Tolong kami! Bantu Pondok Bidayatul Hidayah Kundasang! Bina surau baharu demi keselamatan pelajar

Published by
KitaReporters


HASRAT pihak pengurusan Pondok Bidayatul Hidayah (PBH), Kundasang, Sabah untuk membina surau baharu masih tidak kesampaian setelah kempen mencari dana dilancarkan sejak enam bulan lalu masih gagal mengumpul sumber kewangan secukupnya.

Terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu, PBH begitu memerlukan surau baharu menggantikan surau digunakan kini yang  semakin uzur dan membahayakan keselamatan pelajar memandangkan ia hanya dibina daripada bahan binaan terpakai.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dana surau


Bahagian belakang pondok yang kekurangan kemudahan asas digunakan sebagai dapur oleh pelajar PBH.


Pengerusi PBH, Mustafa Asad, berkata pihaknya begitu berharap surau baharu yang dijadualkan dibina hujung tahun 2021 ini dapat direalisasikan dengan mendapat sokongan pelbagai pihak khusus bagi mengumpul dana.

"Adanya surau baharu lengkap dengan pelbagai kemudahan asas itu nanti juga boleh dimanfaatkan komuniti sekitar termasuk penduduk Kampung Kundasang Lama, Ranau untuk solat berjemaah serta ikuti pengajian agama bersama-sama pelajar PBH.

"Keadaan surau PBH digunakan buat masa ini uzur dan sempit sekali gus tidak begitu sesuai dikongsikan bersama penduduk, demi keselamatan bersama. Tambahan pula kini dalam situasi pandemik Covid-19, perlu utamakan penjarakan fizikal.

"Bagi memastikan impian  PBH untuk punyai sebuah surau baharu tercapai, pihak kami terpaksa ubah suai semula pelan pembinaan dengan harapan dapat jimatkan kos. Jika pembinaan menelan kos terlalu tinggi mungkin akan sukarkan lagi usaha mengumpul dana sepatutnya," katanya. 

Tambah Mustafa, sementara menunggu kewangan pembinaan surau baharu mencukupi serta elakkan tanah tapak projek berkenaan terbiar dipenuhi semak samun kawasan tersebut diusahakan tanaman sayur-sayuran oleh pelajar PBH serta beberapa penduduk.


Tanah untuk tapak pembinaan surau baharu dibersihkan bagi menanam sayur-sayuran.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan PBH sudah beroperasi semula dengan kemasukan pelajar secara berperingkat-peringkat pada awal bulan Oktober 2021 dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan selepas ditutup sementara beberapa bulan lalu.

"Sebahagian pelajar PBH terdiri daripada anak-anak daripada keluarga miskin, asnaf, anak yatim serta mualaf yang menetap jauh di pedalaman tetapi menunjukkan minat, bersemangat tinggi untuk mendalami pengajian agama.

"PBH mempunyai seramai 21 pelajar ketika ini. Belum ada cadangan untuk menerima tambahan pelajar kerana memikirkan keadaan surau yang uzur namun kita akan berbuat demikian apabila surau baharu dapat dibina nanti termasuk pembangunan kemudahan asrama serta beberapa bilik pengajian. 

“ Walaupun menerima beberapa permohonan untuk memasuki PBH tetapi pihak pengurusan terpaksa menolak kerana faktor kemudahan infrastruktur serta kekangan SOP pandemik Covid-19. Kita tidak mahu pelajar bersesak dalam keadaan tidak selesa," ujarnya.

Katanya lagi, pihaknya benar-benar berharap hasrat PBH untuk membina surau baharu itu berjaya mencapai matlamat yang sekian lama menjadi impian dalam usaha melahirkan ramai generasi muda yang berpengetahuan tinggi dalam agama di Sabah. 


Surau baharu diperlukan bagi menggantikan surau digunakan kini yang semakin uzur dan membahayakan keselamatan pelajar memandangkan ia hanya dibina daripada bahan binaan terpakai. 


Tanaman sayur-sayuran yang diusahakan pelajar PBH hidup subur di atas tanah tapak surau baharu yang akan dibina itu.


Sementara itu, orang ramai yang ingin dapatkan maklumat lanjut mengenai PBH atau menyumbang bagi pembinaan surau dan pembangunan boleh hubungi Pengerusinya, Mustafa Asad ( 011-15098123);  Bendahari, Sulaiman Mohd Noor (012-8030367) dan Setiausaha,  Mohamad Faizee Wahidin (013-8723209).

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke nombor akauan BSN – 1211141100032362 (Pembangunan dan Pembinaan Surau Pondok Bidayatul Hidayah. - KitaReporters


31
13
0
14
1

Copy Link: