KETIKA warga maya sibuk dengan kumpulan Facebook (FB) 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni (MATJHN)' sehingga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebutnya dalam sidang akhbar sempena arahan terbaharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini wujud pula kumpulan FB khusus untuk suami. : KitaReporters


Tiada perkara lain - para isteri tak perlu risau - namun hanya untuk menunjukkan bakat memasak yang ada pada para suami ekoran arahan PKP yang kini memasuki fasa terbaharu dengan bersyarat.

Kumplan FB Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI?) itu diwujudkan bagi membolehkan para suami, lelaki bujang mahupun duda menunjukkan kemampuan masing-masing memasak sempena bulan Ramadan dan ketika PKP Bersyarat (PKPB) sekarang.

Berbanding MATJHN yang rata-rata menunjukkan masakan yang tidak menjadi sehingga ada yang mengatakan ada ahli kumpulan FB itu sengaja buat-buat masak yang tak menjadi hanya kerana 'lapar' like dari pelayar, SMAHI? lebih kepada kemampuan suami atau lebih umum lelaki memasak untuk keluarga.

Tinjauan yang dilakukan dalam kumpulan itu menyaksikan ahli-ahli bekerjasama untuk menunjukkan apa yang mereka masak dan bagaimana cara mereka memasak sehingga ada yang tidak percaya, masakan yang dihasilkan adalah dari para lelaki atau suami.


Malah para pentadbir SMAHI? yang kini berjaya mengumpul lebih 41,000 ahli selepas ditubuhkan pada 16 April 2020 turut menyediakan pertandingan 'OOTD SMAHI' yang membolehkan ahli menunjukkan pakaian yang mereka pakai ketika memasak setiap hari selain menyediakan status popular 'Dari Dapur Admin' yang memberikan penerangan dari semasa ke semasa.

Bagi mengelakkan SMAHI? menjadi kumpulan stereotaip dengan kumpulan-kumpulan memasak di FB, para pentadbir turut menyediakan sesi siaran langsung yang bakal dilakukan oleh beberapa cef-cef lelaki terkenal bagi memberi tunjuk ajar dengan menu-menu menarik.


Selain itu sesi interaktif secara langsung sering diadakan bagi memberi tunjuk ajar dan penjelasan cara-cara memasak yang betul dengan diselitkan dengan pertandingan siapa menjawab paling pantas di mana sering menjadi tumpuan kepada ahli-ahli SMAHI?.

Apa pun, para isteri pastinya ingin mengetahui aktiviti suami masing-masing dan atas alasan itu, para pentadbir sering mengeluh kerana terpaksa menolak permintaan mereka yang bergelar isteri atau wanita untuk menyertai SMAHI? atas alasan kumpulan FB itu eksklusif untuk lelaki sahaja.

Salah seorang pentadbir, Pai Epal yang menjadi antara penyaring mereka yang ingin menyertai SMAHI? sering mengeluh kerana masih ada wanita yang mahu menyertai kumpulan FB ini.

"Assalammualaikum semuo, min sodih boto la, apo gigih bonar kaum wanita nak masuk juga group ni, bukan x kasi tgk (dah) public, da siap kasi dah, nak jugak masuk dalam ni, dah dikobakan rule n regulation pon x paham2, ni contoh2 eh, tapi sobonarnye eh da byk dah kaum wanita den decline, ayo osah xpaham2. Min totap x kasi kaum wanita masuk," luahnya.


Apa yang menarik di dalam kumpulan FB ini ialah gelagat para suami atau lelaki yang memasak kadang-kadang di lihat serius namun masih ada yang kelakar sebagai contoh hari ini berkisar mengenai lelaki yang memasak tidak mamakai baju.

Bagi Suardi Aris, tidak memakai baju sebenarnya adalah cara yang sering dilakukan oleh suami ketika memasak: "Seronok skit group ni.. Boleh post tgh masak tak pakai baju.. realitinya memang kita org lelaki masak jarang nak pakai baju..."


Sementara Ahmad Shukri Amiruddin pula menyatakan: "Memang patutlah kita jangan bagi wanita masuk group ni. Sebab ada yg masak tak pakai baju. Nampak habis barang di dada. Lebih tu post pulak dalam ni. Aku gelak sorang2. "NO WOMEN NO CRY....""

Dan Aqumal Hafizie pula berkata: "Jangan invite makcik bawang masuk group ni . Depa hati tisu . Kita suami2 kena tegas . Masak Tak pakai baju tu lah yg membuatkan makanan tu enak ."

Namun ada juga yang 'nganjing' di mana Shah Affendi turut mengatakan: "Jangan bagi perempuan masuk group ni, mereka nak tiru resepi masakan kita, group dorang kan asyik masak tak jadi ja."

Apa pun, tidak semua posting yang dilakukan banyak membawang dan ada juga yang agak serius dengan menunjukkan cara-cara membuat masakan dengan cara yang betul cukup dengan bahan dan sukatannya sekali.


PKP yang kini memasuki fasa keempat sehingga 12 Mei ini yang kini dikenali sebagai PKPB memberikan banyak idea kepada masyarakat Malaysia yang kini mempunyai banyak masa terluang dengan keluarga termasuk rakan-rakan hanya melalui alam maya digital.

Kelaziman Baharu yang sering diungkapkan oleh pemimpin negara ini kemungkinan akan kekal dalam setahun dua ini sebelum penawar atau vaksin Covid-19 dapat dijumpai.

Alam maya digital dan media sosial menjadi tempat berhubung, gunakan dengan cara yang betul. - KitaReporters

3
1
0
2
0

Copy Link: