KEGAGALAN pemilik premis makanan mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membawa padah apabila tiga premis menjual makanan di negeri Terengganu diarah tutup selama 14 hari berkuat kuasa pada 9 September 2020. Operasi seperti ini perlu diadakan setiap hari!! : KitaReporters 

Penguat Kuasa KKM membuat peperiksaan sebuah premis makanan di daerah Besut


Lagi cerita-cerita berkaitan premis makanan:

https://kitareporters.com/search?search=premis+makanan


Tiga premis makanan terbabit masing-masing dua di Besut dan satu di Setiu didapati gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, arpahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 itu dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih di daerah itu pada 7 dan 8 September 2020. 

Katanya, sebanyak 54 premis makanan meliputi 34 buah restoran atau kedai makan dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi yang diadakan di dua daerah terbabit.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus 


Beliau berkata, sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350

Dr Nor Azimi berkata, daripada jumlah itu, kesalahan berkaitan pakaian pengendali makanan paling banyak dikesan iaitu sebanyak 43 notis.

Penguat kuasa KKM menampal notis arahan penutupan di sebuah restoran kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian kebersihan ditetapkan KKM. 


"Tujuh notis dikeluarkan bagi kesalahan majikan menggaji pekerja yang tidak menjalani latihan dan tiada pelalian antitifoid, manakala kesalahan memakai perhiasan diri seperti jam dan cincin sebanyak enam notis,” katanya 

Beliau berkata, tiga notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menjalani latihan pengendali makanan, pengendali makanan gagal mengekalkan premis makanan bersih (dua notis), manakala pengendali makanan tiada pelalian antitifoid (satu notis). 

Selain itu, kiatanya, 16 kompaun turut dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana didapati gagal mematuhi syarat pelesenan dengan jumlah amaun ditawarkan sebanyak RM10,000. 

Katanya, operasi yang dijalankan bersama Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut itu memberi fokus kepada premis yang menjadi tumpuan ramai. 

“Ia penting bagi memastikan premis berkenaan beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, sekali gus menjamin kualiti makanan," kata Nor Azimi. 

Menurutnya lagi, pemantauan akan dijalankan secara berterusan supaya pengusaha dan pengendali makanan serius dalam mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. 

“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan untuk memastikan premis makanan dan pekerja mereka berada dalam bersih pada setiap masa sewaktu operasi perniagaan dijalankan,” tambah beliau. - KitaReporters

57
25
23
22
21

Copy Link: