Mohd Sany Hamzan menyampaikan ucapan perasmian program Jalinan Kasih anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Sesapan Kelubi, Mukim Beranang, Selangor.


KERAJAAN Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berikhtiar untuk melakukan banyak usaha khusus bagi membela nasib rakyat secara keseluruhannya tanpa membezakan kaum dan fahaman politik.

Ini sangatlah bertepatan dengan gagasan Malaysia Madani yang diketengahkan oleh Perdana Menteri sendiri.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Selangor, Mohd Sany Hamzan, berkata beliau yakin perkara itu akan menjadi fokus PM ke-10 berkenaan sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini dalam langkah mengembalikan hak rakyat bagi mengelak berasa tidak dipedulikan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pusat-pusat jagaan

Mohd Sany Hamzan beramah mesra dan mengagihkan cenderahati kepada warga emas di Pusat Jagaan Nur Hasanah pada Program Jalinan Kasih anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Sesapan Kelubi, Mukim Beranang, Selangor, yang berlangsung 23 Januari 2023.


Sehubungan itu, menurutnya, tumpuan usaha itu juga sewajarnya turut membabitkan pusat jagaan warga emas, rumah kebajikan anak yatim, pusat tahfiz, sekolah pondok dan institusi pengajian agama Islam kerana pihak berkenaan juga memerlukan bantuan untuk beroperasi.

Jelasnya, mengambil kira keadaan itu dengan kos hidup semakin meningkat pihak yang menghulurkan bantuan tahunan kepada pusat jagaan atau rumah kebajikan itu perlu mengkaji semula peruntukan diagihkan supaya mampu menampung perbelanjaan operasi dan sebagainya.

“Sebagai contoh pusat zakat perlu mengkaji semula peruntukan tahunan yang diagihkan ini supaya bersesuaian dengan perkembangan semasa dan perubahan ekonomi negara supaya bantuan yang disumbangkan benar-benar membantu meringankan bebanan kos operasi pusat jagaan berkenaan atau rumah kebajikan terbabit.

“Kita juga seharusnya sedia maklum ada pusat jagaan, rumah kebajikan, pusat tahfiz atau sekolah pondok ini tidak mengenakan sebarang bayaran dan mereka beroperasi dengan bantuan sukarelawan di samping mengharapkan ihsan infak daripada orang ramai serta pelbagai pihak,” kata ketika berucap merasmikan Program Jalinan Kasih bersama Warga Emas Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), di Kampung Sesapan Kelubi, Mukim Beranang, Selangor pada 23 Januari 2023. 


Mohd Sany bertanya khabar dan beramah mesra dengan ahli Kumpulan Wanita Kampung Sesapan Kelubi.


Program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Sesapan Kelubi, Mukim Beranang itu turut dihadiri Pengerusi MPKK juga Ketua Kampung Mukim Beranang, Mohamad Safian Alias; Penghulu Mukim Beranang, Samsudin Satar; Ketua Polis Balai Beranang, Shaliza; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden;  dan Setiausaha PJMM, Mohammad Syafiq Mohiadin serta ahli Kumpulan Wanita Kampung Sesapan Kelubi, Mukim Beranang.

Mohd Sany berkata, selain itu kerajaan juga harus melihat semula sistem pendidikan negara yang mampu melahirkan insan atau generasi berjaya dalam kehidupan tetapi kekal dengan sikap bertanggungjawab untuk menjaga atau menguruskan ibu bapa.

Menurutnya, sebagaimana diceritakan pihak pengurusan PJNH, warga emas tersisih yang ditempatkan di situ ada antaranya memiliki anak yang berjaya dalam bidang profesional tetapi melepaskan tanggungjawab terutama apabila ibu bapa mereka uzur serta menghidap pelbagai penyakit.

Tambahnya, walaupun di PJNH ibu bapa mereka disantuni dengan baik, dijaga kesihatan, diberi makan secukupnya dan menikmati pelbagai kemudahan namun bukanlah suatu nilai murni yang baik apabila anak-anak tidak mempedulikan langsung ibu bapa berlindung di situ.

“Ke mana hilangnya rasa tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa yang sudah banyak berkorban untuk kejayaan mereka sehingga mampu berjawatan tinggi dan bergaji besar tetapi mengabaikan amanah yang dituntut.

“Saya akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan pengurusan PJNH dan akan cuba membantu melengkapkan beberapa kemudahan untuk keselesaan warga emas di sini apabila menerima peruntukan dari kerajaan,” ujar beliau.


Sukarelawan PJNH, Ustaz Erwan dan Tia (kanan) menyantuni warga emas menjamah makan tengah hari yang ditaja MPKK, Kampung Sesapan Kelubi.


Sementara itu Mohamad Safian, berkata sebelum ini program berkenaan setiap tahun diadakan di dewan komuniti atau balai raya di kampung sahaja membabitkan ramai penduduk dan buat kali pertama dilangsungkan di pusat jagaan warga emas berkenaan.

Jelasnya, langkah itu dilakukan sebagai memberi peluang kepada penduduk dan ahli jawatankuasa MPKK melihat secara lebih dekat warga emas yang ditempatkan di PJNH di samping memahami kesusahan serta kesulitan petugas dalam menyantuni penghuni.

“Kami akan membantu PJNH untuk memaklumkan kepada orang ramai terutama organisasi korporat bentuk sumbangan atau bantuan yang boleh disalurkan kepada pusat jagaan ini dalam menguruskan serta menjaga warga emas,” katanya.


Mohamad Safian Aias (kiri) menyampaikan sumbangan untuk PJNH kepada Mohiadin Bahado sambil diperhatikan oleh Mohd Sany.


Manakala Mohiadin dalam ucapan alu-aluannya, berkata PJNH yang ditubuhkan kira-kira 17 tahun lalu itu merupakan daripada lima unit rumah di atas tanah diwakafkan oleh seorang penduduk yang prihatin melihat nasib warga emas termasuk tiada waris terpinggir tanpa tempat untuk berlindung selepas keluar dari hospital.

“Walaupun menerima bantuan daripada pihak berkenaan seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat namun jumlahnya belum cukup untuk menampung kos penyelenggaraan yang semakin meningkat setiap bulan dan kami terpaksa berusaha mencari sumbangan atau infak daripada pelbagai pihak,” ujarnya. - KitaReporters


Mohiadin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Mohd Sany selepas merasmikan program Jalinan Kasih.


Wakil Kumpulan Wanita Kampung Sesapan Kelubi menyampaikan sumbangan untuk PJNH kepada Mohiadin sambil diperhatikan Mohamad Safian.

35
12
1
18
0

Copy Link: