahap kebersihan serta keselamatan makanan juga perlu diberi perhatian.

Apa pun, video tersebut berjaya mencetuskan rasa ingin tahu ramai sehingga ada yang sudah bersedia untuk mencuba sendiri di rumah. 

Persoalannya, benarkah tangkai cili padi mampu menghasilkan yogurt atau ia sekadar kebetulan yang berlaku hasil kehadiran bakteria semula jadi pada permukaan tangkai tersebut?

Mungkin hanya lebih banyak eksperimen dan penjelasan daripada pakar makanan mampu memberikan jawapan yang lebih tepat. Tapi tak salah kalau anda mahu mencubanya sendiri. - KitaReporters


15
11
0
7
0

Copy Link: