Beli sayur dapat pahala! Maahad tahfiz teroka tanah tanam sayur! Manfaat iklim dingin di Kundasang!
Published byKundasang yang beriklim tanah tinggi yang sejuk dan nyaman sepanjang tahun seolah-olah satu rezeki dan memberi kelebihan kepada Madrasah Maahad Tahfiz Bidayatul Hidayah (MTBH) di Kundasang Lama, Ranau, Sabah untuk terus kekal mengusahakan kebun sayur sebagai sumber pendapatan.

Sayur sawi yang diusahakan oleh MTBH hidup subur di lereng bukit.
MTBH yang terletak di lereng bukit berhawa dingin memperluas pembukaan tanah baharu melebihi dua hektar sejak mula menerokanya pada tahun 2021 untuk menanam pelbagai jenis sayur-sayuran termasuklah tomato, kubis, kacang buncis, sawi, timun ulam dan daun bawang.
Pengerusinya, Mustafa Asad, berkata alternatif berkebun itu sentiasa dipertingkat khusus bagi menampung kos operasi MTBH termasuk untuk membeli bahan makanan mentah, kelengkapan pengajian kelas agama, kemudahan utiliti disamping bayaran elauan untuk tenaga pengajar.

Sebahagian lagi tanah yang diteroka oleh MTBH untuk ditanam dengan pelbagai pokok sayur-sayuran.
Tambahnya, walaupun sering menguar-uarkan pencarian dana
menerusi platform media sosial di samping ada pelbagai pihak datang berkunjung
ke MTBH dengan menghulurkan sumbangan, namun usaha berdikari mencari sumber
kewangan tetap dititikberatkan.
Menurutnya, langkah membuka kebun sayur dengan meneroka
setiap tanah kosong di lereng bukit selepas mendapat kebenaran pihak berkenaan
diteruskan oleh pelajar MTBH secara sukarela sebagai usaha murni antara mereka
yang saling membantu.
“Kita juga tidak mahu disalah anggap kerana asyik menggunakan platform media sosial mencari sumbangan dana kerana kami tetap berusaha mencari sumber kewangan sendiri menerusi hasil pertanian yang boleh dilihat sendiri mereka yang datang berkunjung ke MTBH,” ujarnya.

Mustafa Asad melihat timbunan guni baja pokok sayur yang dihantar oleh pembekal.
Mustafa berkata, bagi memastikan tanaman sayuran itu
diuruskan dengan baik, MTBH terpaksa mendapatkan khidmat penduduk sekitar untuk
bekerja di kebun berkenaan seperti menggemburkan tanah bagi menabur baja, manakala pelajar akan membantu jika ada kelapangan dan tiada kelas agama.
Jelasnya, pelajar MTBH akan turun ke kebun bersama-sama bagi
membantu pekerja terbabit untuk menyiram sayur-sayuran atau memunggahnya untuk
dibawa ke kenderaan peraih selain dihantar ke pasar borong di Kundasang.
Tambahnya, seperti mereka yang mengusaha kebun sayur sekitar Kundasang, pendapatan yang diperoleh hasil jualan tidak menentu kerana ada masa harganya tinggi, manakala pada hari lain berlaku sebaliknya.

Kawasan tanah yang sudah diteroka dan ditanam dengan pelbagai pokok sayuran bagi memenuhi permintaan peraih dan pemborong di Kundasang.
Menurutnya, secara kasar MTBH memperoleh RM1,000 sebulan
selepas ditolak kos baja, racun, upah pekerja dan pengangkutan yang sedikit
sebanyak sudah mampu menampung perbelanjaan operasi bulanan madrasah.
“MTBH mengambil alternatif mengusahakan kebun sayur ini
kerana dalam masa tiga bulan hasilnya boleh dituai, manakala setiap sayuran itu
ditanam pada masa tempoh yang berbeza bagi memastikan bekalannya sentiasa ada.
“Pada setiap minggu sayuran ini dapat dituai untuk dijual terus kepada pemborong di pasar pekan Kundasang yang turut menjadi tumpuan pelancong melihat urus niaga sayuran dilakukan di samping menikmati kecantikan Gunung Kinabalu pada awal pagi,” ujarnya. - KitaReporters

Seorang pekerja menunjukkan hasil tuaian sayur yang akan dijual kepada peraih dan pemborong di pasar Pekan Kundasang.
