Ikan sungai yang akan diproses menjadi ikan perkasam


BERMULA dengan hobi memancing, seorang pengusaha ikan pekasam kini mampu tersenyum lebar kerana perniagaannya bertambah maju dan menjadikan beliau seorang usahawan kecil yang berjaya di daerah Setiu, Terengganu.

Abdul Rahman Abu Bakar, 66 dari Kampung Pelong, Setiu, Terengganu mula menjalankan perniagaan menjual ikan pekasam itu sejak lebih tiga tahun lalu.

"Memang saya gemar memancing sejak kecil bagi memenuhi masa lapang tetapi lama kelamaan ianya menjadi ketagih. Hampir setiap petang saya akan keluar memancing sama ada seorang atau dengan rakan," katanya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ikan pekasam:

https://kitareporters.com/search?search=ikan+pekasam


Ikan perkasam keluaran Pein siap dibungkus untuk dipasarkan


Pengusaha ikan pekasam Pein menunjukkan produk yang diusahakan keluarganya


Menurut Abdul Rahman yang juga dikenali dengan nama Haji Pein, sejak 10 tahun lalu beliau meluangkan masa memancing di sungai di kampungnya atau di Tasir Kenyir, Hulu Terengganu, dengan menaiki bot.

"Pada mulanya saya buat ikan salai tetapi ianya tidak tahan lama, selepas itu barulah saya buat ikan pekasam ini kerana ianya tahan lebih lama.

“Saya belajar membuat ikan ini daripada seorang menantu saya yang berasal dari Perak," katanya yang pernah menjual lebih 10 pek dalam masa sehari.

Ahli keluarga Pein menjalankan kerja-kerja menyian ikan


Pein berkata, sekarang dia tidak lagi bergantung sepanuhnya kepada ikan yang dipancingnya, sebaliknya ikan mentah beliau dapat daripada pemancing-pemancing lain termasuklah pembekal dari Tasik Kenyir yang menghantar ikan mentah kepada beliau.

"Hasil dari usaha ini, saya sekarang mampu memproses ikan pekasam sebanyak 30 kilogram seminggu,” katanya.


Proses menyiang ikan


Ketika ini, beliau memperolehi pendapatan hasil jualan ikan berkenaan kira-kira RM5,000.00 sebulan.

Menurut Pein lagi, ikan pekasam berjenama "Ikan Pekasam Haji Pein" itu, dijual di kedai beliau iaitu di Simpang 4 Kampung Pelong, Setiu, Terengganu.


Pein memancing sendiri untuk mendapatkan bekalan ikan di sungai berhampiran rumahnya


Selain itu, katanya, dia juga memasarkan ikan ini di beberapa tempat di daerah Setiu dan Hulu Terengganu.

"Saya ada juga menerima tempahan dan pesanan daripada pelanggan dari Terengganu termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Kedah," katanya.


Ikan perkasam yang siap dimasak 


Pein berterima kasih kepada pelangannya serta kawan-kawan yang banyak memberi sokongan bagi menjayakan perniagaan itu.

"Walaupun terdapat pengurangan keluaran pada musim Covid-19 ini tetapi saya bersyukur kerana perniagaan ini mampu diteruskan sehingga kini," katanya. - KitaReporters


Produk ikan pekasam keluaran Abdul Rahman Abu Bakar atau Haji Pein

12
5
2
1
3

Copy Link: