Video| Cuti-Cuti Malaysia! Kundasang gamit memori! Misi tawan Bukit Maragang! Hayati kebesaran Allah!

Published by
KitaReporters

PENULIS bersama dua puteri  Anis (kiri) dan Aqila berjaya menawan Bukit Maragang setinggi 2,232 meter.


KALI pertama penulis menjejakkan kaki ke Kundasang, Sabah adalah pada tahun 2008 dan penulis boleh diibaratkan ‘jatuh cinta pandang pertama’ kepada destinasi pelancongan itu sehingga menyimpan impian untuk berkunjung lagi ke situ.

Seronoknya di sini, suasananya sangat nyaman seolah-olah kita sedang menikmati musim sejuk di luar negara dengan suhu kira-kira 15 darjah celsius sementara pemandangan sangat memukau terutama berlatar belakangkan Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda Negeri Di Bawah Bayu itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan destinasi Kundasang


Impian itu mampu dipenuhi baru-baru ini apabila selepas 15 tahun, penulis bersama isteri dan dua anak perempuan sekali lagi bertandang ke Sabah selama empat hari tiga malam pada 16 Januari  hingga 19 Januari, 2023.

Dan peluang itu tidak penulis lepaskan untuk berkunjung ke Kundasang yang terletak sejauh 120km dari Kota Kinabalu serta mengambil masa selama kira-kira 2 jam 30 minit perjalanan secara berkereta yang disewa daripada seorang kenalan dengan kadar RM100 sehari.

Ketika penulis datang 15 tahun lalu, dua puteri penulis yang turut bersama ketika itu masih kanak-kanak. 

Ketika itu Anis baru berusia 9 tahun sementara Aqila, 7. Kini, mereka sudah bergelar remaja, jadi sudah tentu aktiviti pada kunjungan kali ini sedikit berbeza, sesuai dengan jiwa mereka.


TREK yang disediakan untuk mendaki Bukit Maragang.


Sebagai anak muda, mereka mahu mencuba aktiviti yang lebih adventurous berbanding kami yang lebih suka santai-santai sambil menikmati alam, merakam gambar dan video serta makan-makan tapi kali ini kami terpaksa mengikut rentak mereka walaupun ada antaranya tidak sesuai dengan individu seusia kami.

Antara pengalaman baharu yang penulis tempuhi kali ini adalah cabaran untuk menawan sebuah bukit bernama Maragang Hill (Bukit Maragang), salah satu destinasi yang kini menjadi tumpuan pelancong terutama mereka yang menggemari aktiviti mendaki (hiking).

Apabila anak mengajak untuk mendaki Bukit Maragang, penulis sebenarnya agak keberatan, maklumlah pada usia yang sudah bergelar warga emas, mendaki ke puncak bukit setinggi 2,232 meter bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi penulis tidak aktif dalam aktiviti mendaki.

Bagi mereka yang memang sudah biasa dengan aktiviti berkenaan, mendaki setinggi itu mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah, bak kata orang sambil makan kuaci, boleh sampai ke puncak. Tapi, bagi penulis, ia sesuatu yang sangat mencabar.

Walaupun penulis seorang yang aktif melakukan aktiviti berjogging atau brisk walk sehingga mampu berlari atau berjalan hampir 10km namun penulis sedar, aktiviti mendaki adalah cabaran yang berbeza sama sekali kerana trek yang bakal ditempuh bukan mendatar tapi berbukit.

Tapi, anak penulis terus memberi keyakinan bahawa penulis mampu melakukannya apatah lagi sehari sebelum pendakian itu, kami menguji kemampuan dengan mendaki Bukit Sosodikon, juga di Kundasang, yang berketinggian 1,465m. Kejayaan sampai ke puncak Sosodikon menyuntik sedikit keyakinan penulis untuk menyahut cabaran dilemparkan oleh anak-anak.


SEPANJANG pendakian, tidak kurang 10 kali penulis berhenti rehat. Jurupandu, Guhadi Lasim sentiasa memberi motivasi untuk meneruskan misi.


Pada 18 Januari, 2023, bersama Anis dan Aqila, kami memulakan pendakian ke Bukit Maragang pada pukul 6.30 pagi. Isteri mengambil keputusan untuk berehat di penginapanan sahaja. Memandangkan ia bukan hujung minggu, jadi hanya kami bertiga yang menyertai aktiviti itu untuk sesi 6:00 pagi.

Sebelum bergerak, kami diberi taklimat ringkas oleh jurupandu, Guhadi Lasim yang berusia 70 tahun namun lebih cergas dan bertenaga daripada saya. Pengalamannya yang lama sebagai jurupandu, walaupun secara sambilan jelas memberi kelebihan kepada Guhadi berbanding saya.

Ada juga kumpulan yang mendaki seawal pukul 3.00 pagi kerana mereka mahu menikmati suasana matahari terbit dari atas puncak bukit itu. 

Bagi kami yang mengambil sesi pukul 6.30 pagi, matlamat kami adalah untuk menikmati suasana gunung ganang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu. Jika lewat tiba, kami tidak akan dapat menghayati pemandangan itu kerana Kinabalu akan terhalang dek kabus tebal.

Sebagaimana diduga, pendakian itu bukanlah mudah untuk penulis walaupun Anis dan Aqila nampak selesa dan cepat menyesuaikan diri. Apatah lagi, hujan lebat yang menyirami bumi Kundasang malam sebelum itu membuat trek laluan menjadi licin. Penulis perlu berhati-hati, bimbang tergelincir.

Pada masa sama, penulis mula berasa mengah, tercungap-cungap dan kaki terasa amat berat untuk melangkah serta mendaki. Ada ketika terbit pula rasa menyesal mengikut anak-anak mendaki bukit ini.


BEREHAT untuk melepaskan dahaga.


Bagi menenangkan perasaan, penulis berzikir, beristigfar dan berselawat serta memberi sepenuh tumpuan kepada pendakian.

Sepanjang pendakaian itu, penulis kerap berhenti rehat, rasanya tidak kurang 10 kali penulis berhenti untuk minum, menarik nafas serta mengumpul semula kekuatan dan semangat.

Tersetik juga di hati tidak mahu meneruskan pendakian. Rasa tidak terdaya lagi hendak mengangkat kaki dan mahu mengibar bendera putih. Tapi, Guhadi sentiasa memberi kata-kata semangat serta menggambarkan bahawa penulis sudah semakin dekat untuk sampai ke puncak meskipun hakikatnya penulis tahu, ia masih jauh.

Bagi menenangkan perasaan, penulis berzikir, beristigfar dan berselawat serta memberi sepenuh tumpuan kepada pendakian tanpa terlalu memikirkan tentang kesukaran yang ditempuhi itu. Penulis dapati kaedah itu sangat berkesan.



Akhirnya, selepas 1 jam 30 minit mendaki, Bukit Maragang dapat juga penulis tawan. Sebaik sahaja berada di puncak, hilang keletihan terutama dapat melihat Gunung Kinabalu tersergam gagah di depan mata.

Kami menghabiskan masa kira-kira 20 minit di puncak bukit itu. Sambil menikmati suasana di puncak Maragang, penulis dapat menghayati akan kebesaran Allah SWT yang mencipta alam terutama gunung ganang yang tegak berdiri di atas muka bumi.

Walaupun bagi sesetengah orang, menawan Bukit Maragang bukanlah sesuatu yang luar biasa tapi bagi penulis yang tidak berpengalaman sebagai pendaki, juga pada usia 62, mampu mendaki bukit setinggi 2,232m itu adalah satu kebangaan peribadi yang akan menjadi kenangan seumur hidup. Dan sijil yang penulis terima menjadi buktinya!

Selain mendaki Bukit Maragang, penulis juga buat pertama kali menyertai aktiviti parasailing (layar layang) pada hari terakhir di Sabah. Walaupun agak gayat berada di tempat tinggi, namun ketakutan itu hilang apabila sudah berada di udara sambil ditarik oleh bot merentasi lautan luas Pulau Manukan di Kota Kinabalu.

Percutian empat hari tiga malam itu benar-benar satu pengalaman yang menyeronokan. Jika dianugerahkan umur yang panjang serta dilimpahkan rezeki, penulis ingin menjejakkan lagi kaki ke bumi Sabah, khususnya Kundasang. – KitaReporters


 

 

 

 

23
14
0
18
0

Copy Link: