Boleh sabar beratur panjang, tunggu berjam-jam beli crepe viral! Tapi kenapa tak di klinik, hospital?

Published by
KitaReporters

Orang ramai sanggup beratur berjam-jam lamanya di tengah panas semata-mata untuk membeli crepe.


Makin dikecam, makin murah rezeki penjual crepe viral ini. Bukan mahu membodek atau menyebelahi sesiapa, tapi lihat sahaja buktinya. Setiap kali melakukan tour, pasti sambutan yang diterima luar biasa. Berduyun-duyun pelanggan setia sanggup beratur berjam-jam lamanya demi mendapatkan pencuci mulut tersebut.

Terbaharu, penjual crepe viral ini telah berjaya menawan orang Ipoh. Dikatakan para pelanggan sanggup beratur selama tiga jam. 

Bukan satu jangka masa yang sekejap. Itupun belum tentu dapat. Yelah, mana tahu saat sampai giliran, tiba-tiba manisan tersebut sudah habis. Pastinya kecewa dan tidak bebaloi masa yang dihabiskan.


Alangkah bagusnya kalau sanggup beratur lama seperti ini di klinik atau hospital kerajaan.


Fenomena sebegini sebenarnya sudah lazim buat rakyat Malaysia. Ibarat gula yang dikerumun semut, begitulah setiap kali makanan itu tular, pasti orang ramai akan berebut-rebut mendapatkannya. Padahal, rasanya biasa-biasa sahaja. 

Kalau anda perasan, kebanyakan makanan atau minuman yang tular ini adalah makanan yang tinggi kandungan gulanya. Sudah pasti ia sesuatu yang tidak bagus untuk kesihatan. Namun, dek kerana tular, ia menjadi rebutan tanpa menghiraukan kesihatan diri.

Malah, kesanggupan mereka beratur sehingga berjam-jam lamanya, begitu menghairankan. Tetapi yang peliknya, ketika menunggu mendapataakn rawatan di klinik atau hospital kerajaan, mereka tidak pula boleh bersabar. Pantang lambat sikit, bersemburan maki hamun dilemparkan.




Itulah yang cuba disampaikan oleh Public Health Malaysia (PHM) dalam media sosial rasmi milik mereka. 

Dalam satu hantaran bertarikh 1 Oktober 2023, PHM cuba membandingkan situasi menunggu berjam-jam antara membeli Kieda Crepe yang membahayakan kesihatan dan menunggu di klinik atau hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

PHM hairan kenapa orang ramai sanggup dan boleh menahan sabar menunggu untuk membeli manisan tersebut berbanding menunggu di klinik atau hospital! 

Ramai yang setuju dengan apa yang ingin disampaikan oleh PHM. Namun ada juga segelintir yang tidak boleh menerimanya.

Beginilah jadinya apabila kita tidak tahu menilai antara nasihat atau dengki. 

Apabila ditegur katanya sesama Melayu pun nak dengki. Ini bukan dengki atau apa, tetapi perkara yang baik kita ambil dan sebaliknya. 

Ada juga yang kata, menunggu mendapatkan manisan idaman dengan menunggu mendapatkan rawatan ketika sakit, emosinya berbeza.


Menurut mereka, menunggu mendapatkan makanan dan rawatan, membabitkan emosi yang berbeza.


Mereka cuba menyanggah apa yang ingin disampaikan oleh PHM. 

Ya, mungkin ada benarnya tetapi kita jangan lihat kesannya pada masa kini, tetapi untuk 10 atau 15 tahun yang akan datang. 

Mahukah kita melihat generasi akan datang muda-muda lagi sudah ada penyakit kencing manis? 

Ketika itu, entah-entah terpaksa beratur sejauh satu kilometer dan lima jam untuk mendapatkan rawatan disebabkan kesilapan kita pada masa lalu. Jadi, fikir-fikirkanlah! - KitaReporters

11
9
0
10
0

Copy Link: