Komuniti bergotong-royong memasak bubur lambuk ketika bangun untuk bersahur.


BIMBANG bubur lambuk tidak dapat dimasak pada masa ditetapkan dan akan membantutkan pula proses agihan sebilangan bapa daripada komuniti Kampung Sungai Serdang membuat keputusan untuk tidur di Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang (SKSS), Selangor.

Tindakan mereka menzahirkan rasa terharu Guru Besar SKSS, Hazlina Ali dalam menjayakan program Bubur Lambuk Ramadan 2024 sekolah itu yang dilaksanakan secara bergotong-royong membabitkan ibu bapa, guru dan kakitangan sokongan pada 29 Mac 2024. 

Ibarat peribahasa ‘muafakat membawa berkat’ program anjuran Panitia Pendidikan Agama Islam dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSS itu turut mendapat sokongan serta kerjasama rakan strategik Yayasan Kossan yang diaktifkan oleh Komuniti Sungai Serdang iaitu O’Otai FC, Cabin Cartel, Tebuan, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tebuan Carom.


Penyediaan bahan mentah dan rencah membuat bubur lambuk dilakukan komuniti secara bergotong-royong.


Hazlina berkata, dia berasa amat terharu dengan pihak komuniti kampung yang sanggup tidur di sekolah semata-mata bagi memastikan penyediaan bubur lambuk dapat disiapkan pada masa ditetapkan sebanyak 1,500 bungkus untuk diagihkan kepada 680 murid, guru dan kakitangan (58) serta komuniti setempat (742).

Menurutnya, mereka mula menyediakan bahan-bahan serta rencah bersama-sama guru selepas solat tarawih dan mula memasak ketika waktu sahur untuk membolehkan kelancaran agihan dapat dilaksanakan seawal 11.30 pagi kepada semua murid dan mereka terbabit.

Tambahnya, objektif penganjuran program itu adalah antara usaha SKSS menghidupkan Ramadan Al-Mubarak dengan aktiviti yang tersusun bagi melahirkan masyarakat beriman, bertaqwa, berakhlak dan beramal soleh.


Antara sebahagian komuniti yang hadir bagi menjayakan program Bubur Lambuk Ramadan 2024 Sekolah Kebangsaan Sungai Serdang, Selangor pada 29 Mac 2024. 


Hazlina Ali menerima sumbangan daripada komuniti sambil diperhatikan ahli jawatankuasa PIBG.


“Dengan usaha ini kita akan meraih keberkatan dan fadilat yang ada dalam bulan Ramadan malah berkongsi rezeki pula dengan warga sekolah dan komuniti sekali gus menceriakan ketika waktu berbuka puasa bersama ahli keluarga,” ujarnya.

Hazlina berkata, program itu juga  merapatkan ukhuwah dalam kalangan warga SKSS, PIBG serta Jalinan Pintar Korporat bersama Yayasan Kossan untuk kemajuan serta kecemerlangan pelajaran murid sebelum melangkah pada peringkat lebih tinggi. 

Jelasnya, paling penting program berkenaan meningkatkan lagi ikatan silaturahim dalam kalangan warga sekolah, komuniti penduduk dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) rakan strategik dalam menghayati keberkatan bulan Ramadan.


Agihan bubur lambuk kepada murid SKSS tepat pada waktu jangkaan.


Katanya, komuniti setempat iaitu O’Otai FC, Cabin Cartel, Tebuan, KRT dan Tebuan Carom turut menyerahkan hasil sumbangan RM3,280 kepada SKSS untuk agihan anak yatim sekolah terbabit kerana memberi erti kepada golongan yang memerlukan bantuan bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri.

“Keceriaan dan semangat bergotong-royong yang ditunjukan oleh mereka yang terbabit ini secara tidak langsung membukti sekolah antara salah satu platform terbaik dalam mewujudkan serta membina ikatan ukhuwah erat komuniti setempat.

“Bagi merapatkan lagi ikatan ukhuwah ini kami guru, kakitangan sokongan serta ibu bapa turut membuat agihan bubur secara pandu lalu di depan pintu sekolah,” ujar Hazlina lagi. - KitaReporters


Hazlina mengagihkan bubur lambuk secara pandu lalu kepada komuniti Kampung Sungai Serdang.


Guru SKSS merakam kenangan bersama-sama wakil Yayasan Kossan.

24
7
0
18
0

Copy Link: