SUDAH menjadi trend pada masa kini, ada yang gemar mencabar diri untuk melakukan pengembaraan solo sehingga ke luar negara, sedangkan mereka boleh sahaja pergi secara berkumpulan. 

Ada yang memang tidak berani untuk mengembara solo dan memilih untuk kembara bersama kawan-kawan atau mengikut ketua tetapi jangan terperanjat, yang gemarkan kembara seorang diri pun ada, bukan sahaja lelaki bahkan wanita pun ada yang jenis suka berjalan sendiri-sendiri, dengan alasan tersendiri.

Tidak dinafikan mengembara seorang diri dapat menguji kemampuan, ketahanan diri dan keberanian untuk menghadapi segala cabaran sendiri, dianggapnya sebagai satu kepuasan apabila berjaya melepasi semua rintangan apabila berada di perantauan.

Bagi yang takut berjalan seorang diri, tidak dapat nak gambarkan bagaimana jika mereka melakukan pengembaraan tanpa teman, terutama yang berpemergian jauh ke seberang laut, kalau yang tak biasa sendirian, harus sesat di tengah jalan ataupun tidak jumpa jalan pulang. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengembaraan


Dalam satu tulisan mengenai promosi pengembaraan, Farhana Ain Goldah menyarankan bagi yang belum berani berpergian jauh sehingga ke seberang laut untuk kembara solo, apa kata mulakan dengan kembara di tanah air sendiri dahulu iaitu di Malaysia.

Menurutnya, apa kata mulakan kembara solo dengan menerokai Negeri Selangor, dan nikmatilah masa sendiri sewaktu berkelana! Kelebihan kembara solo adalah masa itu anda seorang yang punya, anda bebas menentuan jadual perjalanan sendiri. 

Tanpa tertakluk kepada kehendak banyak kepala, anda boleh memanjangkan tempoh berada di sesuatu tempat jika banyak tarikan di situ dan memendekkan masa berada di tempat yang kurang menarik.

Kata Farhana Ain, pengembaraan solo bukanlah sesuatu perkara yang asing lagi. Melancong bersama keluarga mahupun rakan-rakan sememangnya menyeronokkan. Tapi tahukah anda percutian seorang diri juga mempunyai daya tarikan tersendiri serta memberikan cabaran baharu? 



Negeri Selangor kini telah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara dan sektor pelancongan telah dibuka sepenuhnya, jadi anda harus menerokai seleksi tarikan pelancongan di Negeri ini!

Memulakan percutian seorang diri pastinya dapat mengajar kita untuk menjadi seorang yang lebih teratur dan berdikari pada masa hadapan. Jadi atur perjalanan masing-masing dan pastikan anda kunjungi destinasi yang disenaraikan di bawah ketika melancong seorang diri di Negeri Selangor, tulis Farhana Ain.


Muzium Automobil Nasional


1. Kenali sejarah sektor autombil negara di Muzium Automobil Nasional

Muzium Automobil Nasional terletak di Welcome Centre, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang merangkumi ruang pameran seluas 7,949 kaki persegi bagi tingkat bawah dan 10,577 kaki persegi untuk tingkat satu. 

Dibuka tahun 2004, muzium ini menampilkan sejarah perkembangan industri automotif negara. Tingkat bawah mempamerkan segmen pengenalan Muzium Automobil Nasional serta sejarah perkembangan sistem pengangkutan di Malaysia dan produksi kereta-kereta terawal. Manakala, di tingkat satu pula memaparkan industri permotoran di Malaysia secara umum. 

Sebagai pelancong solo, anda dapat melihat lebih 20 model tempatan dan antarabangsa termasuk kereta vintaj di sini. Sememangnya destinasi ini akan memberi keterujaan untuk pelancong solo!


Mi Udang Banjir Kuala Selangor


2. Jom makan Mi Udang Banjir di Kuala Selangor

Makanan yang wajib dicuba ketika berada di Daerah Kuala Selangor adalah menu Mi Udang Banjir yang pastinya membuatkan sesiapa terliur! 

Ketika melancong seorang diri, anda tentunya anda ingin mencari pilihan makanan sedap lagi murah. Mi yang disajikan dengan udang bersaiz besar dan kuah banjir ini akan memberikan kepuasan kepada setiap pelanggan dan nikmati makanan lazat tanpa perlu berkongsi dengan sesiapa!


Pulau Ketam


3. Memancing dulu di Pulau Ketam!

Pulau Ketam bukanlah sebuah tempat yang asing kepada penggemar aktiviti memancing, terutama di Selangor. Pulau Ketam terletak berdekatan dengan Pelabuhan Klang yang merupakan lokasi yang popular untuk aktiviti perikanan. 

Peluang rekreasi sambil memancing ini akan memberi ketenangan dan masa bersendirian dalam suasana yang menyeronokkan anda!



4. Lakukan aktiviti bersama Hos Komuniti Selangor!

Habiskan masa terluang anda dengan melakukan aktiviti bersama para Hos Komuniti yang bertempat di sembilan daerah di negeri Selangor

Hos Komuniti Selangor merupakan sekumpulan komuniti dengan pelbagai latar belakang yang hidup bersama masyarakat setempat di sesebuah daerah di negeri Selangor. 

Anda boleh rasai pengalaman melakukan aktiviti bersama para Hos Komuniti seperti belajar cara memancing dan pemprosesan kelapa secara tradisional dari Hos Komuniti Sabak Bernam, atau belajar tentang cara pemprosesan tempeh dan resipi-resipi tempeh yang lazat dari Hos Komuniti Kuala Langat!


1 Utama Shopping Centre


5. Cuci mata dan membeli-belah di 1 Utama Shopping Centre

Aktiviti santai dan paling diminati ramai adalah membeli belah, sambil ‘cuci mata’

1 Utama Shopping Centre adalah pusat beli-belah terbesar di Malaysia yang tidak lekang daripada kunjungan pelanggan. Ianya adalah lokasi yang ideal untuk dikunjungi kerana menawarkan deretan kedai yang menjual pelbagai barangan yang mampu memenuhi keperluan dan keinginan anda! 

Tak lupa juga, di sini anda boleh cuba aktiviti sukan atau indoor skydiving untuk sebuah pengalaman yang luar biasa!



Siapa kata dengan melancong seorang diri, anda tidak dapat melakukan pelbagai aktiviti menarik? 

Jangan salah sangka! Senarai di atas telahpun memberikan gambaran sekiranya anda ingin melancong seorang diri ke negeri Selangor, terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh dilakukan, dan semuanya pasti menyeronokkan! Hanya individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan di negeri Selangor. 

Sekiranya anda mempunyai perancangan untuk melancong seorang diri pastikan anda Pusing Selangor Dulu dan singgah ke destinasi yang telah disenaraikan di atas!

Walau bagaimanapun, semua pelancong diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti memastikan penjarakan sosial, memakai pelitup muka setiap masa di tempat awam dan sesak, serta menggunakan cecair pembasmi kuman secara kerap.

Layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel untuk dapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan ke Negeri Selangor, atau terus ikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor untuk sebarang kemas-kini. - KitaReporters


19
10
0
14
0

Copy Link: