Jom terjah Tebuk al-Quran! Ustaz Munhameer @ Abang Tamanna martabat, sebar luas dakwah dalam medsos!
Published by"Tebuk al-Quran atau Quran challenge dalam media sosial walaupun menerima pandangan dan pendapat berbeza daripada orang ramai namun banyak pihak melihat trend itu sebagai satu bentuk dakwah kreatif menerusi TikTok khususnya kerana ia dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk membaca, menghafal dan mendekati al-Quran serta menunjukkan kehebatan golongan muda yang menghafal al-Quran.
Seorang remaja yang diuji Ustaz Munhameer Yusuf dalam cabaran Tebuk al-Quran.
Aktiviti itu menjadi dakwah jika niatnya ikhlas untuk menyebarkan kebaikan dan memartabatkan al-Quran justeru pendekatan dakwah melalui media sosial berkenaan semakin berkembang dengan pelbagai gaya yang lebih segar malah lebih dekat dengan masyarakat.
Mengambil
inisiatif dengan peluang dalam platform media sosial, Imam Rawatib, Surau As-Siddiq (SAS) Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, Ustaz Munhameer
Yusuf memanfaatkannya untuk menyebar luas mempelajari serta mendalami ilmu
al-Quran.
Antara
kandungan yang diketengahkan pada aktiviti Tebuk al-Quran iaitu video yang
menampilkan Ustaz Munhameer bertanyakan mengenai mana-mana surah di dalam
al-Quran kepada seseorang dan individu itu perlu menyambung bacaan berkenaan.
Menurut Ustaz Munhameer, dia sentiasa mahu meluaskan lapangan dakwah dengan pelbagai cara, jika dulu mungkin di surau atau masjid sahaja, tetapi kini dengan platform yang pelbagai beliau boleh memanfaatkan ruang yang ada dengan kandungan berfaedah.

Ketika beriadah Ustaz Munhameer turut menemui orang awam untuk Tebuk al-Quran.
Tambahnya, dengan
memberi tumpuan sepenuhnya di samping galakan daripada ibu bapanya beliau
berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran dan memperoleh Syahadah al-Quran
pada tahun 2008, kemudian melengkapkan pengajian Daurah Hadis selama lapan
tahun yang tamat tahun 2018.
“Dengan
latar belakang pendidikan agama yang kukuh ini menjadi asas kepada saya dalam
menyusun kandungan dakwah yang dihasilkan termasuklah aktiviti Tebuk al-Quran menerusi
media sosial bagi menarik lebih ramai masyarakat mendalami ilmu al-Quran
terutama dalam kalangan generasi muda.
“Saya mula mempelajari al-Quran sejak usia lapan tahun di sebuah pusat tahfiz di Kota Kinabalu, Sabah sebelum meneruskan pengajian di Kedah dan Johor bukanlah suatu untuk mendabik dada malah ada mereka yang lebih hebat lagi di luar sana.

Ustaz Munhameer (tengah) bersama pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Ibnu Abbas, BTHO tempat beliau mengajar dengan berkongsi ilmu al-Quran.
“Saya berasa
amat bersyukur dapat berkongsi ilmu mempelajari serta mendalami al-Quran dengan
masyarakat menerusi dakwah digital ini seperti mana turut dilakukan oleh ramai ustaz,
pendakwah serta guru agama dalam memikul tanggungjawab menyebar luas ilmu agama
Islam,” ujarnya yang juga salah seorang ahli jawatankuasa sebuah pusat tahfiz
di Tanjung Karang, Selangor.
Antara
keunikan Ustaz Munhameer yang juga dikenali menerusi TikTok dengan nama Abang
Tamanna bukan sekadar latar belakang akademiknya, tetapi pendekatan kandungan
yang unik dan spontan menjadikan daya tarikan orang ramai untuk mengikutinya.
Nama Abang Tamanna digunakan Ustaz Munhameer bersempena beliau menjalankan perniagaan minuman ‘Yogurt Tamanna” yang diinspirasikan daripada resipi Lubnan sebagai sumber pendapatan sampingannya.

Ustaz Munhameer (dua dari kiri) bersama rakan-rakan yang memberi sokongan perniagaan air minuman ‘Yogurt Tamanna” yang diusahakan.
Namun begitu nama sebenar Abang Tamanna digunakan dalam TikTok itu diambil daripada tajuk sebuah nasyid dalam bahasa Urdu, iaitu “Tamanna Muddaton Se hai”.
Nasyid itu membawa maksud “Kerinduan yang telah lama terpendam di dalam hati untuk melihat keindahan wajah Al-Mustafa, Nabi Muhammad SAW.”
Ustaz Munhameer
berkata, idea Tebuk al-Quran bermula secara tidak dirancang apabila dia membuat
panggilan telefon kepada adik kandungnya untuk menyambung ayat al-Quran yang
beliau dahulukan bacakan sebahagian Surah Hud sebelum adiknya menyambung bacaan
dengan lancar serta menggunakan taranum.
Tambahnya, rakaman spontan itu kemudian dimuat naik ke TikTok dan tidak disangka mendapat sambutan luar biasa sehingga hampir enam juta tontonan yang membuka ruang kepada dia untuk terus menghasilkan kandungan dengan konsep sama.

Ustaz Munhameer melaksanakan tugas sebagai Imam Rawatib di Surau As-Siddiq.
Menurutnya,
dalam rakaman video berikutnya yang membabitkan ramai pelajar tahfiz secara
tidak langsung mendedahkan kemampuan mereka menyambung bacaan al-Quran dengan
lancar secara spontan beserta menggunakan taranum yang indah menarik perhatian
penonton disamping turut memberi inspirasi kepada ramai orang untuk menghargai
keindahan bacaan al-Quran.
Jelasnya,
rentetan itu dia mula mengembangkan rakaman video dengan mendekati masyarakat
secara lebih luas yang tidak lagi terhad kepada pelajar tahfiz, sebaliknya ambil
langkah berani menyantuni orang awam di pelbagai lokasi seperti kawasan tumpuan
ramai, pasar raya, kedai atau pada program masyarakat.
“Namun begitu saya tetap melakukan berhati-hati terutama apabila bertemu orang awam untuk membuat rakaman video dengan memaklumkan tujuannya dan meminta keizinan terlebih dahulu dan ia berbeza jika bertemu pelajar tahfiz kerana Tebuk al-Quran akan dilakukan secara spontan.
Ustaz Munhameer menyampaikan kuliah agama di Surau As-Siddiq.
"Sebagai
mewarnaikan lagi kemeriahan aktiviti Tebuk al- Quran, saya turut menghasilkan
video berbentuk kuiz Islamik spontan dengan mengajukan soalan berkaitan asas
agama seperti rukun iman, rukun Islam atau doa harian.
"Pendekatan
aktiviti secara santai ini mudah diterima orang ramai khususnya dalam kalangan remaja
kerana ia berlangsung secara tidak terlalu formal supaya mesej agama dapat
disampaikan secara ringan dan bukan seperti kuliah di samping mempunyai nilai
positif serta memberi manfaat kepada penonton,” ujarnya.
Sesuatu yang tidak diduga Ustaz Munhameer apabila pada 7 Mac 2026 lalu, beliau menerima jemputan dari FELCRA Berhad untuk hadir ke Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak, untuk ditemubual bersama Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ingin mengetahui aktiviti Tebuk al-Quran.

Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sesi Tebuk al-Quran bersama Ustaz Munhameer.
Ustaz
Munhameer, berkata dalam temu bual itu dia mengadakan Tebuk al-Quran untuk Dr
Ahmad Zahid dengan membaca petikan Surah Yasin yang dapat disambung TPM dengan
tenang serta sempurna bacaannya dan terbukti sesibuk mana seorang pemimpin negara
masih menitikberatkan menghafal al-Quran.
“Pertemuan dengan TPM ini sebagai satu cabaran bagi saya apabila turut menerima galakan daripada Dr Ahmad Zahid supaya meneruskan usaha murni memartabatkan al-Quran kepada orang ramai terutama menarik minat anak muda supaya lebih dekat dengan al-Quran dan nilai-nilai Islam disamping ia satu tugas mulia,” katanya. - KitaReporters

Ustaz Munhameer (tiga dari kiri) merakamkan kenangan bersama sebahagian Ahli Jawatankuasa Surau As-Siddiq yang banyak memberi sokongan kepada aktiviti Tebuk al-Quran beliau.
