BERADA di Pulau Pinang dan tidak tahu ke mana hendak bersantai merehatkan minda pada waktu malam? Jangan gusar, datang sahaja ke kawasan rehat dan santai di Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung. Anda pasti seronok dan terpesona sambil dapat menikmati makanan menyelerakan. : KitaReporters

BERSANTAI, berbual sambil menikmati keindahan malam di kawasan rehat dan santai Batu Maung, Pulau Pinang.


Kawasan tanah lapang tumpuan ramai di Batu Maung ini terletak di kaki jambatan atau permulaan Jambatan Kedua Pulau Pinang (atau nama rasminya Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) dari arah pulau menuju ke tanah besar. Ia tidak jauh dari Bayan Baru dan kawasan perindustrian elektronik di sekitarnya.

Oleh kerana kawasan rehat santai ini terletak jauh dari tengah bandar raya, ia jauh daripada hiruk pikuk dan kesesakan bandar. Kerana itulah ramai yang suka berkunjung ke sini untuk bersiar-siar sambil menjamu selera.

SEBAHAGIAN orang ramai memilih makanan dari kios di kawasan rehat dan santai Jambatan Kedua, Batu Maung, Pulau Pinang.


Setiap hari ia mula dikunjungi ramai seawal pukul lima petang dan biasanya berlanjutan sehingga tengah malam. Pada hujung minggu, lebih ramai datang bertandang dan operasi berlanjutan sehingga pukul satu atau dua pagi.

Di sini, setiap malam suasana begitu ‘hidup’. Rantaian orang ramai bertali arus datang untuk bersantai, bertemu rakan sambil menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang boleh didapati melalui food trucks (kenderaan saji). Selain itu terdapat juga kios-kios biasa untuk pilihan pengunjung.

CHICKEN Chop, sengkuang calit atau rojak pilihan anda?  Food truck ini ada menyediakan semua itu untuk pengunjung.


Lebih menyeronokkan, kawasan santai ini terletak di tepi laut. Memang seronok berjalan di tepi laut sambil menghirup udara sejuk dan nyaman mengusap wajah, dengan air laut yang nampak kuning keemasan kerana biasan lampu sekeliling dan lampu-lampu yang memagari jambatan kedua. Lebih menceriakan suasana, kadang-kadang ada pertunjukan bunga api. Percikan cahaya bunga api ini membelah malam memang menambahkan lagi kemeriahan dan menghiburkan hati pengunjung.

PERCIKAN bunga api begitu mengasyikkan, sebati dengan kekuningan air laut biasan lampu Jambatan Kedua dan cahaya bunga api itu sendiri.


Dari kejauhan pula kelihatan Pulau Jerjak dengan sinaran lampu berwarni warni bergemerlapan. Pulau Jerjak kini merupakan kawasan pelancongan di Pulau Pinang dan ada resort di sana.

Sebelum ini Pulau Jerjak terkenal sebagai tempat tahanan penjenayah. Kedudukannya adalah ‘pulau dalam pulau’ seperti penjara Alcatraz di Amerika. Ia dikawal rapi agar penjenayah tidak meloloskan diri.

KIOS kek... Pelbagai jenis kek boleh pengunjung beli dari gerai ini seperti kek coklat, pandan dan lain-lain.


Di sepanjang jalan menunuju ke kawasan rehat dan santai Batu Maung, terdapat juga deretan kedai menjamu selera yang terletak di gigi laut serta turut menjadi tumpuan ramai. Namun suasana santai di Batu Maung lebih menjadi pilihan ramai kerana ia terletak di atas tanah lapang dan lebih mudah meletak kenderaan.

Bagaimanapun jika datang lewat atau pada hujung minggu, bersedialah menghadapi masalah tempat letak kereta memandangkan jumlah yang bertumpu ke situ memang ramai. Ini belum termasuk mereka yang datang menunggang motosikal.

ANDA peminat burger dan roti John? Nikmati makanan ini apabila berada di kawasan santai dan rehat Batu Maung.


Setelah penat berjalan-jalan, jamu selera dengan memesan makanan dari food trucks. Pilih sahaja makanan kegemaran anda, sama ada makanan Barat seperti steak, piza dan burger atau makanan tempatan seperti nasi, mi dan kuetiau yang dimasak menurut pilihan anda. Juga ada jualan kek dan apam balik.

Kerana ramai yang memesan, apabila membuat pesanan perlu memberi sedikit masa kepada pengendali food truck menyiapkan makanan. Apabila makanan sudah siap, mereka akan memberitahu anda melalui pembesar suara. Anda bolehlah pergi mengambilnya.

Untuk minuman pula, anda boleh sahaja pergi membeli minuman pilihan sama ada panas atau sejuk melalui beberapa kios yang ada di situ. Coconut shake, air buah, air limau atau milo dan teh, air bergas semua ada, sekadar menyebut beberapa jenis minuman.

KIOS  sotong kangkung pun ada untuk pelanggan yang meminati makanan tersebut.


KIOS makanan tradisional yang tidak asing, apam balik.


Kerusi meja memang ada disediakan di kawasan rehat santai ini untuk pengunjung menikmati makanan. Namun jumlahnya terhad. Dengan jumlah pengunjung yang ramai, memang ada masalah sedikit mendapatkan tempat duduk, apatah lagi jika ada pengunjung yang suka duduk lama-lama. Anda kenalah sabar menunggu sambil berlegar-legar mencari meja kosong!

Jika berkunjung ke Pulau Pinang nanti jangan lupa berkunjung ke kawasan rehat santai Batu Maung. Nikmatilah keindahan malam dan rasailah pelbagai makanan yang membuka selera di situ. Anda pasti terhibur dan puas hati. - KitaReporters

DUA remaja, Amira Iryanti (kanan) dan Nur Nadhirah Najwa mengabadikan kenangan di kawasan rehat dan santai Batu Maung, Pulau Pinang. 

15
1
3
0
4

Copy Link: