Video| Resipi bumbu serba guna oleh Hadi Salleh! Memasak lebih pantas! Tak risau balik kerja lambat!

Published by
KitaReporters


Setiap kali bulan Ramadan, paling membimbangkan buat orang yang bekerja adalah kesempatan waktu yang terhad untuk memasak. Apatah lagi kalau dalam sesebuah keluarga itu, suami isteri bekerja. Kalau anda adalah pekerja kerajaan, dikira bertuah kerana waktu balik kerja diawalkan pada bulan puasa.

Bagaimana dengan orang yang bekerja swasta? Paling awal balik kerja dalam pukul 5.30 petang. Kalau yang bekerja agak jauh dari rumah? Nak kena hadap kesesakan jalan raya lagi! Silap-silap terpaksa berbuka dalam kereta atau kenderaan awam. 

Kalau sempat pun, hanya tinggal setengah jam lagi untuk berbuka puasa. Sempat ke nak memasak?

Ya, mungkin ramai berkata bazar Ramadan kan ada! Apa susah-susah nak memasak. Tahu tak anda, tahun 2024 ini harga makanan di bazar Ramadan melambung tinggi. 

Tular dalam media sosial berkenaan sewa tapak bazar Ramadan yang naik antara 10 hingga 30 peratus. Kenaikan ini sudah tentu membuatkan peniaga menaikkan harga makanan yang dijual sementelah harga barang mentah juga naik. 


Bazar Ramadan. - Kredit Foto: Google Image.


Bayangkan setiap hari terpaksa membeli juadah berbuka puasa. Kalau bujang masih okay lagi. Tapi kalau ada anak lima hingga enam orang, tidakkah kering kocek dibuatnya. Jadi, lebih baik masak sendiri. Lebih jimat, sedap dan selamat.

Tapi apabila masak sendiri, masalah masa pula menjadi penghalang. Jangan risau kerana anda boleh cuba kaedah yang dikongsi oleh seorang food content creator (pencipta kandungan makanan) bernama Hadi Salleh. 

Walaupun tidak sepopular Khairulaming, Che Nom dan lain-lain lagi, tapi pengikutnya dalam media sosial mencecah ratusan ribu orang juga.


Hadi Salleh.


Pelbagai resipi masakan dikongsi dalam TikTok miliknya. Sempena Ramadan kali ini, dia berkongsi resipi menjimatkan masa untuk orang yang mempunyai kekangan masa untuk memasak. Resipi tersebut ialah bumbu. 

Ada ke yang tak tahu apa itu bumbu? Mengikut Kamus Dewan, bumbu ialah bahan-bahan perencah seperti rempah-ratus, asam, garam yang digunakan untuk menyedapkan masakan. 

Justeru, bumbu menjadi kerja memasak lebih mudah dan pantas. Hadi Salleh berkongsi bumbu serba guna untuk memasak sayur, nasi dan mihun goreng dan pelbagai lagi.

“Balik kerja lambat, waktu berbuka dah nak dekat, cedok sikit dah boleh goreng sayur, boleh buat nasi goreng, boleh goreng bihun,mi, kuetiau bagai. Ada tiga lagi resipi pra-Ramadan lepas ni,” tulisnya.



Perkongsiannya itu sangat dihargai oleh para pengikutnya dalam TikTok. Secara tidak langsung, ia memudahkan kerja memasa korang yang kesuntukan waktu. 

“Terima kasih kongsi resipi pada kami yang bekerja ni. Semoga dimurahkan rezeki,” tulis salah seorang pengikutnya.




Selain itu, Hadi Salleh juga berkongsi pelbagai resipi lain seperti ikan lengat yang sesuai disediakan ketika bersahur. 

Kalau di Pantai Timur, ikan lengat dipanggil ikan rebus. Ikan yang direbus atau kukus ini kemudiannya digoreng garing kemudian dicecah bersama budu. Pasti menjilat jari! - KitaReporters


14
14
0
12
0

Copy Link: