Kreatifnya Che Gayah! Barang kitar semula digubah jadi hiasan! Mampu jana pendapatan sampingan!

Published by
KitaReporters

Pelbagai barangan seperti tayar, kasut, kaki kipas dan botol plastik telah dimanfaatkan oleh Rogayah Abdullah sebagai hiasan taman. - Kredit semua foto: Rogayah Abdullah.


BAGI kebanyakan kita, barangan terpakai yang dikategorikan sebagai sampah lazimnya akan ditongsampahkan atau dihantar ke pusat pengumpulan barang kitar semula kerana ianya dianggap tidak mempunyai nilai.

Namun berbeza dengan seorang suri rumah, Rogayah Abdullah, 61, dari Kampung Endah, Banting, Selangor. 

Bagi beliau, sisa barangan terpakai atau buangan itu mempunyai nilai sangat tinggi malah boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan jika dimanfaatkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kitar semula

Bekas cecair pencuci digubah oleh Che Gayah dengan pelbagai bentuk dan kegunaan.


Justeru, Rogayah atau lebih mesra dengan panggilan Che Gayah dalam kalangan penduduk setempat, pantang terjumpa barang-barang buangan, pasti akan dikutipnya dan dibawa balik ke rumah.

Malah, penduduk kampung juga sudah sangat memahami dengan ‘hobi’ Che Gayah itu sehinggakan apa sahaja barangan yang tidak lagi mereka perlukan, akan dihantar ke rumah wanita itu.

Begitu juga dengan anak-anak dan cucu-cucunya, mereka juga pantang terjumpa barang yang dibuang, pasti mereka ambil dan bawa pulang untuk diberikan kepada Che Gayah.

Barang-barang itu seperti botol minuman, tempurung, tayar, kasut, bekas cecair pencuci, besi buruk, tin, pakaian terpakai dan lain-lain dimanfatkan sepenuhnya oleh Che Gayah dengan menggubahnya menjadi barangan hiasan.



Antaranya, Che Gayah menghasilkan bekas pokok bunga, kuntuman bunga, cendawan, bekas sudu, peti surat, angsa hiasan dan banyak lagi.

Hasilnya, beliau bukan sahaja mampu membina sebuah taman mini yang cantik di depan rumahnya malah mula menerima tempahan daripada penduduk sekitar.

“Sebenarnya minat saya untuk membuat gubahan daripada barangan kitar semula ini bermula kira-kira lima atau enam tahun lalu. Idea itu muncul kerana saya rasa sayang hendak membuang barang-barang itu.

“Kerajaan pun galakkan kita untuk kitar semula barangan terpakai, jadi saya fikir elok juga jika saya buat sesuatu dengan barang-barang itu daripada membuangnya begitu saja.


Che Gayah menggunakan kreativiti sendiri untuk membentuk gubahan daripada barangan terpakai. 


“Saya tidak mempunyai asas dalam seni reka bentuk atau gubahan tapi cuba-cuba atas kreativiti sendiri. Kadang-kadang saya rujuk pada video sambil menokok tambah dengan idea saya.

“Pada awalnya, saya hanya suka-suka, sekadar untuk mengisi masa lapang. Kebanyakan barang digubah itu saya guna sendiri seperti dijadikan hiasan di depan rumah saya.

“Tapi, apabila jiran-jiran melihatnya, mereka pun tertarik dan minta saya buatkan pula untuk mereka. Ada antara mereka membawa barang sendiri untuk saya gubah.

“Malah, saudara mara atau sahabat handai yang berkunjung ke rumah saya pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk bergambar di depan rumah saya yang dihiasi lanskap daripada barangan kitar semula. Ada antara mereka turut membuat tempahan,” ujar Che Gayah.


Tulang pun sesuai dijadikan bekas tanaman pokok.


Kuntuman bunga yang digubah daripada botol minuman plastik.


Menurut Che Gayah, beliau mengambil upah secara ala kadar kerana ia dibuat untuk memenuhi hajat jiran tetangga, sahabat-handai dan saudara-mara.

 “Saya berasa seronok bila mereka menyukai hasil kraf tangan saya. Buat masa ini, saya masih menganggap ia sebagai hobi sahaja, tidak serius sangat. Tapi, alhamdulillah, dapatlah sikit-sikit duit belanja.


Kasut lama dijadikan bekas meletak pokok.


“Saya pernah menerima tempahan daripada sebuah sekolah yang meminta saya menghias taman mereka dengan gubahan daripada barangan kitar semula. Banggalah juga bila hasil kreativiti kita dihargai sebegitu,” kata Che Gayah.

Walaupun masih menganggapnya sebagai hobi, namun Che Gayah tidak menolak jika ada yang mahu membuat tempahan.

“Kata orang rezeki jangan ditolak, kalau ada yang berminat, saya sedia menerima tempahan,” katanya yang boleh dihubungi melalui talian 019 6100516. - KitaReporters


Kredit semua foto: Rogayah Abdullah

29
13
0
16
1

Copy Link: