IBARAT peribahasa, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ memotivasi kumpulan UDA Holdings Berhad untuk menjengah 23 rumah kakitangannya yang alami kerosakan teruk dalam kejadian banjir melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Johor bermula pada 18 Disember 2021 lalu.

Selepas mengumpulkan maklumat, program misi bantuan banjir berkenaan dilaksanakan selama seminggu bermula 19 Disember 2021 dengan tumpuan kepada rumah sembilan kakitangan kumpulan berkenaan di Hulu Langat, Shah Alam dan Klang, Selangor, yang didapati mengalami kerosakan amat teruk.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Keluarga Malaysia

Azhar Yop di rumah seorang penduduk di Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang dipenuhi lumpur dan kereta yang digenangi banjir.

Misi itu mengabungkan 30 sukarelawan Badan Didikan Islam UDA (BADIM) dan Badan Kebajikan Kakitangan UDA (BKKU) yang berganding bahu membantu mencuci dan membersihkan rumah kakitangan terbabit.

Penyelaras program misi berkenaan, Azhar Yop, berkata sukarelawan terbabit bergerak secara berkumpulan menyantuni rumah kakitangan di Hulu Langat iaitu Batu 18, Taman Sri Nanding, Taman Sri Indah, Balakong serta Taman Sri Muda, Seksyen 23 dan 25 Shah Alam dan Meru, Klang.

Menurutnya, menggunakan pelbagai peralatan seperti generator pancutan air untuk mengeluarkan lumpur yang melekat pada lantai rumah mereka turut mencuci pinggan mangkuk, perabot, pakaian, membersih sekitar halaman dan sebagainya.


Sukarelawan wanita berganding bahu mencuci pinggan mangkuk yang dicemari lumpur.


“Hampir semua sukarelawan melahirkan rasa terharu, sedih melihat kerosakan rumah serta harta benda milik kakitangan terbabit termasuk kereta dan motosikal yang digunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Yang Dipertua (YDP) BADIM, Mohd Isa Ali dan YDP BKKU, Mohd Nazri Jamiran turut serta sepanjang misi ini sekali gus memberi motivasi serta kata-kata semangat supaya kakitangan terbabit bersabar, tabah menghadapi dugaan ini,” katanya yang juga Timbalan YDP BADIM.

Azhar berkata, di samping itu sebanyak RM15,000.00 turut disumbangkan oleh BADIM termasuk zakat wakalah kepada mangsa banjir untuk membantu mereka membiayai kos membaik pulih rumah serta sebagainya dan bayaran itu dibuat mengikut nilaian kerosakan barangan.


Mohd Isa Ali (kiri) turut bersama-sama sukarelawan membantu membersihkan rumah kakitangan UDA di Taman Sri Murni, Balakong.


Mohd Nazri Jamiran (kanan) turut menyantuni rumah kakitangan UDA yang rosak teruk dalam banjir.


Tambah beliau,  sukarelawan BADIM bersama-sama BKKU sentiasa bersedia menghulurkan tenaga serta bantuan dalam misi kemanusiaan sekiranya berlaku lagi musibah yang menimpa penduduk khusus kakitangan UDA.

“Dalam beberapa tahun lalu sukarelawan BADIM dan BKKU turut membantu mangsa banjir khususnya  yang melanda beberapa negeri seperti di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Terengganu dan di Kelantan pada tahun 2014.

 “Misi bantuan ini bukanlah perkara baharu bagi BADIM dan BKKU yang kadang-kadang melangkau sempadan negara bagi menghulurkan sumbangan termasuk dana bagi melengkapkan keperluan asas yang diperlukan penduduk di satu-satu tempat,” katanya. - KitaReporters


Sukarelawan BADIM dan BKKU membantu mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat hingga lewat malam.

31
18
0
11
0

Copy Link: