JAM 7 pagi, kawasan lapang di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya sudah dipenuhi orang ramai untuk mengambil bahagian dalam program Hari Rekreasi Putrajaya 2023.

Cuaca yang baik pagi itu membolehkan orang ramai memasang khemah dan tikar untuk bersantai bersama keluarga. Anak-anak berlari-lari ke sana sini dengan gembira kerana kawasan perkelahan yang lapang.

Gerai-gerai makan, tempat pameran dan aktiviti lain sibuk membuat persiapan bagi menyambut pengunjung dan orang ramai yang sekejap lagi akan bertambah ramai.

Kanak-kanak membina daya kreativiti melalui pertandingan membina istana pasir.


Dalam masa beberapa jam kawasan Anjung Floria sudah dipenuhi orang ramai dan keadaan seperti pesta dengan pelbagai aktiviti yang sudah diatur untuk memeriahkan program Hari Rekreasi Putrajaya 2023 pada 14 Oktober 2023 lalu.

Seronok melihat pengunjung yang mengambil bahagian dalam acara sukan rakyat. Acara boling kelapa paling mencuri tumpuan kerana kebanyakan kelapa yang dibaling peserta melencong dari sasaran. Begitu juga acara berlari dalam guni, batu seremban dan menarik upih.

Dalam acara berlari dalam guni, macam-macam gelagat boleh dilihat, ada yang terjatuh dan bangun untuk meneruskan perlumbaan. Gelak ketawa orang ramai dan tepukan mereka yang memberi sokongan, menggamatkan suasana.

Pelbagai pusat pameran dan gerai jualan yang boleh dikunjungi orang ramai sempena Hari Rekreasi Putrajaya 2023.


Di dalam air, ada acara yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dahulu seperti menangkap itik, meniti jambatan licin, memukul bantal, membina istana pasir dan pertandingan tarik tali dalam air.

Siapa tidak tersenyum melihat kanak-kanak dengan kesungguhan membina istana pasir. Teringat zaman kanak-kanak ketika berkelah bersama keluarga. Alahai seronok bukan kepalang. Begitu juga dengan memukul bantal dan meniti jambatan licin, nampak mudah tapi apabila mengambil bahagian baru tahu  peritnya.

Sempena Hari Rekreasi Putrajaya 2023, penganjur turut mengadakan acara Renang Terbuka Piala Presiden Perbadanan Putrajaya. Edisi kali kedua ini disertai kira-kira 100 peserta dari sembilan negara, antaranya Perancis, Sepanyol, India, Singapura dan Maldives.

Acara sukan menarik upih mengimbau kenangan di zaman kanak-kanak ketika tinggal di kampung.


Aktiviti di pentas utama tidak kurang hebatnya dengan persembahan kebudayaan, selain permainan silap mata yang memang menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak.

Acara yang dinanti-nantikan, pastinya pengiktirafan Hari Rekreasi Putrajaya 2023 sebagai Barisan Perkelahan Terpanjang (The Longest Picnic Line) dalam Malaysia Books of Record (MBOR).

Selepas dibuat ukuran oleh pasukan khas, alhamdulillah barisan pengunjung yang hadir sempena perkelahan itu ialah seramai 1,000 orang bersamaan 253 lot perkelahan dan berukuran 709.5 meteri panjang.

Seronoknya peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan tarik tali dalam air, meriah.


Atas pencapaian itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud menerima sijil penghargaan daripada wakil Malaysia Books of Record (MBOR)..  

Fadlun berkata, pengiktirafan itu membuktikan apa yang dilakukan oleh Perbadanan Putrajaya memperkenal pusat pentadbiran negara itu sebagai bandar mesra rekreasi akan menjadi kenyataan dan diterima baik masyarakat.

Hari Rekreasi Putrajaya 2023 mendapat pengiktirafan MBOR sebagai Barisan Perkelahan Terpanjang.


"Saya berharap Hari Rekreasi Putrajaya dijadikan acara tahunan pada peringkat kebangsaan, dengan menjadikan Putrajava sebagai penanda aras terutama penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi sokongan dan gaya hidup sihat.

"Kita mahu menjenamakan Putrajaya sebagai bandar rekreasi untuk menggalakkan gaya hidup sihat, destinasi untuk aktiviti riadah keluarga, mempromosi keindahan dan kepelbagaian rekreasi di sini.

TPr Fadlun Mak Ujud (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan Barisan Perkelahan Terpanjang dari wakil MBOR.


"Pemilihan Anjung Floria adalah bertepatan dengan pengisian utama Hari Rekreasi Putrajaya 2023 iaitu acara perkelahan kerana Anjung Floria terkenal sebagai spot terbaik menikmati matahari terbenam di Putrajaya," katanya.

Sementara itu, selepas penat berkelah dan bermain di dalam air, pameran, carboot sales, pasar seloka, zon pameran campsite dan tempat menjual makanan menjadi tumpuan pengunjung menikmati pelbagai menu bersama keluarga. Paling sedap, sengkuang calit. - KitaReporters


Acara meniti di jambatan licin menguji kreativiti peserta mengimbangi badan supaya tidak tergelincir dan jatuh ke tasik.

16
7
0
13
0

Copy Link: