PANDEMIK COVID-19 benar-benar merubah kehidupan kita, terutama bagi yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap.

Walaupun impak daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amat baik terhadap penurunan kadar jangkitan wabak tersebut, namun ia memberi kesan negatif buat sektor ekonomi.

Ia termasuklah sektor pelancongan, di mana sedikit demi sedikit para penggiat sektor berkenaan terpaksa gulung tikar atau mencari alternatif lain untuk meneruskan hidup.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelancongan


Kesannya begitu ketara apabila secara keseluruhannya pelancongan mengalami kerugian sekitar RM45 bilion dalam tempoh enam bulan pertama penularan pandemik COVID-19 di negara kita.

Jumlah tersebut makin meningkat selepas gelombang ketiga bermula sekitar penghujung September tahun 2020 lalu. Akibatnya, lebih 4 juta orang yang terlibat dalam sektor pelancongan dan sekitar 640,000 buah syarikat yang mengusahakan produk serta perkhidmatan pelancongan menerima tamparan hebat daripada situasi tersebut.



Langkawi antara kawasan yang paling mendapat tempias kerana pulau tersebut antara pusat peranginan popular dunia dan majoriti besar penduduknya merupakan pengusaha sektor pelancongan.

Setelah lebih setahun pandemik ini tidak menampakkan hasil positif untuk pulih, ia mendorong beberapa penggiat sektor pelancongan di Langkawi untuk 'move on' dan mencuba bidang baharu, asalkan ia dapat memberi pendapatan kepada keluarga.

Antara bidang yang diceburi mereka adalah menjadi awak-awak bot bilis di laut Andaman.

"Tidak pernah terbayang di fikiran untuk menjadi awak-awak pukat bilis," antara keluhan beberapa orang pengusaha sektor pelancongan di Langkawi yang kini terpaksa mencuba bidang baru.

Terpanggil untuk mendalami nasib mereka, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kuah, Langkawi, Nor Saidi Nanyan mengambil inisiatif turun sendiri ke bot bilis berkenaan.




Berdasarkan perkongsian cerita beliau di laman facebook, Nor Saidi sempat menyantuni seramai 35 orang bekas pekerja sektor pelancongan yang terpaksa berpindah karier akibat tiada lagi aktiviti pelancongan dibenarkan.

Mereka dahulunya seorang pemandu teksi, e-hiling, pekerja hotel dan pemandu pelancong yang rata-rata merupakan anak tempatan.

Namun sekarang, mereka terpaksa menjadi awak-awak bot bilis, sebuah pekerjaan yang dahulunya dipelopori warga Thailand.

"Inilah antara 35 orang awak2 bot bilis yang sebelum ini merupakan pekerja di sektor pelancongan seperti pemandu teksi, grab, hotel, bot pelancong dan pelbagai lagi. Demi sesuap nasi dan kelansungan hidup merekalah yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh awak2 dari Thailand," tulisnya di laman facebook.

Nor Saidi turut kongsikan bagaimana kesusahan yang dialami oleh awak-awak bot bilis tersebut yang ternyata cukup berbeza dengan pekerjaan lama mereka sebelum ini. 




"Sejak 5 bulan yang lalu seawal jam 5 pagi di kala ramai yang masih tidur tetapi mereka dah berada dalam bot, berpanas, berhujan dan muntah2 disebabkan mabuk laut semua ini digagahi demi menyara anak isteri dan keluarga.

"Mereka memperolehi sekitar RM 1300.00 sebulan. Sebelum ini terdapat 39 buah bot bilis yang beroperasi tetapi kini hanya 4 buah sahaja yang beroperasi," katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Langkawi berasa kagum dengan kesungguhan dan ikhtiar yang ditunjukkan bekas-bekas pemain sektor pelancongan tersebut dan berdoa supaya rezeki mereka sentiasa dipermudahkan sentiasa.

"Saya cukup kagum dengan daya usaha mereka yang tidak menunggu sesuatu yang tidak pasti dan mengambil keputusan tukar bidang pekerjaan. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Aamiin," katanya dengan disertakan sebuah video kompilasi gambar bersama awak-awak bot bilis berkenaan baru-baru ini. - KitaReporters


0
0
1
0
0

Copy Link: