SEBAGAI menyokong usaha kerajaan khusus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan masyarakat sihat, Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di Cheras, Selangor mengadakan Hari Terbuka dan Khidmat Kesihatan 2020 pada Ahad 27 September 2020 lalu. : KitaReporters

Komuniti Suadamai beratur menunggu giliran untuk membuat pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Kospen. 


Lagi cerita-cerita mengenai kesihatan:

https://kitareporters.com/search?search=kesihatan


Program hari terbuka itu juga secara tidak langsung untuk menyedarkan komuniti mengenai bahaya penularan wabak Covid-19 apabila telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik yang menyekat pergerakan  manusia.  

Untuk merealisasikan usaha itu, Jiran Wanita KRT berkenaan mendapatkan kerjasama Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) bagi mengadakan pemeriksaan kesihatan, demo masakan sihat dan sembang diet yang mendapat sambutan daripada komuniti.

Sebagai daya tarikan ke program itu yang juga bermatlamat merapatkan hubungan perpaduan pelbagai kaum di komuniti Suadamai berkenaan, 10 gerai menjual makanan dan kuih-muih turut dibuka sebagai membuka peluang kaum wanita mempromosi  barangan jualan. 

Ada antara mereka yang membuka gerai itu sudah kehilangan pekerjaan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membenteras Covid-19 sejak Mac lalu, memilih bidang perniagaan dengan menjual makanan termasuk secara dalam talian.

Selain itu, pasukan senamrobik Jiran Wanita KRT itu pula  turut mempersembahkan gaya senaman sihat.

Beberapa gerai menjual pelbagai barangan termasuk makanan dan kuih-muih turut dibuka bagi memberi peluang kaum wanita di Suadamai mempromosi produk keluaran mereka termasuk yang dijual secara dalam talian.


Pasukan senamrobik Jiran Wanita KRT Suadamai mempersembahkan gaya senaman sihat kepada komuniti.


Program yang diadakan di kawasan dewan KRT berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi KRT Suadamai itu, Profesor Dato Dr Abdul Rahim Mohamed

Turut hadir Pengerusi Jiran Wanita KRT itu, Adibah Sukir; Setiausaha KRT Suadamai, Che Nordin Ismail; Bendahari KRT Suadamai, Datuk Abdul Ghani Ahmad; dan Pegawai Perubatan Penyakit Tidak Berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Selangor, Dr Azariah Abdul Halim.

Dr Abdul Rahim Mohamed (kiri) melakukan gimik perasmian Hari Terbuka dan Khidmat Kesihatan 2020 sambil disaksikan Dr Azariah Abdul Halim dan Adibah Sukir. 


Adibah berkata, awal tahun ini Jiran Wanita KRT sudah menyusunkan pelbagai program kemasyarakatan dan kesihatan khusus ke arah memupuk hubungan muhibah antara komuniti tetapi terpaksa ditangguh berikutan PKP.

Menurutnya, hari terbuka dan pemeriksaan kesihatan bersama Kospen itu antara salah satu program yang dirancangkan sehingga baru dapat dilaksanakan dan menarik ramai komuniti untuk datang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma di samping melihat produk yang dijual oleh kaum wanita komuniti Suadamai.

Dr Abdul Rahim (tiga dari kiri) bersama-sama Adibah, Dr Azariah, Che Nordin dan Abdul Ghani meninjau gerai yang dibuka kaum wanita Suadamai.


“Saya berasa bangga apabila Jiran Wanita KRT dapat memainkan peranan membantu KRT Suadamai mengadakan aktiviti kemasyarakatan ini, sekali gus memberi sumbangan kepada  perpaduan kaum selaras objektif Rukun Tetangga,” katanya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahim menyifatkan kerjasama yang diberikan Kospen pada program itu dapat membantu menyedarkan komuniti di Suadamai mengenai pelbagai penyakit berbahaya termasuk wabak Covid-19.

“KRT Suadamai prihatin terhadap masalah kesihatan komuniti  dan penerangan Kospen mengenai langkah penjagaan kesihatan yang betul termasuk cara pemakanan dan senaman untuk diamalkan banyak memberi manfaat,” katanya. - KitaReporters

Dr Abdul Rahim (duduk depan dua dari kiri) bersama-sama ahli Jiran Wanita KRT Suadamai dan anggota pasukan Kospen.


Ahli KRT Suadamai BTHO, Rohaimi Zainol sedang membuat pemeriksaan mata percuma pada Hari Terbuka Jiran Wanita dan Khidmat Kesihatan 2020 yang diadakan di halaman Dewan KRT Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor, pada 27 September 2020. 

46
4
0
0
3

Copy Link: