Putrajaya bukan hanya menjadi pusat pentadbiran negara dengan pelbagai bangunan moden dan artistik tapi turut terserlah sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia seperti Putrajaya Steps dan Pantai Floria yang mampu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.



Kini, terdapat sebuah lagi tarikan yang boleh anda cuba jika inginkan percutian dengan keselesaan hotel dalam suasana alam semula jadi? Cubalah glamping di GL@W, Wetland Putrajaya! Ia adalah sebuah aktiviti yang semakin hangat dalam kalangan belia kita.

Tidak kira yang remaja atau sudah berkeluarga, aktiviti ini lebih sesuai untuk semua lapisan masyarakat berbanding dengan camping kerana ia menyediakan suasana lebih selesa dan glamour. Glamour camping dijadikan Glamping.


Hannah Yeoh (tengah) merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland, Putrajaya sambil ditemani Mohd Sakeri Abdul Kadir (kiri) dan Muhammad Azmi Mohd Zain.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, GL@W Putrajaya di Taman Wetland Presint 13 adalah sebuah tempat glamping yang terbaharu di pusat pentadbiran negara itu yang dibuka sejak akhir 2021.

Beliau berkata, selari trend masa kini, GL@W Putrajaya menawarkan pengalaman glamping kelas pertama dengan suasana rustik (kedesaan) kepada gaya yang tidak terlalu moden tapi menonjolkan ciri semula jadi, lasak, kekampungan serta elemen tradisional seperti kayu dan warna warni bumi.

"Glamping bukan anda bermalam dalam hutan tapi lebih terasa seperti dalam taman. Masih mengekalkan keindahan "outdoor" tapi ia lebih kemas dan teratur. Walaupun bukan dalam hutan, anda akan tetap terasa aman dan damai tanpa bunyi bising kota raya. 


Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti riadah seperti ATV, berbasikal, flying fox, wall climbing, abseiling, leap of faith dan jungle trekking.


"Tapak Perkhemahan Taman Wetland Presint 13, Putrajaya yang dinaik taraf ini menawarkan pengalaman rekreasi dalam bandar dengan kemudahan lebih selesa, selamat dan mesra keluarga selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar raya hijau dan berdaya huni.

"Justeru, warga kota Putrajaya kini tidak perlu lagi keluar jauh untuk menikmati pengalaman berkhemah bersama keluarga dalam suasana alam semula jadi," katanya ketika Majlis Perasmian Tapak Perkhemahan Taman Wetland Putrajaya.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.


Hannah berbual bersama sebahagian penuntut UPM yang mengadakan aktiviti rekreasi di Tapak Perkhemahan Taman Wetland, Putrajaya.  


Sehingga Mac 2026, Putrajaya merekodkan kehadiran lebih enam juta pengunjung dan pelancong berbanding 4.4 juta bagi tempoh sama 2025. 

Peningkatan ini menunjukkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi terus mendapat sambutan khususnya dalam kalangan warga bandar.

"Pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal tetapi bagaimana rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti bersama keluarga dan komuniti.

"Jumlah pengunjung ke Taman Wetland Putrajaya turut menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu daripada 444,938 pengunjung pada tahun 2023 kepada 473,602 pengunjung (2024) dan meningkat kepada 487,371 pengunjung pada 2025," katanya.


Dual zipline sepanjang 420 meter yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai “Longest Parallel Double Zipline” di Malaysia turut menjadi antara tarikan utama berhampiran Tapak Perkhemahan Taman Wetland, Putrajaya.


Tapak perkhemahan ini dibangunkan di kawasan seluas 5,210 meter persegi dengan 48 ruang khemah yang mampu menampung antara 120 hingga 200 pengguna pada satu-satu masa. Kadar sewa ditawarkan serendah RM50 bagi tempoh dua hari satu malam.

"Pengunjung boleh menyewa khemah dan kelengkapan lain seperti kerusi, katil dan lampu. Operator yang dilantik oleh Perbadanan Putrajaya juga menawarkan inisiatif “weekday discount” kepada pengunjung yang ingin menikmati suasana perkhemahan yang lebih tenang dan kurang sesak.

"Kemudahan lain yang disediakan termasuk tandas, bilik mandi, surau, bekalan elektrik, kawasan parkir, dewan makan dan ruang terbuka untuk aktiviti komuniti serta kekeluargaan.


 Hannah Yeoh bergambar kenangan dengan sebahagian penuntut UPM yang mengadakan aktiviti rekreasi di Tapak Perkhemahan Taman Wetland, Putrajaya. 


Mungkin ramai tertanya-tanya, apa yang boleh dilakukan di sini kerana lokasi perkhemahan itu bukan terletak dalam suasana hutan, tentu tiada air terjun dan sebagainya?

"Hakikatnya, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti riadah seperti ATV, berbasikal, flying fox, wall climbing, abseiling, leap of faith dan jungle trekking.

"Dual zipline sepanjang 420 meter yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Longest Parallel Double Zipline” di Malaysia turut menjadi antara tarikan utama di kawasan itu," katanya. - KitaReporters

12
12
0
9
0

Copy Link: