PRASEKOLAH di Sekolah Kebangsaan (Felda) Redong (SKFR), Segamat, Johor, berjaya menjadikan angklung sebagai kebitaraan angklung di samping merealisasikan alat muzik berkenaan untuk memupuk minat serta memperkembang bakat murid dalam seni muzik dan keseronokan belajar.

Langkah itu juga bertujuan menyuntik semangat murid prasekolah untuk hadir ke sekolah sekali gus menaikkan peratus kehadiran murid ke sekolah setiap hari. Pada masa yang sama terciptanya kemenjadian murid prasekolah SKFR.


Cikgu Nurul Sapiah Ma’arof (belakang, kanan) bersama ahli pasukan angklung prasekolah Sekolah Kebangsaan (Felda) Redong (SKFR), Segamat, Johor. 


Penubuhan pasukan angklung prasekolah berkenaan bermula sejak tahun 2018 sehingga kini terus aktif selain merupakan satu-satunya kumpulan angklung prasekolah ada di daerah Segamat atau Johor amnya.

Cikgu Nurul Sapiah Ma’arof yang bertindak sebagai jurulatih pasukan angklung itu, berkata maka tidak hairanlah prasekolah SKFR mempunyai pengalaman lebih dari lima tahun dalam memainkan alat muzik itu dan merupakan suatu amalan terbaik.

 Menurut Cikgu Nurul Sapiah, sehubungan itu dengan kekuatan dan sokongan mantan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; mantan Guru Besar SKFR, Abdul Rahim Kasdi; dan Guru Besar SKFR sekarang Rabiah Ahmad, prasekolah diberi tanggungjawab untuk merealisasikan kebitaraan angklung sebagai identiti.

Tambahnya, pasukan prasekolah yang terdiri dalam kalangan kanak-kanak prasekolah SKFR berumur antara lima dan enam tahun itu gigih mengikuti latihan serta bimbangan secara berjadual  dilakukan oleh beliau dengan pembantu jurulatih iaitu Cikgu Muhammad Arham, Maznah Abu Kassim dan Asiah Omar.


Pasukan angklung prasekolah SK (Felda) Redong gigih menjalani latihan yang disusun guru mereka.


Cikgu Nurul Sapiah yang merupakan guru prasekolah SKFR menjelaskan, latihan serta bimbingan yang diberikan itu adalah untuk memantapkan kemahiran dalam penggunaan angklung dan memainkan lagu semasa bagi melahirkan murid yang cintakan budaya sekali gus menzahir kemenjadian murid.

“Sokongan yang amat baik daripada guru besar, barisan pentadbir dan guru, saya berkeyakinan pasukan angklung prasekolah ini akan terus cemerlang pada masa akan datang dengan memenangi banyak pertandingan.

“Dalam kalangan Ibu bapa pula mereka sangat teruja apabila wujudnya aktiviti permainan angklung pada peringkat prasekolah untuk anak-anak mereka khususnya disamping memuji keyakinan anak mereka memainkan alat muzik ini di hadapan orang ramai bukanlah perkara yang mudah.

“Manakala keprihatinan ibu bapa untuk memastikan kehadiran anak mereka ke sekolah adalah sangat menggalakkan ditambah lagi ada daya tarikan keseronokan ke sekolah untuk mempelajari angklung setiap hari,” katanya.


Ahli pasukan angklung prasekolah SK (Felda) Redong merakamkan kenangan bersama-sama pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor hadir ke sekolah itu untuk Pertandingan Bilik JQAF.


Cikgu Nurul Sapiah berkata, kesan amat ketara kewujudan pasukan angklung itu apabila menaikkan peratus kehadiran murid prasekolah di samping menajamkan ingatan mereka untuk mengingati nombor yang terdapat pada setiap alat muzik berkenaan dengan mengeluarkan bunyi berlainan. 

Menurutnya, alat muzik itu juga memberi pengalaman yang berguna kepada murid-murid prasekolah dalam membuat persembahan permainan tradisi dan memupuk kesedaran estetik mereka selain mewujudkan semangat bekerjasama serta rasa tanggungjawab dalam satu kumpulan.

“Pasukan angklung ini juga menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan murid dengan menerapkan disiplin dan mematuhi arahan terutama pada sesi latihan disamping mengeratkan silaturahim dan kemesraan antara guru serta murid.

“Sebagai medium lapangan selain mencungkil bakat murid dan meningkatkan penglibatan dalam kegiatan kokurikulum supaya seimbang dalam JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial bagi menyahut seruan kerajaan melahirkan murid yang holistik selain itu prasekolah SKFR adalah prasekolah penanda aras Daerah Segamat,” ujarnya. 

Antara pencapaian yang dikecapi pasukan angklung SKFR termasuklah Persembahan Pertandingan Nyanyian Solo Daerah Segamat, Persembahan Penanda Aras Prasekolah oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, membuat persembahan pada mesyuarat agung sekolah, hari anugerah kecemerlangan sekolah dan majlis rasmi sekolah. - KitaReporters


Cikgu Nurul Sapiah memberi arahan kepada pasukan angklung prasekolah bimbingannya dalam satu persembahan.


Natrah Ismail (tengah) dan Abdul Rahim Kasdi (dua dari kiri) ada memberi sokongan padu kepada penubuhan pasukan angklung SK Felda Redong.

35
13
0
11
0

Copy Link: