Bubur lambuk penyatu Ramadan! Satukan hati, gabungkan hasrat! Dinantikan semua setiap kali Ramadan!
Published bySetiap petang, orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan sebungkus bubur lambuk yang dimasak secara gotong royong oleh penduduk setempat serta sukarelawan.


Bubur lambuk juga menarik golongan diraja untuk turun sama bergotong royong memasak.
Perkataan lambuk dipercayai berasal daripada dialek Melayu lama yang membawa maksud campuran pelbagai bahan dalam satu masakan.
Sesuai dengan namanya, bubur ini menggabungkan beras, santan, daging atau ayam serta pelbagai rempah ratus tempatan yang menjadikan rasanya lemak dan berempah.
Pada peringkat awal, bubur lambuk disediakan sebagai makanan yang mudah hadam untuk berbuka puasa. Namun lama kelamaan, ia berkembang menjadi aktiviti komuniti yang sentiasa dinanti setiap kali Ramadan.
Antara lokasi paling terkenal dengan tradisi ini ialah Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
Setiap tahun, penduduk setempat bersama sukarelawan berganding bahu memasak bubur lambuk dalam kawah besar sebelum diagihkan kepada ribuan warga kota.


Keunikan bubur lambuk di Malaysia turut terserlah menerusi variasi resipi mengikut negeri dan komuniti setempat.
Di Pantai Timur melibatkan Kelantan dan Terengganu, bubur lambuk biasanya lebih pekat dengan rasa rempah yang lebih kuat.
Ada lokasi menggunakan ayam kampung dan tidak kurang juga yang menambah makanan laut bagi memberikan rasa lebih manis serta aroma tersendiri.
Di utara Semenanjung seperti Kedah dan Perlis pula, bubur lambuk dimasak dengan kuah sederhana serta imbangan santan yang memberikan rasa lemak yang tidak terlalu berat.
Walaupun ringkas, keenakan rasanya tetap menyerlah dengan penggunaan rempah tradisi.
Johor yang mewakili selatan tanah air pula terkenal dengan bubur lambuk berwarna lebih gelap dan beraroma rempah yang lebih kuat.
Sesetengah resipi menerima pengaruh masakan Arab dan Jawa hasil pertembungan budaya masyarakat setempat.


Selain itu, banyak masjid negeri, universiti dan institusi kerajaan menjadikan penyediaan bubur lambuk sebagai program tahunan Ramadan.
Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, malah menjadi medium sedekah makanan yang paling dinanti masyarakat.
Menariknya, setiap kawah bubur lambuk mampu menghasilkan antara 1,000 hingga 3,000 bekas dalam satu sesi masakan yang mengambil masa sehingga lima jam bergantung kepada jumlah sukarelawan yang terlibat.


Walau berbeza resipi dan cara penyediaan, bubur lambuk tetap membawa makna yang sama sebagai juadah berbuka yang mengeratkan hubungan sesama insan.
Lebih daripada sekadar makanan, bubur lambuk mencerminkan warisan Ramadan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang. - KitaReporters


