AKTIVITI mendaki gunung atau bukit yang dahulunya dianggap lasak dan tidak sesuai untuk semua peringkat umur khususnya warga emas serta kanak-kanak kini kian menjadi pilihan masyarakat untuk beriadah

Perkembangan tersebut secara tidak langsung juga menarik perhatian pelbagai pihak anjurkan aktiviti atau program pendakian sama ada secara santai atau fun hike atau berbentuk pertandingan melibatkan komuniti setempat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mendaki


Tazkirah duha dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW turut diadakan di puncak sempena Program Khabak Bukit Jelutong di Kampung Kepah, Hulu Terengganu.


Terbaharu di daerah Hulu Terengganu, Program Khabak Bukit Jelutong Kampung Kepah telah diadakan pada 29 Oktober 2021 lalu melibatkan kira-kira 300 penyertaan khususnya dalam kalangan masyarakat Dun Telemong.

Menariknya, program anjuran Pejabat Penyelaras Dun Telemong melibatkan kerjasama belia dan beliawanis itu tidak hanya melibatkan aktiviti pendakian santai semata-mata tetapi padat dengan pengisian rohani termasuk tazkirah duha serta berselawat di atas puncak.


MOHD SAFARI ABU


Penyelaras Dun Telemong, Mohd Safari Abu berkata program berkonsepkan ‘fun hike’ berkenaan bagi mengeratkan ukhwah sekali gus memperkenalkan lagi bukit yang berpotensi dijadikan daya tarikan pelancongan.

Bukit Jelutong berketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut (mdpl) ini makin menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki terutama yang gemar memburu ‘awan karpet’.  Orang ramai boleh melihat pemandangan dari puncak secara 360 darjah.

“Melalui penganjuran Program Khabak Bukit Jelutong Kampung Kepah ini secara tidak langsung bagi menarik kehadiran komunti setempat untuk sama-sama naik ke puncak bagi menikmati serta menyaksikan keindahan alam ciptaan-Nya.

“Program mendaki ini juga sebagai salah satu aktiviti sempena Bulan Semarak Cinta Rasul Dun Telemong. Selain riadah, kita selitkan juga dengan tazkirah serta berselawat beramai-ramai ke atas Baginda,” katanya ketika ditemui KitaReporters di Bukit Jelutong, Hulu Terengganu.


Pemilik tanah di puncak Bukit Jelutong ialah Che Wan Yusof Che Wan Non, 57, dari Kampung Kepah, Hulu Terengganu. - Kredit foto: FB CW Yusof


Tambah Mohd Safari, program mendaki seumpama itu merupakan penganjuran kali ketiga pihaknya selepas Bukit Tawang, Kampung Kuala Pueh serta Bukit Batu Kapal, Kampung Gerdong yang kesemuanya terletak dalam Dun Telemong.

Katanya lagi, Dun Telemong sememangnya mempunyai banyak bukit yang sesuai untuk aktiviti pendakian sama ada melibatkan laluan santai atau pun sukar (hardcore).

“Selain Bukit Jelutong, antara lokasi bukit di Dun Telemong yang sudah menjadi tumpuan peminat aktiviti mendaki ialah Bukit Tok Gunung, Bukit Tawang, Bukit Basung, Bukit Batu Kapal serta Bukit Kabung,” ujarnya. - KitaReporters


Mohd Safari (tiga dari kiri) di puncak Bukit Jelutong, Kampung Kepah, Hulu Terengganu.


Batu besar berbentuk kapal daya tarikan di Bukit Batu Kapal, Kampung Gerdong, Hulu Terengganu yang mitosnya sebuah kapal dagang bertukar menjadi batu. 

18
11
0
15
0

Copy Link: