Madrasah Maahad Tahfiz Bidayatul Hidayah (MTBH) Kundasang Lama, Ranau, Sabah kini menjalinkan kolaboratif terbaik bagi membantu komuniti Kampung Namukon, Tongod, Sabah mencari dana untuk membina musala ngaji.


Mustafa Asad (dua dari kiri) merakamkan kenangan ketika mengunjungi Tongod bersama rakan-rakan.


Pengerusinya, Musatafa Asad, berkata MTBH terpanggil untuk membantu komuniti di kampung berkenaan selepas mendapat maklumat daripada beberapa ustaz dan pendakwah yang sering berkunjung ke mahaad tahfiz berkenaan dalam program pengisian ilmu agama.

Tambahnya, rentetan itu Ahli Jawatankuasa MTBH bersetuju untuk membantu mencari dana dan berkongsi rezeki menyumbang serta penginfak supaya dapat turut serta dalam usaha membina Musala Ngaji Kampung Namukon, Tongod itu.


Sebahagian kerja meratakan tanah untuk tapak musala ngaji berkenaan.


Nenurutnya, usaha itu juga ke arah mewujudkan ukhuwah dengan komuniti penduduk di kampung berkenaan di samping memberi peluang mereka belajar membaca dan mendalami ilmu al-Quran, asas fardu ain dan sebagainya.

Jelasnya, ia juga menjadi medan dakwah terbaik MTBH dengan memberi pengalaman baharu kepada ustaz dan alumni pelajar mahaad tahfiz itu berkongsi ilmu agama serta melebarluaskan ilmu membaca al-Quran kepada komuniti yang menetap di pedalaman Sabah.

“Amat menyentuh hati khususnya dalam kalangan ustaz serta pelajar MTBH yang sudah ke kampung itu bagi mengajar mengaji apabila beberapa mualaf menunjukkan minat yang begitu tinggi untuk mendalami ilmu membaca al-Quran dan fardu ain,” ujarnya.


Pelajar MTBH akan menjalinkan kolaboratif terbaik dengan penuntut di musala ngaji nanti.


Mustafa berkata, sehubungan itu juga beberapa pelajar tidak berkemampuan dari kampung berkenaan sudah mengikuti pengajian secara percuma di MTBH selepas mendapat sedikit tajaan memandangkan sebelum ini mereka terpaksa berulang alik sejauh 150 kilometer untuk ke mahaad tahfiz berkenaan.

Menurut beliau, perkara itu juga antara menjadi faktor MTBH mewujudkan kolaboratif bagi membina musala ngaji berkenaan yang kini dalam proses pembinaan seperti merata dan menambung tanah berjalan agak perlahan kerana kos tinggi apabila membabitkan kawasan pedalaman.

Jelasnya, disebabkan itu MTBH memohon sumbangan ikhlas daripada sesiapa sahaja atau pelbagai agensi korporat untuk menyumbang dana kerana musala itu bakal menjadi pusat ilmu bagi anak-anak dan masyarakat Muslim (minoriti) di kawasan pedalaman untuk belajar membaca al-Quran dan asas fardhu ain.


Amistari Mustari menunjukkan tanah yang diwakafkan untuk dijadikan tapak musala ngaji.


“Keperluan dana keseluruhannya RM13,000, untuk membeli bahan binaan dan pengajian pekerja yang boleh disalurkan kepada akaun CIMB nombor 860 605 4841 atas nama Bidayatul Hidayah Centre dengan rujukan Infaq Musala, sebarang maklumat atau pengesahan boleh hubungi saya menerusi nombor 019-673 5456,” ujarnya.

Sementara itu, bekas pendidik Amistari Mustari yang mewakaf tanah seluas 5,000 kaki persesi untuk dijadikan tapak musala ngaji berkenaan, berkata sumbangan itu sebagai matlamat untuk menyediakan sebuah tempat ibadah dan pembelajaran agama khususnya bagi masyarakat setempat, terutama generasi muda yang menetap di pedalaman.

Tambahnya, wakaf itu juga sebagai satu usaha amal jariah yang berpanjangan supaya manfaatnya dapat dirasai ramai pihak walaupun selepas beliau tiada nanti dia amat berharap musala ngaji berkenaan dapat menjadi pusat penyebaran ilmu al-Quran dan asas-asas agama Islam secara berterusan.


Amistari Mustari (kiri) bersama rakannya, Ustaz Johari meninjau pembinaan musala ngaji yang dalam proses pembinaan. 


Menurutnya, dia berkeyakinan musala ngaji itu mampu menjadi pusat pengajian al-Quran untuk kanak-kanak dan orang dewasa terutama di pedalaman, sekali gus boleh melahirkan masyarakat celik agama serta berakhlak baik.

Jelasnya, justeru dia turut mengalu-alukan sokongan dan sumbangan daripada orang ramai sama ada dalam bentuk kewangan, tenaga atau kepakaran bagi merealisasikan pembinaan musala berkenaan supaya dapat disiapkan dengan sempurna.

“Usaha membina musala ngaji itu juga bagi mencapai sasaran mengimarahkan aktiviti keagamaan seperti kuliah, tazkirah dan program komuniti di kampung berkenaan terutama untuk pendedahan dan didikan kepada saudara mualaf serta asnaf,” ujarnya. - KitaReporters


16
15
1
13
0

Copy Link: