Banyakkan kedai kopi klasik! Kopi, roti bakar, telur setengah masak gamit memori! Harga pun murah!

Published by
KitaReporters

Saban hari kita melihat trend kedai kopi hipster di buka bak cendawan selepas hujan di serata Malaysia dengan hidangan kopi moden dan pastry serta pencuci mulut yang moden dan kebaratan.



Penulis masih lagi gemar menikmati secangkir kopi atau teh bersama roti bakar dan telur separuh masak sambil membaca surat khabar bagi memulakan hari yang mencabar kini. 

Ada satu kedai kopi lama atau kopitiam yang penulis lalu sahaja di depannya terus teringat zaman kecil penulis. 

Keadaan kedai yang bukanlah moden, hanya dilengkapi dengan meja kayu sebahagiannya, kerusi plastic dan kedai juga masih lagi berpaksikan tiang seri kayu yang masih utuh.



Aura kedai kopi klasik atau lama ini sangat menenangkan apabila melangkah masuk sahaja ke kedai kopi ini bau semerbak harum kopi terus memberikan rasa yang menyegarkan. 

Penulis geram pada menu roti bakar keping yang dibakar garing dan disapu dengan mentega lemak masin serta sedikit kaya. Setiap gigitan sangat rangup di luar tetapi lembut di dalam. 

Makan pula bersama telur setengah masak.  Telur setengah masak ini dihidangkan tanpa dipecahkan telurnya.

Pelanggan akan pecahkan telur ini yang masih hangat ke dalam piring. Pelanggan juga boleh menambah kicap serta lada sulah ke dalam telur tersebut sebelum menikmatinya. 

Penulis gemar mencicah roti bakar ke dalam telur setengah masak ini. Rasanya sangat unik, berlemak, dan yang paling penting sangat berkhasiat tinggi dengan protein.



Hidangan air pula dihidangkan di dalam cawan rekaan lama yang berpiring di mana menu air pula sudah tentulah kopi hitam, kopi susu, teh, teh C dan lain-lain lagi. 

Teh C dan kopi C adalah bermaksud cair. Teh dan kopi yang dibuat menggunakan susu cair berbanding susu pekat biasa. Rasanya masih enak, berlemak tetapi kurang manis. Ia amat memenuhi cita rasa pelanggan yang inginkan minuman yang kurang manis. 

Ada juga menu lain seperti nasi lemak bungkus, lontong dan kuih-muih lain yang dihantar peniaga lain ke kopitiam lama ini. Jadi pemilik kopitiam boleh fokus pada menu utama iaitu roti bakar dan telur setengah masak. 

Harganya juga harga rakyat marhaen di mana sebiji telur separuh masak hanya RM2 dan roti bakar keping RM3. Air minuman pula RM2.50 paling rendah.



Pelanggan di kedai kopi klasik ini juga terdiri daripada orang-orang ‘lama’ usia, yang seangkatan dengan datuk nenek kita di mana mereka gemar menghirup kopi atau teh selepas penat pulang dari kebun, sekali gus menambahkan aura klasik dalam kedai kopi ini. 

Penulis harap konsep kedai kopi klasik dan lama ini dapat dikekalkan dan diperbanyak lagi kerana menunya sangat ringkas, enak dan tidak mahal. 

Dengan ekonomi yang makin mencabar rakyat perlu berjimat tetapi dalam masa yang sama masih mampu menikmati hidangan yang enak dan murah di luar. - KitaReporters

14
13
0
14
0

Copy Link: