Keunikan budaya dan gastronomi Sabah dan Sarawak kini dibawakan terus ke tengah ibu negara menerusi program ‘Flavour of Sabah Kaamatan & Taste of Sarawak Gawai’ di Kampung Kitchen, Ibis Kuala Lumpur City Centre (KLCC).  



Program yang berlangsung dari 8 Jun hingga 21 Jun 2026 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chiew Choon Man pada 10 Jun 2026 dan merupakan hasil kerjasama strategik bersama The Native Cafe Sabah serta Mercure Miri City Centre dengan sokongan Tourism Malaysia bagi memperkukuh imej negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Lebih daripada sekadar promosi makanan, acara ini menjadi platform untuk mengetengahkan warisan seni, kraftangan serta tradisi unik masyarakat Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang kepada khalayak lebih luas. 



Chiew dalam ucapannya menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman budaya dan mempromosikan identiti Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia, malah mewujudkan peluang ekonomi penting kepada penggiat seni serta pengusaha komuniti tempatan. 

“Melalui promosi ini, pengunjung dapat menikmati cita rasa asli, tradisi, kraf tangan, muzik dan layanan mesra masyarakat Sabah dan Sarawak. 

"Pengalaman ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman budaya, malah mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti tempatan, penggiat seni, pengusaha kraf tangan dan pemain industri pelancongan,” ujarnya. 


Chiew Choon Man memukul gong sebanyak tujuh kali tanda perasmian program 'Flavour of Sabah Kaamatan & Taste of Sarawak Gawai' di Ibis Kuala Lumpur sambil disaksikan oleh Dennis Teng (kanan) dan Mohd Roslan Abdullah (kiri) serta tetamu-tetamu kenamaan lain.



Menurut Chiew lagi, program sebegini bukan sekadar promosi makanan, sebaliknya menjadi platform untuk mengetengahkan seni, tradisi, kraf tangan serta kisah warisan yang diwarisi sejak turun-temurun. 

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut antaranya Pengurus Besar ibis KLCC, Dennis Teng dan Pengarah Kanan Pelancongan Domestik & Acara, Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah.

Sementara itu, Dennis turut menyatakan komitmen pihaknya untuk terus meraikan kepelbagaian unik Malaysia dengan menawarkan pengalaman budaya yang bermakna kepada para tetamu.

“Kami mahu membawa pengalaman budaya yang bermakna kepada pengunjung sambil meraikan kepelbagaian yang menjadikan Malaysia benar-benar unik,” katanya.




Sesungguhnya, dalam dunia pelancongan hari ini, pengalaman menjadi antara faktor utama yang dicari oleh pelawat. Pelancong bukan lagi sekadar mahu melihat tempat baharu, tetapi mahu merasai sendiri budaya, makanan, cerita dan cara hidup sesebuah komuniti. 

Dalam konteks itu, penganjuran ‘Flavour of Sabah Kaamatan & Taste of Sarawak Gawai’ ini dilihat sebagai satu usaha yang tepat dalam memperkenal kekayaan dua negeri di Borneo itu kepada khalayak lebih luas.

Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat di Semenanjung dan pelancong luar untuk mengenali Sabah dan Sarawak bukan hanya melalui pemandangan alam atau destinasi pelancongan, tetapi melalui rasa, seni, muzik, pakaian tradisional dan nilai budaya yang menjadi identiti masyarakatnya.


Antara pelbagai jenis masakan yang boleh dirasai.


Keistimewaan program ini adalah ia membawa “jiwa Borneo” ke tengah Kuala Lumpur. Pengunjung dapat merasai pengalaman yang lebih dekat dengan suasana perayaan Kaamatan dan Gawai tanpa perlu terbang ke Sabah atau Sarawak sekali gus menjimatkan perbelanjaan.

Hidangan tradisional yang menggunakan ramuan tempatan, persembahan kebudayaan dan pameran kraf tangan menjadikan ia lebih daripada sekadar promosi makanan, tetapi satu pengalaman pembelajaran budaya.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi pelancongan negara yang semakin memberi penekanan kepada pengalaman autentik waima budaya dan gastronomi merupakan aset besar Malaysia kerana kepelbagaian etnik dan warisan tempatan menjadi kelebihan yang sukar ditandingi oleh destinasi lain.

Pada masa sama, program sebegini turut memberi kesan positif kepada komuniti budaya apabila penggiat seni, pembuat kraf tangan dan pengusaha makanan tradisional mendapat ruang untuk memperkenal hasil mereka kepada pasaran lebih luas. 

Ia bukan sahaja memelihara warisan, malah membantu memastikan tradisi tersebut terus hidup dan dihargai generasi baharu.

 Promosi ini berlangsung dari 8 hingga 21 Jun 2026 dan menjadi bukti nyata bahawa warisan kulinari serta budaya merupakan jambatan utama dalam menghubungkan identiti negara serta memperkukuh rasa bangga terhadap khazanah warisan sendiri. - KitaReporters




12
15
0
6
0

Copy Link: