Warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor kini berasa selesa dan bertambah sihat menjalani ibadat puasa apabila dapat berehat serta tidur lena di atas tilam serta katil baharu yang disumbangkan oleh syarikat Hibiscus Petroleum, Kuala Lumpur.


Kairul Ahmad melihat Lara Ainuddin (kanan) dan Nur Jazlinadia Jaafar memasang 40 sarung bantal yang disumbangkan syarikat mereka.


Tujuh kakitangan dan sukarelawan syarikat berkenaan hadir dengan berganding bahu serta bertungkus lumus untuk memasang 20 katil yang akan dilengkapi dengan 20 tilam, selimut, cadar serta 40 bantal yang diagihkan pada 3 Mac 2026.

Pegawai Specialist, Community Relations syarikat berkenaan, Lara Ainuddin, berkata sumbangan itu merupakan program kali keenam tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka pada bulan Ramadan penuh keberkatan bagi membantu pusat jagaan dan rumah kebajikan. 


Kakitangan dan sukarelawan syarikat Hibiscus Petroleum membersih, mengemas dan mengemop bilik warga emas.


Tambahnya, untuk Ramadan 2026 syarikat memperluaskan program itu di luar dari Lembah Kelang bagi memenuhi keperluan asas pusat jagaan yang membela nasib warga emas tersisih juga gelandangan hidup sebatang kara.

Menurutnya, pemilihan PJNH itu dikira menepati matlamat CSR syarikat selepas mendapat maklumat terkini termasuk daripada media sosial mengenai kekurangan kemudahan baharu pusat jagaan berkenaan yang diuruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Syarikat menzahirkan keprihatinan dan berasa bertanggungjawab untuk membantu PJNH sebagaimana dilakukan pelbagai agensi serta NGO lain bagi meringankan kos operasi pusat jagaan ini di samping memberi keselesaan kepada warga emas untuk berehat dalam keadaan keuzuran,” ujarnya.


Kipas siling yang berhabut turut dibersihkan kakitangan dan sukarelawan.


Pada program itu, selain memasang semua 20 katil berkenaan kakitangan dan sukarelawan syarikat terbabit turut melakukan kerja pembersihan, mengemas termasuk dalam bilik penghuni dengan membuang sampah sarap serta menaja majlis berbuka puasa.

Turut hadir pada majlis itu, Manager, Stakeholder Relations syarikat berkenaan, Nur Jazlinadia Jaafar; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Setiausahanya, Aidah Jaamat; dan Pengurus PJNH, Kairul Ahmad.


Kakitangan dan sukarelawan bergading bahu menyiapkan pemasangan katil yang akan dilengkapi dengan tilam, cadar, selimut dan bantal.


Sementara itu, Nur Jazlinadia melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada pengurusan PJNH yang menerima kehadiran kakitangan dan sukarelawan program CSR berkenaan dalam memberi keceriaan kepada warga emas. 

Jelasnya, mereka semua berpeluang bertanya khabar warga emas terbabit dan terkesan perasaan apabila melihat mereka yang uzur, berkerusi roda atau bertongkat kerana menghidap strok serta kehilangan anggota badan seperti sebelah kaki kerana penyakit kencing manis.

“Walaupun berkeadaan begitu warga emas ini tetap ceria dan berasa gembira apabila disantuni orang luar untuk berbuka puasa disamping mendapat bantuan katil, tilam, bantal, cadar dan selimut serba baharu,” katanya.


Kakitangan dan sukarelawan berbuka puasa bersama-sama pengurusan dan warga emas PJNH.


Aidah pula berkata, PJNH sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak untuk tampil membantu pusat jagaan itu membela nasib warga emas terutama apabila amat memerlukan sumbangan dana bagi mengekalkan operasi dan berperanan sebagai ‘ibu atau bapa’ penghuni berkenaan yang tidak dipedulikan keluarga. 

Tambahnya, PJNH juga tidak menyekat atau menghalang sesiapa sahaja jika berhajat untuk datang melihat sendiri macam mana warga emas di situ diurus dan dijaga terutama bagi mendapatkan maklumat tepat sebelum menghulurkan sumbangan dana atau barangan asas keperluan harian.

“Sehubungan itu, PJNH mempelawa bukan setakat penduduk kampung berdekatan tetapi pelbagai ahli NGO dan orang ramai untuk hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026/1447 pada Sabtu 4 April 2026 serta mereka berhajat menaja makanan seperti kuih muih dan sebagainya amat dialu-alukan,” ujarnya. - KitaReporters


Kakitangan dan sukarelawan syarikat Hibiscus Petroleum merakamkan kenangan bersama-sama pengurusan serta warga emas PJNH.

15
14
2
18
0

Copy Link: