‘BERAT sama dipikul, ringan sama dijinjing’ peribahasa yang menyuntik semangat Ahli Jawatankuasa dan Biro Kebajikan Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor untuk meringankan bebanan keluarga dan mereka yang kesempitan dalam menelusuri Ramadan tahun ini (2024).

Bagi menjayakan usaha itu mereka berganding bahu dengan menguar-uarkan dalam media sosial, group WhatsApp dan sebagainya untuk mengumpul dana selain hasil sumbangan kariah serta penduduk sekitar ke tabung khas bagi diagihkan kepada keluarga terbabit yang dilancar sejak Februari 2024 lalu.

Setiausaha SAS, Khairi Ghani, berkata sepanjang kempen itu dilaksanakan sebanyak RM21,222.83 berjaya dikumpul untuk diagihkan kepada 29 keluarga asnaf, fakir miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), warga emas serta 32 murid dan pelajar sekolah. 


Bantuan hasil sumbangan pelbagai pihak itu bagi meringankan bebanan keluarga yang kesempitan.


Menurutnya, sebagai menyempurnakan hajat itu keluarga terbabit dijemput hadir ke surau bagi menerima agihan berkenaan yang diadakan serentak dengan Majlis Gotong-Royong dan Sumbangan Kepada Asnaf sempena Ramadan 1445H/2024 anjuran SAS pada 9 Mac 2024.

“Setiap keluarga terbabit menerima RM500, manakala murid serta pelajar RM200 di bawah sumbangan persekolahan bagi meringankan bebanan ibu bapa mereka membuat persiapan.

“Sebagai memanfaatkan dana serta sumbangan yang diinfak oleh orang ramai untuk kempen ini bakinya dimasukan ke dalam tabung bagi program menyambut Hari Raya Aidilfitri pula,” ujarnya.

Khairi berkata,objektif sumbangan itu adalah sebagai memupuk sifat bantu membantu kepada ahli kariah juga mereka yang dermawan untuk bersama meringankan bebanan keluarga kurang berkemampuan menyambut Ramadan.

Jelasnya, langkah itu juga dapat mengembirakan hati mereka untuk bersama seperti orang lain membeli juadah berbuka puasa bagi menyantuni ahli keluarga dan meringankan bebanan membeli peralatan persekolahan anak. 

Tambah beliau, sumbangan itu juga secara tidak langsung dapat menarik dalam kalangan asnaf, fakir miskin, murid dan pelajar sekolah untuk mengenali serta mengimarahkan surau di samping memberi kesedaran ada pihak ambil peduli nasib mereka.


Seorang ibu bersama anak datang mengambil bantuan daripada Ahli Jawatankuasa Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor.


Sementara itu, Khairi menerangankan, gotong-royong yang diadakan pula adalah satu usaha ‘spring cleaning’ untuk membersihkan persekitaran kawasan SAS daripada sesawang dan lumut longkang di samping dengan membuang barangan lama yang tidak diperlukan.

Menurutnya, langkah itu juga untuk menceriakan kawasan SAS sepanjang Ramadan yang dikunjungi orang ramai bagi menunaikan solat sunat tarawih serta mengeratkan silaturahim antara ahli jawatankuasa dengan kariah.   

“Alhamdulillah semua program ini berjalan lancar apabila lebih 30 kariah serta ahli jawatankuasa hadir dan mereka menggunakan peralatan seperti vacuum dan water jet dalam mempercepat kerja pembersihan,” katanya. 


Kariah SAS melakukan pelbagai tugasan membersihkan kawasan surau.


Pengerusi SAS, Muzaffar Anas, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terbabit sama ada dalam gotong-royong juga penyumbang bagi menjayakan program yang dianjurkan oleh SAS terutama bagi menceriakan keluarga yang menghadapi kesempitan.

“Saya berharap SAS bertambah ceria dan menarik lebih ramai kariah untuk hadir menunaikan solat berjemaah di samping mengimarahkan surau sepanjang Ramadan dengan terus mengeratkan hubungan silaturahim dan kukuh dalam permuafakatan,” katanya. - KitaReporters


Hubungan permuafakatan yang erat kariah SAS membantu melancarkan tugasan gotong-royong.

22
14
0
14
0

Copy Link: