Nak lepak mana? Kafe Lepaq Abang Bujang! Dari COD ke gerai! Nasi Arab air asam tarik perhatian ramai!
Published byBermula secara kecil-kecilan dengan kaedah tempahan bawa pulang sejak 2018, usaha gigih seorang usahawan tempatan kini membuahkan hasil apabila perniagaan nasi Arab yang diusahakan olehnya semakin mendapat sambutan luar biasa.


Suasana meriah dengan kehadiran pelanggan yang memenuhi ruang makan di kafe itu.
Pengusaha Kafe Lepaq Abang Bujang, Mohamad Zainal Azmi, 36, berkata perubahan menu berdasarkan maklum balas pelanggan sejak dua tahun lalu menjadi titik tolak kepada peningkatan jualan.
“Pada awalnya, saya hanya menjual secara COD dengan beberapa resipi Arab. Namun selepas menerima maklum balas pelanggan, ramai yang mahukan rasa lebih pedas dan menepati selera tempatan,” katanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Kejai di sini.
Menurut beliau, daripada situ tercetus idea untuk memperkenal nasi Arab yang dipadankan bersama air asam sebagai alternatif kepada sos harrah dan salata yang lazim digunakan dalam hidangan tersebut.
“Inovasi ini ternyata menepati cita rasa masyarakat utara yang gemarkan rasa masam pedas dan segar,” ujarnya.


Selain itu, beliau turut menawarkan pilihan lauk ayam dan kambing grill (kambing bakar) yang diperap menggunakan resipi sendiri.
“Saya gunakan gabungan rempah ratus, daun oregano serta serbuk perasa tradisi keluarga untuk menghasilkan rasa yang unik. Ditambah pula dengan sos lada hitam, ia memberi kelainan kepada hidangan kami,” katanya lagi.
Hasil perubahan tersebut, jualan yang pada mulanya hanya beberapa ekor sehari kini meningkat kepada sekitar 70 hingga 80 ekor sehari.
“Alhamdulillah, sambutan pelanggan sangat menggalakkan. Apa yang penting kita dengar kehendak pelanggan dan berani membuat perubahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil inisiatif kebajikan dengan menyediakan makanan dan minuman percuma kepada pemegang kad OKU, anak yatim, golongan autisme serta warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Orang ramai yang ingin mendapatkan kemudahan tersebut atau membuat tempahan disarankan menghubungi pihak kafe terlebih dahulu bagi memastikan kelancaran penyediaan.
Menariknya, pelanggan yang berkunjung ke kafe ini turut berpeluang merakamkan kenangan di sebuah wakaf unik yang diperbuat daripada rotan dan akar pokok, sekali gus menambah daya tarikan suasana santai di premis berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Hubungan Korporat kafe berkenaan, Mohamad Azwan Fathullah berkata pihaknya bersedia membuka peluang kerjasama kepada alumni institusi pengajian tinggi serta pelajar keusahawanan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.
Orang ramai boleh menghubungi Mohamad Zainal Azmi menerusi talian 018-4749736 atau Mohamad Azwan Fathullah menerusi talian 019-7989039 untuk tempahan dan maklumat lanjut.
Selain itu, pelanggan juga boleh mengikuti perkembangan serta promosi terkini melalui media sosial TikTok dan Facebook kafe tersebut. - KitaReporters

