Video| Pelik ke? Makan durian dengan lemang? Durian dengan nasi, budu? Durian dengan makanan pedas?

Published by
KitaReporters

Setiap kali musim durian datang, seperti biasa penggemar raja buah itu mula 'naik hantu'. 

Di Malaysia, musim durian lazimnya berlaku dua kali setahun, dengan musim utama sekitar Jun sehingga Ogos. Manakala sesetengah kawasan menikmati musim kecil sekitar November sehingga Januari bergantung kepada cuaca dan lokasi kebun. 



Setiap kali musim durian tiba, bukan sekadar gerai durian dipenuhi pelanggan, malah media sosial juga dibanjiri pelbagai gelagat penggemar durian yang berkongsi cara unik menikmati buah kegemaran mereka. 

Kalau dulu kita biasa dengar durian dimakan bersama pulut, santan atau dijadikan pengat, kini semakin ramai tampil dengan kombinasi yang lebih kreatif.

Ada yang menikmatinya bersama cendol, roti, biskut, ais krim, malah ada juga yang mencecah durian dengan kopi panas. Pendek kata, selagi rasa itu memuaskan tekak sendiri, tiada siapa yang mampu menghalang.

Satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @hanimaduuuuuu mengundang perhatian ramai apabila memaparkan durian dimakan bersama lemang. Maklumlah, lemang biasanya dimakan bersama rendang. 

Ringkas sahaja soalannya dalam kapsyen. "Pelik ke makan durian dengan lemang?"



Soalan itu ternyata membuka ruang kepada para netizen berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing. 

Menariknya, sebahagian besar netizen menganggap gabungan itu bukanlah sesuatu yang pelik, malah menyifatkannya sebagai perkara biasa terutama dalam kalangan masyarakat di beberapa negeri.

"Secara amnya lemang pun pulut juga, cuma extra santan dan dibakar."

Pendapat itu turut dipersetujui ramai kerana durian dan pulut sememangnya sudah lama menjadi pasangan makanan yang cukup sinonim di Malaysia.



Pemilik akaun berkenaan sendiri mengakui jika ada lemang di rumah ketika musim durian, selera makannya memang bertambah.

"Ye betul. Kitanya kalau ada lemang atau pulut bertambah-tambah makannya."

Sementara itu, seorang netizen dari Utara pula menjelaskan di negeri kelahirannya, menikmati durian bersama lemang sudah menjadi kebiasaan.

"Sebagai orang Utara, saya tak pelik. Ini perkara biasa."

Komen itu turut menerima sokongan netizen lain yang mengatakan mereka juga membesar dengan cara menikmati durian sedemikian.



Namun seperti biasa, ruangan komen media sosial tidak lengkap tanpa kisah-kisah yang lebih luar biasa. 

Seorang netizen mendedahkan dia sendiri pernah menikmati durian bersama nasi dan budu.

"Tak pelik pun. Orang Malaysia kan suka mencuba. Keluarga saya makan dengan nasi dan budu."

Perkongsian itu membuatkan ramai netizen tersenyum kerana gabungan tersebut jauh lebih berani berbanding durian dan lemang.

"Selagi sejenis pulut, normal. Hari tu pernah nampak ada yang makan dengan nasi. Yang tu baru sedikit berbeza."

Tidak kurang juga yang menganggap durian sebenarnya mudah dipadankan dengan pelbagai makanan, terutama yang mempunyai rasa lemak dan manis.  

"Durian ngam je dengan apa-apa yang manis. Yang pedas je tak ngam." 



Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi kerana ada juga netizen yang mengaku pernah menikmati durian bersama sambal atau makanan pedas walaupun tidak ramai bersetuju.

Gabungan dua makanan yang masing-masing cukup sinonim dengan rakyat Malaysia itu ternyata membawa nostalgia tersendiri kepada ramai netizen dalam media sosial.



Hakikatnya, selera seseorang memang sukar dipertikaikan. Apa yang dianggap pelik oleh sesetengah orang mungkin sudah menjadi tradisi bagi masyarakat di tempat lain. 

Bak kata pepatah, lain padang lain belalang, lain orang lain seleranya.

Selagi makanan itu dinikmati secara sederhana dan tidak memudaratkan kesihatan, biarlah masing-masing menikmati durian dengan cara yang paling menggembirakan mereka.

Mungkin selepas ini, akan muncul pula kombinasi baharu yang lebih unik. 

Mana tahu, durian cecah lemang hanyalah permulaan kepada pelbagai lagi kreativiti rakyat Malaysia ketika musim raja buah ini berlangsung. -KitaReporters



9
12
0
14
0

Copy Link: