ELAK PUPUS, AMATJAMAN USAHA KUIH BANJAR

Published by
KitaReporters
BAGI anda yang meminati kuih-kuih tradisonal mungkin tidak akan terfikir apakah bahan makanan tersebut boleh terus kekal untuk jangka panjang berikutan evolusi semasa, di samping kurangnya minat generasi muda meneruskan usaha kearah mengekalkan kegiatan pembuatnya. : KitaReporters.com

Kamar Mohamad Zaman mengemas kini kuih Pududuk yang sudah siap dimasak sebelum dihantar kepada pelanggan membuat tempahan.


Memang agak sukar sekarang ini untuk mendapatkan kuih-kuih tradisonal daripada suku kaum pelbagai etnik di negara ini terutama di Semenanjung kerana faktor-faktor berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan ini agak berlainan bagi seorang pengusaha kuih tradisonal masyarakat Banjar yang terus gigih menjalankan perusahaan membuat dan menjual kuih-kuih berkenaan, sekalipun menghadapi cabaran serta saingan dengan pengusaha kuih-kuih moden selain kesukaran mendapatkan bahan-bahan mentah untuk aktiviti membuat kuih tersebut.

Kamar Mohamad Zaman, 47, merupakan salah seorang pengusaha kuih tradisonal Banjar yang aktif dan gigih menjalankan perniagaannya tanpa mengenal keperitan mahupun rintangan khususnya dalam usaha mendapatkan bahan-bahan mentah bagi pembuatan kuih-kuih tradisonal berkenaan di samping harga barangan yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Rohainiza Selamat memasak Wadai Kiping yang ditempah pelanggan dengan pengawasan rapi supaya keadaan cantik dan menarik. 


Beliau yang ditemui di premisnya di Taman Seri Indah, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pada Sabtu, 8 Februari 2020 menyatakan akan terus berusaha mengekalkan perusahaan membuat kuih-kuih tradisonal orang-orang Banjar yang semakin pupus dan sukar diperolehi sekarang.

Lebih mesra dengan panggilan Amatjaman dalam kalangan rakan-rakan terutama daripada kalangan mereka berketurunan Banjar merupakan satu-satunya pengusaha kuih tradisonal masyarakat Banjar yang gigih dan aktif di sekitar kawasan Seri Kembangan.

Persiapan terakhir untuk kemas kini kuih Pupudak dilakukan sebelum dihantar kepada pelanggan yang membuat tempahan.


Anak kelahiran Kampung Padang Serai, Batu Hampar, Beruas, Perak ini sudah lima tahun menjalankan perusahaan membuat kuih tradisonal masyarakat Banjar, di samping kuih-kuih biasa dan moden.

"Selain minat untuk menjalankan perusahaan membuat kuih tradisonal orang-orang Banjar ini bila susahnya untuk memperolehi kuih-kuih berkenaan untuk tujuan jamuan pada majlis-majlis tertentu terutama yang dianjurkan oleh individu mahupun persatuan orang-orang Banjar," katanya yang berazam untuk terus menjalankan kegiatan tersebut selagi termampu.

         

Pengusaha kuih tradisonal masyarakat Banjar yang aktif di Seri Kembangan,Selangor, Kamar Mohamad Zaman.


Amatjaman memperolehi ilmu membuat kuih-kuih tradisonal masyarakat Banjar dengan mempelajarinya daripada warisan orang tua termasuk ibu, nenek dan keluarganya, di samping belajar secara sendiri.

Malahan beliau merancang untuk mewariskan ilmu yang ada kepada orang muda yang berminat supaya perusahaan tersebut dapat diteruskan untuk jangka masa lama.

Sambutan orang ramai terhadap kuih-kuih tradisonal masyarakat Banjar yang dihasilkannya agak menggalakkan di mana mereka yang membuat tempahan bukan sekadar sekitar Seri Kembangan malahan hingga ke Klang, Shah Alam, Bangi ,Cheras, Sungai Besar dan kawasan-kawasan berhampiran.

Malahan kuih-kuih masyarakat Banjar hasil tangan Amatjaman turut mendapat tempahan hingga ke Perak di bahagian utara ,Melaka dan Johor di selatan tanah air.

Antara kuih tradisonal masyarakat Banjar yang sering menjadi kegemaran ramai merupakan antara produk dihasilkan oleh Kamar Mohamad Zaman.


Menyentuh mengenai sambutan pelanggan, beliau sempat menceritakan bagaimana ada seorang pelanggannya teruja hingga menitiskan air mata bila dapat menikmati kuih yang ditempahnya kerana lebih 30 tahun tidak menjamah kuih yang selalu dibuat oleh datuknya.

Mengenai modal, beliau memberitahu tidak banyak diperlukan untuk membuat kuih tradisonal tersebut kerana dia tidak menyimpan stok bila ada tempahan barulah buat dan ada dalam kalangan pelanggan membuat bayaran dahulu bila membuat tempahan.

Katanya, aktiviti membuat kuih-kuih tersebut tidak ikut masa tertentu bergantung kepada tempahan yang diterima dan perlu disiapkan segera tanpa mengira keadaan, siang mahupun malam, supaya pelanggan dapat menerimanya pada waktu ditetapkan.

Sejenis kuih tradisonal masyarakat Banjar yang hebat namanya Kalakatar saperti nama pergunungan Kalakatar di Himalaya. Kuih jenis sekalipun agak rumit untuk membuatnya tetapi digemari ramai. 


Kuih-kuih yang ditempah, ujarnya, juga biasanya dihantar kepada pelanggan atau diambil oleh mereka sendiri bergantung kepada  keadaan serta permintaan semasa membuat tempahan.

Isteri beliau, Rohainiza Selamat, 44, merupakan inidividu yang sama-sama bertanggungjawab membantu menjalankan aktiviti pembuatan kuih tradisonal masyarakat Banjar selain dibantu oleh anak-anak.

Kamar Mohamad Zaman (kiri ) bersama isteri semasa membuat demontrasi masakan kuih tradisonal masyarakat Banjar pada slot Malaysia Hari ini TV3 pada Oktober 2019.


Hasil keaktifan menjalankan perusahaan membuat kuih tradisonal masyrakat Banjar beliau dan isteri diundang membuat demontrasi masakan kuih tradisonal Banjar di TV3 pada Oktober 2019, pada slot Malaysia Hari Ini dengan hosnya Ahmad Fitri Aziz. 

Pupudak merupakan antara kuih tradisonal masyarakat Banjar yang banyak ditempah oleh pelanggan Kamar Mohamad Zaman.


Antara kuih tradisonal masyarakat Banjar yang dihasilkan oleh Amatjaman termasuklah Wadai Kiping, Kuih Nasi Saantah, Ampaian Tatak, Balung Hayam, Pupudak, Kalakatar, Surabi, Batil Pisang, Kuci Waluh, Martabak Pisang/Kucai, Tapai Hijau (Tapai Banja ), Wadai Bubungko dan berbagai lagi.

Beliau juga mengenakan harga yang sesuai bagi kuih-kuih tradisonal tersebut seperti Kalakatar RM20 (satu bekas), Pupudak RM3 (5 biji), Balungan Hayam RM3 (5 biji), Koci Waluh RM3 (5 biji), Wadai Kiping RM20 (setengah kilogram), Wadai Nasi Saantah RM15 (satu bekas) dan Batil Pisang RM15 (satu bekas). 

Untuk penghantaran kepada pelanggan dikenakan mengikut jarak destinasi kuih tersebut dihantar.

Wadai Papari antara kuih tradisonal masyarakat Banjar yang sukar ditemui sekarang masih boleh didapati pada perusahaan kuih tradisonal kendalian Kamar Mohamad Zaman.


Penulis diberitahu, antara kuih yang menjadi kegemaran pelanggan terutamanya Wadai Kiping, Kalakatar, Pupudah, Balong Hayam, dan Koci Labu sering ditempah oleh orang ramai khususnya pelanggan tetap.

Orang ramai terutama mereka daripada kalangan masyarakat keturunan Banjar yang ingin merasai keenakan kuih-kuih tradisonal nenek moyang mereka boleh membuat tempahan dengan menghubungi Kamar Mohamad Zaman ( Amatjaman) melalui telefon 010 8060363. - KitaReporters.com


Tapai Hijau atau dikenali juga sebagai Tapai Banjar.


Wadai Bubungko merupakan antara kuih tradisonal masyarakat Banjar yang sukar ditemui sekarang.


Kuih Balung Hayam selalunya dihasilkan oleh keluarga masyarakat Banjar untuk minum petang atau malam. 

39
8
1
2
2

Copy Link: