Video| Nasi lemak mendonia! Dah sampai India! Teruja lihat uncle India masak hidangan kebangsaan!

Published by
KitaReporters

Makanan sememangnya menjadi bahasa universal yang mampu menyatukan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negara. 

Jika sebelum ini rakyat Malaysia sering melihat makanan dari luar negara tular dalam media sosial tempatan, tetapi kali ini situasinya berlaku sebaliknya apabila nasi lemak, makanan kebangsaan Malaysia, berjaya mencuri perhatian di India.



Perkara itu berlaku selepas pencipta kandungan makanan popular dari India, Villatic Foods, memuat naik video memaparkan proses penyediaan dan menikmati nasi lemak bersama.

Apa yang lebih menarik, Villatic Foods bukanlah nama asing dalam dunia media sosial. Saluran yang terkenal dengan kandungan makanan kampung dan masakan tradisional India itu mempunyai lebih 8.6 juta pengikut dari seluruh dunia.

Video tersebut dengan pantas menarik perhatian rakyat Malaysia yang berasa bangga apabila hidangan ikonik negara itu berjaya menembusi sempadan dan dikenali masyarakat India.



Dalam video berkenaan, kumpulan tersebut dilihat menyediakan nasi lemak lengkap dengan sambal, telur, timun dan beberapa bahan sampingan lain sebelum menikmati hidangan itu secara beramai-ramai.

Namun seperti biasa, perkara yang paling mencuit hati netizen ialah cara mereka menyebut nama nasi lemak.

Ramai yang menyedari perkataan nasi lemak disebut sebagai ‘nasi lima’ atau ‘nasi limak’, sekali gus mengundang pelbagai komen lucu daripada rakyat Malaysia.



"Nasi lemak, bukan nasi lima," komen salah seorang netizen Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi netizen turut bergurau dengan meninggalkan komen: “Malaysia nasi limak! Haha."

Walaupun terdapat pelbagai gurauan mengenai sebutan nama hidangan tersebut, majoriti netizen sebenarnya meluahkan rasa bangga kerana nasi lemak kini mendapat perhatian di negara yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk itu.  

"Nasi lemak dah sampai dekat India," tulis salah seorang netizen. 



Malah ramai juga memuji usaha Villatic Foods mempelajari dan mencuba makanan dari negara lain.

"Uncle memang hebat! Rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina atau India, kami semua suka nasi lemak. Hari-hari makan pun tak jemu!"



Dalam ruangan komen juga berlaku perdebatan santai mengenai asal-usul nasi lemak apabila beberapa individu tampil memberikan pelbagai versi cerita.

Ada yang mendakwa hidangan itu berasal dari Indonesia, ada yang mengaitkannya dengan Singapura dan tidak kurang juga yang mencipta kisah lucu semata-mata untuk menghiburkan sesama sendiri. 

Namun majoriti netizen tampil mempertahan identiti nasi lemak sebagai hidangan yang cukup sinonim dengan Malaysia.



"Nasi lemak memang sarapan ikonik Malaysia dan sentiasa menjadi kegemaran ramai! Jangan sampai orang lain pula yang 'claim' ia milik mereka, okay,” tegas netizen.

Selain itu, ramai juga kagum melihat bahan-bahan yang digunakan dalam penyediaan hidangan tersebut, khususnya sambal dan belacan.  

“Bagaimana mereka boleh dapatkan belacan ya?” tanya salah seorang netizen. 



Apa yang paling menarik sebenarnya ialah bagaimana satu hidangan tempatan Malaysia mampu sampai dan mendapat perhatian pencipta kandungan terkenal di India.

Jika sebelum ini rakyat Malaysia sering melihat nasi lemak dipromosikan oleh pelancong asing yang datang ke negara ini, kini hidangan itu sudah berada di dapur masyarakat India sendiri.

Malah ada netizen yang berseloroh bahawa Villatic Foods boleh membuka kedai nasi lemak di kampung mereka kerana yakin hidangan tersebut akan mendapat sambutan. 

“Uncle, bukalah kedai nasi lemak di kampung anda. Pasti setiap hari ada orang datang membeli dan menikmatinya,” saran salah seorang netizen.

Seorang lagi netizen turut meluahkan rasa bangga apabila melihat nasi lemak diperkenal di India Selatan.

"Wow, nasi lemak Malaysia, hidangan ikonik negara kami, kelihatan begitu menyelerakan apabila disajikan di India Selatan."



Siapa sangka, daripada sekadar sepinggan nasi yang dimasak dengan santan, kini ia menjadi hidangan yang mampu menghubungkan rakyat Malaysia dan India menerusi kecintaan terhadap makanan.

Nampaknya selepas ini, bukan sahaja rakyat Malaysia yang bangga dengan nasi lemak, malah semakin ramai masyarakat luar negara mula mengenali dan menikmati hidangan yang selama ini menjadi kebanggaan negara.

 Syabas semua! - KitaReporters



13
14
0
8
0

Copy Link: