Video| Hajat nak rebus laksa! Tapi dapat ambuyat! Gara-gara guna pressure cooker! Undang gelak tawa!
Published bySiapa sangka, resipi tradisional dan teknologi moden boleh bertembung dengan cara paling kelakar?
Seorang pengguna Threads dengan nama akaun @mira_othmn, berkongsi pengalaman uniknya ketika cuba merebus laksa menggunakan pressure cooker (periuk tekanan) dan hasilnya?
Laksa keras yang direndam lama tiba-tiba berubah menjadi seperti ambuyat, mengundang gelak tawa ramai.
Bagi yang tidak tahu apa itu ambuyat, ia adalah makanan tradisional yang popular di Brunei dan beberapa kawasan di Borneo.
Ia diperbuat daripada kanji (tapioca starch) yang dimasak dengan air hingga menjadi cecair pekat dan melekit, menyerupai jeli atau lem (gam). Teksturnya kenyal, lembik, dan melekat, biasanya dimakan dengan cara dicelup ke dalam pelbagai sos atau sambal sebagai perasa.
Masalah bermula apabila gas di dapurnya habis. “Alkisahnya, gas habis. Tengok dalam TikTok boleh rebus laksa, kita pun cubalah sebab dah rendam dulu sebelum masuk pressure cooker ni.
"Sekali entahlah,” tulis Mira sambil memuat naik video yang memperlihat laksa kerasnya melekat dan menjadi lembik seperti ambuyat.

Menurut Mira, dia menggunakan laksa bukan jenis readymade, tetapi laksa keras yang
memerlukan persiapan lebih teliti. Cara tradisionalnya adalah merendam laksa ke
dalam air sebelum direbus di dalam periuk nasi atau atas dapur gas.
Tambah Mira lagi, kaedah memasak tradisionalnya ini sudah lama diamalkan oleh keluarganya. Dia biasanya merendam laksa keras dulu supaya lembut, kemudian merebusnya perlahan-lahan agar tidak putus atau melekat.

“Saya selalu guna cara saya sendiri, rendam dulu antara empat hingga lima jam, kemudian rebus dalam periuk nasi biasa atau atas dapur gas,” jelasnya.
Namun, situasi gas habis menjadikannya mencuba teknik moden dengan pressure cooker dan hasilnya tidak seperti yang dijangka.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai netizen yang tidak ketinggalan berkongsi pengalaman mereka sendiri dalam memasak laksa. Ada yang berseloroh tentang pengalaman lucu mereka.
“Dah macam MIL (ibu mentua) saya. Rebus sotong, tahu-tahu hilang,” cerita netizen tersebut.

Manakala seorang lagi netizen berkongsi tip tradisionalnya untuk laksa halus, iaitu hanya perlu direndam sekejap dalam air paip sebelum dicelur sebentar dalam air panas.
Bagi laksa kering yang lebih besar, dia menasihatkan rendaman lebih lama dan rebusan cepat, malah rice cooker biasa pun boleh digunakan jika tiada gas.
Perkongsian itu membuka mata ramai tentang perbezaan antara laksa keras, laksa halus, dan laksa readymade.
Mira sendiri mengakui bahawa dia baru mengetahui tentang laksa readymade, kerana sebelum ini hanya terbiasa dengan laksa keras yang dibeli oleh ibunya dari Kedah.
Menurutnya, keluarganya menggunakan laksa beras keras sebagai kebiasaan, jadi agak pelik bila mendengar cara orang celur laksa basah.
Sis mama saya pun orang Kedah. Memang cara orang Kedah guna laksa beras kot. Sebab tu pelik mereka cakap celur laksa,” jelas netizen lain.

Seni masak tradisional tetap ada tempatnya. Dari rendaman laksa, rebusan perlahan, hingga penggunaan rice cooker atau pressure cooker, setiap langkah mempunyai kesannya tersendiri.
Paling penting, jangan takut untuk mencuba kerana di sebalik percubaan itulah muncul detik-detik lucu dan ilmu masakan baharu. - KitaReporters

