PELBAGAI gimik digunakan pihak sekolah bagi memulihkan semangat serta tingkatkan motivasi murid-murid untuk hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka selepas lima bulan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pandemik Covid-19.

Hal sedemikian bukan sahaja menimbulkan perasaan seronok dalam kalangan murid yang tiba seawal pagi malah berasa terharu apabila kedatangan mereka disambut guru-guru dengan wajah penuh ceria seolah-olah turut merindui anak-anak didik mereka.

Bagi memeriahkan suasana kembali semula ke sekolah, barisan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas, Perak membuat kejutan kepada muridnya dengan memakai pakaian tradisional Melayu, hiasan bunga manggar serta diiringi paluan kompang menyambut kehadiran anak-anak didik pada hari pertama pembukaan semula sekolah pada 22 November 2021 lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan guru sekolah 


Paluan kompang menambahkan lagi kemeriahan sambutan kehadiran murid ke SK Beruas, Perak. 


Guru Besar SK Beruas, Shahril Othman berkata mereka membuat persiapan ringkas dalam masa seminggu dengan berlatih bermain kompang, menyiapkan bunga manggar dan kelengkapan pakaian songket untuk guru perempuan. 

"Suasana di depan pintu pagar sekolah amat meriah apabila guru lelaki segak bergaya memakai baju Melayu dan bertanjak manakala guru perempuan anggun berpakaian songket menyambut kehadiran murid-murid.

"Idea untuk menonjolkan kemeriahan dan menaikkan semangat murid ke sekolah selepas berbulan-bulan mengikuti PdPR berikutan pandemik Covid-19 tercetus ketika mesyuarat guru sebelum pembukaan sekolah seminggu sebelum sekolah dibuka.

“Saya berasa  bersyukur kerana idea kreatif ini hasil gabungan tenaga dan kerjasama tanpa berbelah bahagi daripada semua guru dan kakitangan sekolah yang sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam setiap program dirancangkan,” katanya.

Tambah beliau, beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu termasuklah Yang Dipertuanya, Suhaimi turut hadir bagi menyambut kedatangan murid dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama memakai pelitup muka.

Katanya lagi, dia berharap supaya aura positif yang ditonjolkan pada hari pertama persekolahan itu akan menaikkan semangat murid untuk belajar di dalam kelas setelah sekian lama tidak dapat bersemuka dengan guru subjek mereka. 


Guru Besar Sekolah Kebangsaan Beruas, Perak, Shahril Othman (tiga dari kanan) bersama-sama guru segak berbaju Melayu dan guru perempuan berpakaian songket menyambut kehadiran murid pada hari pertama pembukaan semula sekolah pada 22 November 2021.


Sementara itu Suhaimi melahirkan harapan supaya usaha guru yang membuat gimik kreatif menyambut kehadiran murid mereka memberi kegembiraan dan semangat untuk terus belajar dengan lebih tekun.

“Paling penting dalam situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu ini semua pihak termasuk ibu bapa hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan pihak sekolah sama ada ketika menghantar dan menjemput anak pulang dari sekolah,” katanya.-KitaReporters


22
13
0
14
0

Copy Link: