WALAUPUN negara dilanda pandemik Covid-19 sekumpulan penduduk Apartmen Zapin, Inang, Ghazal dan Qasidah (ZIG), Taman Impian Ehsan 3, Balakong, Selangor, terus aktif menabur bakti kepada komuniti setempat khusus dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf bagi meringankan bebanan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 ini.

Kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19, tidak melenyapkan hasrat mereka sebagai anggota Keluarga Malaysia untuk terus berjasa kepada penduduk yang memerlukan bantuan selepas mula dilaksanakan sejak lima tahun lalu itu.


Lagi cerita-cerita berkaitan penduduk Apartmen ZIG

Ahli kumpulan ZIG membungkus barangan makanan sebelum diagihkan kepada penduduk terpilih.


Ahli Jawatankuasa Kumpulan ZIG, Saharani Abdullah, berkata berbekalkan kesepakatan serta prihatin kepada nasib sesetengah penduduk dalam kalangan keluarga miskin serta asnaf  itu satu inisiatif terus dilakukan bagi mengumpulkan dana untuk membeli barangan makanan dan diagihkan kepada mereka terbabit.

Menurutnya, apabila negara sudah memasuki fasa pemulihan pandemik Covid-19 dia bersama-sama rakan daripada kumpulan itu dapat bergerak aktif mengenal pasti keluarga penduduk yang perlu dibantu supaya mereka berasa tidak tertekan membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

Jelasnya, di samping itu mereka membeli sendiri pelbagai barangan keperluan hasil sumbangan dana orang ramai termasuk penduduk di komuniti berkenaan dan berjaya mengumpulkan barangan seperti beras, susu, tepung gandum, gula, minyak masak, teh, telur dan sebagainya. 

“50 penduduk yang dikenal pasti dari dalam kalangan keluarga tidak berkemampuan, miskin dan asnaf telah terpilih untuk menerima sumbangan itu yang diadakan di Surau An-Nur taman berkenaan pada 24 April 2022.

“Bagaimanapun kami sentiasa bersedia dan ambil peduli untuk menghulurkan sumbangan jika menerima maklumat atau laporan memaklumkan ada keluarga yang tercicir menerima bantuan ini berikutan masalah teknikal dan sebagainya,” katanya.


Anak ahli kariah Surau An-Nur Taman Impian Ehsan 3, Balakong, Selangor membantu membungkus pelbagai barangan makanan keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga tidak berkemampuan, miskin dan asnaf pada 24 April 2022.


Sementara itu di Batu Pahat, Johor seorang peniaga umpama menghayati aspirasi Keluarga Malaysia yang dicanangkan kerajaan apabila mendorong beliau untuk membantu meringankan bebanan keluarga Islam menjalani ibadat puasa apabila mengagihkan secara percuma 100 bakul pelbagai jenis sayur-sayuran pada minggu lalu.

Beliau yang menjalankan perniagaan di bandar itu tidak berasa janggal atau terbeban dengan sikap pemurah tanpa mengira bangsa dan agama demi rasa keprihatinan membantu sesama masyarakat berbilang kaum demi cintakan kehidupan harmoni.

Bakul sayur itu disalurkan kepada Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat untuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Batu Pahat membabitkan komuniti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Senggarang dan Rengit serta kawasan Parlimen berhampiran pada minggu lalu.


Hamidi Mat Tap (tengah) bersama-sama rakan memunggah pelbagai sayur-sayuran untuk diagihkan kepada penduduk.


Pengerusi biro berkenaan, Hamidi Mat Tap, berkata bersikap terbuka dan ingin berkongsi hasil jualan itu peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Kim sudah mula menunjukkan sikap ingin membantu selepas negara mula dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac 2020. 

Menurutnya, apabila mengetahui biro berkenaan mencari sumbangan dana atau barangan keperluan asas untuk membantu penduduk yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau dikuarantinkan selepas dijangkiti Covid-19 beliau ke depan menghulurkan sayur-sayuran untuk diagihkan.

Jelasnya, kemurahan hati peniaga itu berterusan hinggalah pada Ramadan sekarang selain memberi peluang kepada kami memilih apa sahaja pelbagai sayur-sayuran bersesuai untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti dalam kalangan keluarga miskin dan asnaf.

“Dengan 100 bakul sayur-sayuran ini saya terpaksa meminta bantuan rakan-rakan sahabat termasuk mereka daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti khusus keluarga penduduk beragama Islam untuk menerima bekalan sayur-sayuran itu.

“Saya agihkan sama rata kepada semua mereka yang berkenaan supaya dapat menikmati sayur-sayuran percuma ini sebagaimana disarankan oleh peniaga itu termasuk dalam kalangan keluarga pendudukan bukan Islam,” katanya. - KitaReporters


Hamidi menunjukkan timun yang turut diagihkan kepada penduduk di kawasan Parlimen Batu Pahat dan sekitarnya.

33
13
1
9
0

Copy Link: