Untuk mengekalkan keaslian masakan tradisional penting sebagai identiti warisan supaya tidak lenyap ditelan zaman, justeru langkah perlu dicapai dengan penggunaan bahan segar bukan setakat santan asli, sayuran, rempah ratus dan bahan mentah berkualiti tinggi.


Pak Ayub Syafii (dua dari kanan) dan Omar Achong mengacau bubur lambuk supaya tidak berkeladak di bahagian bawah.


Sehubungan itu, Geng Bubur Lambuk Surau As-Siddiq (SAS), Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, mengimport terus udang kering dan ikan bilis segar baru siap diproses dari Sandakan, Sabah, menjadi bahan mentah utama untuk mengekalkan keaslian rasa masakan itu.

Ketua Tukang Masaknya, Ayob Syafii, berkata untuk mendapatkan bekalan udang kering dan bilis segar itu dia tidak menghadapi masalah kerana mempunyai ramai kenalan yang mengusahakan produk berkenaan di Sandakan bersetuju menghantar kepadanya.


Geng Bubur Lambuk SAS menyusun pek yang diisi bubur lambuk untuk diagihkan.


Menurutnya, dia mengenali mereka itu ketika bertugas beberapa tahun sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sana dan sudah mengetahui kenalannya menghasilkan udang kering dan ikan bilis daripada sumber jenis yang terbaik.

Tambahnya, beliau mengambil langkah mengimport dua bahan mentah itu bagi mengekalkan ‘kemanisan’ keaslian rasa bubur lambuk SAS yang dimasak mengikut kaedah dan cara orang Perak kerana sudah berjaya memikat hati komuniti BTHO sejak projek pertama tahun 2025.

“Saya dan Geng Bubur Lambuk yang lain tidak mahu mengecewakan hati orang ramai terutama jemaah surau yang mengambil menu ini secara percuma tidak berasa kecewa malah akan mengenali melalui rasanya bahawa ia adalah dari SAS,” ujarnya yang juga dikenali dengan panggilan Pak Ayub ketika ditemui pada program terakhir Bubur Lambuk SAS, 10 Mac 2026.


Rohaimi Zainol menyampaikan agihan bubur lambuk kepada Anggota Balai Bomba BTHO.


Pada setiap program itu selain ahli geng berkenaan ramai juga rakan dan jiran setaman datang bergotong-royong berganding bahu memasak bubur lambuk berkenaan termasuklah group Yayasan Bunga Raya (YBR), Selangor yang turut hadir untuk berkolaboratif.

Program itu diadakan bermula pada 5 Februari, 26 Februari dan 10 Mac 2026 dengan menggunakan 15 kilogram beras untuk menghasilkan antara 450 dan 500 pek kemudian diagihkan kepada jemaah SAS, beberapa agensi kerajaan seperti bomba, Klinik Kesihatan BTHO, Balai Polis Komuniti BTHO dan sebagainya.

Seorang ahli geng berkenaan, Omar Achong, berkata di samping udang kering dan ikan bilis dari Sandakan mereka turut menggunakan daging, udang, sayur-sayuran segar bagi memastikan aktiviti SAS berkenaan terkesan di hati orang ramai khususnya apabila menikmati bubur lambuk yang dimasak.


Bubur lambuk dimasukkan dalam jag besar sebelum dituang dalam pek.


Pak Ayub (tiga dari kiri) bersama-sama Geng Bubur Lambuk SAS pada 10 Mac 2026.


"Kita sudah bersepakat untuk memasak bubur lambuk ini seperti tahun sebelumnya dengan penuh ikhlas serta kasih sayang malah menjadi menu utama sebagai pembuka selera apabila berbuka puasa bersama keluarga,” ujarnya.

Rakan beliau, Rohaimi Zainol, berkata fokus utama dalam menjayakan program bubur lambuk itu antara lain salah satu aktiviti SAS merapatkan ukhuwah komuniti di BTHO yang berasal dari pelbagai negeri di samping mengimarahkan surau untuk datang solat berjemaah dan mengikuti pengajian agama diadakan.

“Semangat yang ditunjukkan oleh group YBR untuk hadir berkolaboratif memasak bubur lambuk ini menjadi contoh terbaik untuk kami memupuk semangat kejiranan dan kerjasama hidup dalam satu komuniti besar di BTHO,” katanya.


Muzaffar Anas menyerahkan sumbangan bantuan raya kepada seorang asnaf, Abdul Hamid Hassan.


Sementara itu, dalam majlis berasingan 46 keluarga asnaf sekitar BTHO menerima sumbangan bantuan raya daripada SAS yang disampaikan pengerusinya Muzaffar Anas. 

Setiausaha SAS, Khairi Ghani berkata, sumbangan bantuan raya itu sudah dilaksanakan lebih tiga tahun lalu dalam usaha membantu dan meringankan bebanan keluarga terbabit membuat persiapan menyambut satu syawal.

“Kita semua faham dalam situasi ekonomi sekarang bermacam-macam perkara menimpa keluarga yang tidak bernasib baik seperti suami hilang pekerjaan, manakala ada pula yang uzur dan amat memerlukan bantuan,” ujarnya.

Bagi asnaf yang menerima sumbangan untuk keluarga mereka, Abdul Hamid Hassan dan Ahmad Kamal Mohamed, berkata sumbangan bantuan raya SAS itu dapat menampung perbelanjaan untuk membeli pelbagai barangan asas menyambut satu syawal.

“Kami amat bersyukur di atas keprihatinan SAS memberi sumbangan ini dan akan memanfaatkan untuk keluarga terutama anak-anak supaya tetap ceria dan gembira meraikan Adilfitri dengan persiapan yang seadanya,” kata mereka. 

Sebahagian asnaf merakamkan kenangan bersama Muzaffar (empat dari kiri) selepas menerima sumbangan bantuan raya.

17
11
1
12
0

Copy Link: