SAYA sudah beberapa kali datang ke Johor Bahru (JB) tapi ini kali pertama bersolat di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar. Jadi, bila ada peluang cuti sempena Hari Malaysia, baru-baru ini, saya membawa keluarga ke bangunan ikonik ini.

Dari jauh sudah tersergam bangunan di atas puncak sebuah bukit, Bukit Ledang di pesisir Selat Tebrau. Nampak gagah dan melambai-lambai menyambut pengunjung terutama umat Islam. 

"Itu dia masjid Sultan Abu Bakar, cantik sangat," kata anak saya sambil menunjuk ke arah sebuah bangunan di puncak bukit.


Pemandangan ruang solat yang tenang dan mendamaikan.


Kebetulan ketika kami sampai, sudah melepasi waktu zuhur, jadi orang tidak ramai. Jadi, saya dapat menatap sepuas hati bangunan di depan saya itu. 

Melihat masjid negeri ini dari luar, ia rasakan ia lebih kepada seni bina Eropah berbanding Timur Tengah.

Masjid ini mempunyai empat menara yang saya juga perasan ia mirip Masjid Abidin (dulu dikenali Masjid Putih) di Terengganu. Saya pernah mengunjungi masjid di Pantai Timur itu tidak lama dulu.

Mengikut sejarah, masjid ini dibina pada 1892 dan dibuka secara rasmi oleh Sultan Ibrahim Sultan Abu Bakar pada 1900. Ia juga diberi nama sempena Almarhum Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim.


Ruang berehat sementara menunggu azan berkumandang yang dilengkapi bahan bacaan agama.


Melihat menaranya, ia berbentuk dua tingkat bulat di atas dan empat persegi di bawah serta berkubah. Saya difahamkan masjid ini boleh memuatkan kira-kira 3,000 jemaah.

Memasuki bahagian dalam masjid, saya nyata kagum kerana reka bentuk yang lebih elegan dan gaya klasik.

"Waduh, memang hebat dengan warna kuning keemasan," kata saya dalam hati. 

Jika anda belum pernah ke sini, datanglah bila ada masa kerana di dalamnya tidak seperti masjid biasa tapi diri seolah-olah berada di istana zaman kolonial. 



Kredit foto: FB Visit Johor


Saya masuk lebih dalam ke dewan solat dan melihat mimbarnya - memang lain daripada kebanyakan masjid yang pernah saya kunjungi.

Seorang sahabat di JB memberitahu, jika mahu ke sini, sebaiknya datang pada waktu solat subuh atau maghrib kerana suasana gelap yang diterangi lampu berwarna warni menjadi keadaan amat memukau.

Tapi, saya tiba di masjid itu jam 3 petang, jadi tiadalah lampu berwarna warni. Tapi, saya dapat rasakan ketenangan melihat pemandangan yang indah dari tingkat atas masjid itu.

Kedudukan masjid itu di atas bukit membolehkan kita dapat melihat saujana mata memandang Selat Tebrau dan panorama indah bandar Johor Bahru.

Selepas menunaikan solat jamak zuhur dan asar, kami meninggalkan masjid itu. Tapi, dalam hati saya berkata, Insya-Allah jika datang ke JB lagi, masjid ini antara destinasi pertama saya. - KitaReporters


Dekorasi taman yang indah di luar Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru.

_______

 

 

 

  

20
13
0
6
0

Copy Link: