MENYANTUNI penduduk dan keluarga ditimpa musibah menjadi teras utama UMNO Bahagian Batu Pahat, Johor dalam situasi pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan sekarang. Sehubungan itu, program Ziarah Kasih Mingguan dan Tautan Kasih Muhibah menjadi program utama UMNO bahagian itu. : KitaReporters


Dr Mohd Puad Zarkashi (duduk, berbaju merah) berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk dalam DUN Penggaram untuk mendengar masalah mereka khusus warga emas yang uzur. 


Lagi kisah-kisah berkaitan Batu Pahat:

https://kitareporters.com/search?search=Batu+Pahat


Kedua-dua program berkenaan membabitkan sebahagian besar ahli UMNO terutama ahli Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) terbabit untuk mendampingi rakyat yang terkesan.  

Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersama-sama ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu dan JPKD Penggaram menyantuni tiga penduduk di Taman Sri Penggaram yang uzur sejak beberapa bulan lalu pada pagi Jumaat 20 November 2020. 



Dr Mohd Puad (tengah) bersama-sama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Batu Pahat, ahli JPKD dan ketua kampung dalam Program Ziarah Kasih Mingguan di DUN Senggarang pada 20 November 2020.


Beliau yang juga merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, menziarahi Zainab Husin, Zainab Ali dan Khadijah Jaafar untuk melihat dengan lebih dekat keadaan warga emas itu yang uzur dan sakit

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mat Tap yang dihubungi, berkata Dr Mohd Puad memberi kata-kata perangsang kepada warga emas terbabit sambil menghulurkan sumbangan untuk meringankan bebanan keluarga mereka berikutan situasi PKPB sekarang.

Menurutnya, selepas itu dalam majlis berasingan pada sebelah petang hari yang sama, Dr Mohd Puad menyantuni pula tiga penduduk yang menetap di Kampung Bukit Batu, Parit Simpang dan Parit Tariman bersama-sama ahli JPKD Senggarang.


Dr Mohd Puad (dua dari kiri) menghulurkan sumbangan UMNO Bahagian Batu Pahat kepada warga emas yang uzur di DUN Senggarang.


“Dr Mohd Puad yang juga Pengerusi JPKD Senggarang meluangkan masa untuk menziarahi warga emas yang uzur iaitu Siti Aminah Yusof;  mantan ketua kampung, Md Esa Aliman dan Noriah Manap yang kematian suaminya pada Oktober 2020, iaitu bilal Surau An-Nur Kampung Bukit Batu.

“Kunjungan itu sekurang-kurangnya memberi gambaran sebenar kepada penduduk bahawa walaupun tidak memegang jawatan penting dalam kerajaan tetapi sebagai pemimpin UMNO tetap turun padang berkhidmat untuk rakyat,” katanya yang juga Pengerusi Teraju Kebajikan UMNO Batu Pahat. 


Zaidi Jappar (duduk) menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebanan penduduk yang menghadapi musibah dalam Program Tautan Kasih Muhibah anjuran Biro Kebajikan Muhibah JPKD DUN Penggaram.


Sementara itu, di lokasi berasingan Pengerusi JPKD Penggaram, Zaidi Jappar bersama-sama ahli UMNO dan jawatankuasa JPKD  berkenaan melaksanakan Program Tautan Kasih Muhibah dengan menziarahi penduduk  daripada 12 keluarga yang memerlukan perhatian dan bantuan dalam DUN Penggaram, pada pagi Jumaat itu juga.

Mohd Hamidi berkata, Zaidi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu,  menyantuni penduduk seperti ibu tunggal, isteri yang baru kematian suami, uzur kerana sakit serius seperti asma, kanser, kencing manis, miskin dan mereka yang diberhentikan kerja. 


Seorang warga emas menerima sumbangan daripada Zaidi (tiga dari kanan) sambil disaksikan ahli Jawatankuasa JPKD DUN Penggaram, MCA dan PAS.


Menurut beliaunya, program ziarah yang dikelolakan oleh Biro Kebajikan Muhibah JPKD berkenaan turut disertai ahli jawatankuasa PAS, MCA dan MIC Batu Pahat yang turut sama turun padang bagi mengenal pasti masalah rakyat.

“Walaupun dari parti berbeza tetapi kita tetap bermuafakat dalam membela nasib rakyat terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19 bagi memastikan mereka tidak terbiar tanpa pembelaan sewajarnya,” kata Mohd Hamidi yang juga merangkap Pengerusi Kebajikan JPKD Penggaram. - KitaReporters

20
2
0
0
1

Copy Link: