Tengku Hasanal  Ibrahim Alam Shah (depan sekali) menyaksikan rakaman video selepas melakukan gimik pelancaran tema baru pelancongan Pahang, This Is Pahang 2022 - Unlimited.


Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 bermula Mac 2020, boleh dikatakan sektor pelancongan di seluruh negara lumpuh.  

Kini, selepas hampir dua tahun perubahan ke arah lebih positif sudah terlihat dan industri pelancongan semakin aktif  dengan pelbagai inisiatif diambil kerajaan dan pemain industri dalam memastikan ia terus berkembang dan dalam masa sama masih mengutamakan SOP yang ditetapkan. 

Tidak terkecuali negeri Pahang yang telah mengambil inisiatif melancarkan tema pelancongan yang terbaharu, This Is Pahang 2022 - Unlimited sebagai insiatif menggalakkan kemasukan pelancong ke negeri itu.



Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelancongan

Bukit Fraser di Pahang antara destinasi tumpuan pelancong  kerana keindahan alam semula jadinya yang masih kekal menghijau. Kredit foto: Internet


Majlis pelancaran This Is Pahang 2022 - Unlimited dan Malam Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahangi itu telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Hyatt Regency, Kuantan, pada Isnin, 17 Januari 2022. 

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ketika menyampaikan ucapan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemilihan tema itu diharap menjadi pencetus kerancakan semula industri pelancongan di Pahang selepas terjejas teruk.


Tengku Hassanal (tiga dari kiri) berkenan menerima potret baginda ketika berada di puncak Gunung Tahan selepas selesai menyempurnakan Majlis Pelancaran This Is Pahang 2022 - Unlimited. Kredit foto: FB Tourism Pahang 


"Pahang hanya menerima kira-kira satu juta pelancong sahaja pada tahun 2021 dan tujuh juta pada 2020. Bagi tahun 2022 ini, kita anggarkan kira-kira tujuh juta pelancong domestik mengunjungi negeri ini.

"Kita harap sektor pelancongan akan kembali pulih dalam masa terdekat walaupun masih ada beberapa lokasi pelancongan ditutup kesan daripada penularan wabak Covid-19 dan banjir yang melanda bulan lalu seperti di Bentong dan Temerloh.

"Diharapkan Kerajaan Persekutuan benar-benar mengawal keadaan untuk memastikan pandemik Covid-19 dikawal sebaik mungkin kerana bukan sahaja industri pelancongan malah industri lain turut menerima kesannya," katanya.


Tengku Hasanal (kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.

Tengku Hasanal (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.


Ujarnya lagi, pada tahun 2019 Pahang rekodkan kedatangan pelancong seramai 13.9 juta dengan jumlah perbelanjaan pelancong sebanyak RM15 billion.

"Statistik berkenaan menunjukkan Pahang antara negeri tertinggi menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negera. 

"Meskipun kini beberapa destinasi pelancongan seperti Janda Baik di Bentong, tapak-tapak perkelahan serta percutian di Temerloh terjejas banjir dan ditutup sementara, Pahang masih ada Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser yang masih boleh dikunjungi pada bila-bila masa. 


Cameron Highlands antara pelancongan terkenal di Pahang. Kredit foto: Sumber Internet


"Bukan itu sahaja, beberapa aktiviti pelancongan sudahpun dirancang sepanjang tahun seperti Pahang Hiking Week dan Pahang Ocean Canoe International Challenge iaitu acara sukan air bertaraf dunia yang bakal diadakan pada Julai atau Ogos 2022 menggunakan jajaran persisiran pantai sepanjang 240 kilometer.

"Bagi Pahang Hiking Week, kita mahu promosikan lokasi pendakian di setiap daerah di mana pengunjung boleh mendaki dan menginap di hotel dan resort berhampiran selain inap desa," katanya. 

Katanya lagi,  para penggiat pelancongan di negeri ini juga telah bersedia dan akan membantu meningkatkan hasil pendapatan daripada sektor pelancongan. 


Pulau Tioman masih kekal sebagai destinasi utama utama aktiviti selam skuba. Kredit foto: Sumber internet

Sementara itu, pada majlis berkenaan sebanyak 111 anugerah penghargaan disampaikan kepada penerima melalui pelbagai kategori seperti Anugerah Trofi Utama, Anugerah Pelancongan, Anugerah Kebudayaan dan Kesenian dan Anugerah Kraftabgan kepada penggiat industri dan pengamal media. 

KitaReporters.com turut tersenarai sebagai penerima anugerah media dan diiktiraf sebagai pihak yang  membantu  sektor pelancongan baru Pahang melalui penulisan.


Tengku Hasanal (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada kepada salah seorang penerima.
Penulis mewakili KitaReporters.com menerima anugerah daripada Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Sri Sh Mohamed Fuzi Sh Ali


This Is Pahang - merupakan ungkapan tepat yang menggambarkan kepelbagaian produk pelancongan, seni dan budaya Pahang. 

Terbahagi kepada 11 daerah, Pahang sememangnya kaya dengan sumber alam semulajadi yang menjadi aset utama kepada pemangkin pembangunan sektor pelancongan. 

Terdapat tiga koridor utama yang membezakan lanskap tumpuan pelancong seperti alam semulajadi, pulau, pantai dan tanah tinggi.

Selain lokasi percutian yang menjadi nadi utama pelancongan di negeri ini, Pahang juga menjadi antara negeri yang kaya dengan pelbagai acara dan program pelancongan khususnya sukan, kesenian dan kebudayaan dan aktiviti berkaitan alam semulajadi. 

Apa lagi, tetapkan segera tarikh percutian anda untuk berkunjung ke Pahang!

Jom ikut jejak Tourism Pahang yang amat komited menaikkan semula industri itu dengan mengambil inisiatif melancarkan tema baru pelancongan, This Is Pahang 2022- Pahang Unlimited. - KitaReporters


14
6
0
19
0

Copy Link: