Muzik terapi jiwa! Pak Wan terus gigih main muzik! Hiburkan hati orang ramai pada usia warga emas!
Published byMuzik ibarat sudah menjadi darah daging Wan Azhar Wan Annuar sejak berkecimpung 64 tahun lalu dalam dunia muzik bermula ketika berusia 15 tahun, dan sehingga sekarang, beliau menganggap alunan melodi yang dimainkan menerusi pelbagai alat muzik menjadi terapi kesejahteraan kesihatannya.

Pak Wan atau Wan Azhar Wan Annuar dengan gaya tersendiri ketika bermain biola.
Walaupun pergerakan beliau tidak segagah dahulu apabila usia
sudah berganjak ke 79 tahun, tetapi beliau tetap aktif bermain piano, gitar, biola dan
harmonika pada majlis keramaian seperti perkahwinan, sambutan hari jadi,
program kemasyarakatan, amal kebajikan dan sebagainya.
Wan Azhar berasal dari Alor Setar, Kedah, yang lebih dikenali dengan sapaan Pak Wan cukup dikenali sekitar Cheras, khusus di Bandar Tun Hussein Onn, kerana apabila kepingin bermain muzik beliau akan bergandingan dengan kawan rapatnya Nik Mahiro Nik Mohamed, 70, atau Pak Nik sebagai penyanyi menghiburkan pelanggan di beberapa restoran.

Pak Wan menerima tepukan daripada peminat yang terpegun dengan alunan gesekan biolanya.
Gandingan mantap mereka berdua sehingga mendapat gelaran ‘Otai Busker’ cukup menghiburkan pelanggan restoran atau tetamu pada satu-satu majlis apabila Pak Nik mengalunkan lagu-lagu evergreen (malar segar) Melayu seperti Harapan Kecewa, Halimun Malam, Pujaanku, Hanya Nyanyian, Kelohan Dara, Kenangan, Fatwa Pujangga dan sebagainya.
Pak Wan yang ditemui, berkata ketika berusia 15 tahun, dia
berjinak-jinak memetik getar dan memiliki kemahiran tersendiri sebelum belajar
bermain piano secara formal sehingga gred lima ketika berumur 24 tahun
di samping mendapat didikan arwah bapanya yang mahir bermain biola.
Jelasnya, ketika di Tingkatan Lima dia menyertai kumpulan muzik bernama Stringendos dengan bermain gitar dan pernah bertanding dalam juara kugiran pertama RTM iaitu rancangan Muzik Muzik Muzik pada tahun 1967, tetapi hanya berakhir pada peringkat separuh akhir sahaja.

Pak Nik (kanan) kini menjadi rakan rapat Pak Wan apabila dijemput membuat persembahan untuk menyampaikan lagu-lagu evergreen Melayu.
Menurutnya, ketika usianya 55 tahun dia sudah semakin mahir serta mempunyai kepakaran bermain piano, gitar, biola di samping harmonika dan sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan di hotel sekitar Lembah Klang, majlis keramaian kerajaan, swasta selain di istana beberapa negeri.
“Kerana jiwa sudah begitu sebati dengan bermain muzik, saya
tidak dapat kekal bekerja dengan beberapa agensi kerajaan, badan berkanun dan
swasta, maka bagi meneruskan kehidupan saya membuka restoran yang diberi nama
Annuares Restoran di Alor Setar serta menjadi lokasi meneruskan aktiviti
busker.
“Tahun 2003 saya sering dijemput sama ada secara solo atau berkumpulan membuat persembahan mengiringi artis popular termasuk Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin pada majlis keramaian orang kenamaan dan pelbagai kementerian kerajaan,” ujarnya.

Pak Wan mengiringi Siti Nurhaliza Tarudin ketika dijemput membuat persembahan pada tahun 2003.
Pak Wan berkata, sehingga sekarang pun dia masih dijemput
oleh sesetengah pihak yang mengenalinya untuk membuat persembahan muzik, dan jika
secara berkumpulan, beliau akan memaklumkan kepada rakan lama seangkatan untuk
ikut serta.
Jelasnya, dengan mengalunkan melodi muzik menerusi piano atau biola umpama jiwa dia berasa tenang dan seronok apabila melihat orang ramai termasuk generasi muda terpegun mendengarnya malah ikut menyanyi dengan irama yang dimainkan.

Pak Wan menunjukkan gambar ketika bersama kumpulan Stringendos pada tahun 1967.
Menurutnya, selepas kehilangan isteri dan anak lelakinya yang juga mahir bermain alat muzik khusus saksofon beberapa tahun lalu kesedihan hatinya terubat apabila orang ramai sentiasa memberi sokongan moral serta menghargai kemahiran beliau apabila terbabit dalam aktiviti busker.
“Pak Nik menjadi kawan rapat saya yang selalu bersama
apabila ada jemputan kerana dia memiliki suara yang bersesuaian menyampaikan
lagu evergreen Melayu malah mendapat pujian dalam kalangan orang lama.
“Selagi ada kudrat saya akan cuba memenuhi undangan bermain muzik untuk menghiburkan hati orang ramai yang menjadi terapi kesihatan termasuk bagi Pak Nik supaya jiwa raga rasa gembira dan tenang dalam usia semakin lanjut,” katanya.

Pak Wan (dua dari kiri) dan Pak Nik (kanan) bersama-sama rakan yang memberi sokongan ketika dijemput membuat persembahan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor.
