Pelita Mahabbah Ramadan! 60 anggota Palapes tabur bakti! Kerja membersih, memasak juadah berbuka!
Published byPasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) menitikberatkan kejujuran, keikhlasan dan semangat keperwiraan yang tinggi selaras dengan nilai ketenteraan disebabkan itu latihan mereka ke arah membentuk disiplin diri dan keupayaan kepemimpinan yang dikagumi.

Anggota Palapes berganding bahu membersih kawasan masuk pintu utama PJNH.
Rentetan itu 60 anggota Palapes menterjemahkan nilai ketenteraan itu dalam mengutamakan nilai kejujuran dan keikhlasan termasuk dalam komuniti masyarakat menerusi program Pelita Mahabbah Ramadan bertemakan ‘Simpulan Cinta Menyantuni Warga Emas’ di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor pada 5 Mac 2026.
Program anjuran Exco Palapes di bawah Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak itu mendapat kerjasama Palapes Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI (Kasih).

Angota Palapes memasang beberapa kemudahan utiliti untuk keselasaan warga emas.
Pengarah program berkenaan, Muhammad Adam Aziean, berkata objektif program itu antara lain untuk menyemai nilai kasih sayang, empati dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa khususnya anggota Palapes melalui aktiviti
kebajikan yang membabitkan warga emas.
Tambahnya, program itu bukan sahaja bertujuan untuk memberi kegembiraan dan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan, malah menjadi medium pembentukan sahsiah dalam kalangan mahasiswa yang seimbang, prihatin serta bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.
Jelasnya, melalui aktiviti dijalankan dalam program berkenaan anggota Palapes berpeluang untuk merasai sendiri erti memberi dan berkongsi, sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan dan memperkukuh jati diri sebagai pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berhati nurani dalam mendepani cabaran sosial.

Menyusun semula pelbagai barangan dalam stor PJNH selepas melakukan kerja pembersihan.
Menurutnya, menerusi program berkenaan juga secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara anggota
Palapes dari pelbagai institusi pengajian tinggi, malah amat jarang dapat diadakan aktiviti membabitkan kerjasama
seperti itu terutama dilaksanakan untuk komuniti masyarakat.
“Ia juga menggalakkan semangat kesukarelawanan dan kerjasama berpasukan melalui pelaksanaan aktiviti kebajikan di pusat jagaan di samping memberi sokongan moral dan keceriaan kepada warga emas melalui aktiviti interaktif,
pendidikan dan hiburan yang membina.
“Ia secara tidak langsung juga meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan anggota Palapes terhadap tanggungjawab mereka sebagai ejen perubahan masyarakat, membina jati diri dan nilai keinsanan sebagai bakal pendidik yang beretika, prihatin serta berjiwa rakyat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.
Turut hadir, Penasihat program itu, Shakila Mohd Idris; Pengetua Kolej Aminuddin Baki UPSI, Zulkifli Mamat; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado dan Pengurus PJNH, Kairul Ahmad.

Muhammad Adam Aziean (kanan) menyantuni Shakila Mohd idris melakukan gimik perasmian program berkenaan.
Program itu dimulakan dengan ‘energizer games’, diikuti aktiviti bergotong-royong membersihkan bahagian dalam
dan luar PJNH termasuk bilik warga emas, stor tempat penyimpanan pelbagai barangan, di samping beramah mesra dalam memupuk elemen kasih sayang.
Manakala sebahagian anggota Palapes bergegas ke dapur untuk memasak juadah berbuka puasa serta berakhir dengan solat magrib, isyak dan solat sunat tarawih berjemaah.
Berucap merasmikan program itu, Shakila, berkata program berkenaan membuktikan komitmen tinggi dan disiplin anggota Palapes berkhidmat untuk masyarakat khususnya membantu PJNH menyantuni warga emas di samping meringankan bebanan melaksanakan tugas menyelenggaraan seperti membersih bilik penghuni dan stor barangan.
Tambahnya, dia berharap anggota Palapes dapat terus memelihara nilai-nilai kemasyarakatan yang wajar diperkukuhkan supaya dapat terus menabur bakti apabila memegang jawatan dalam perkhidmatan dan sebagainya kerana masih banyak komuniti memerlu bantuan serta sokongan.
“Program ini juga sudah tentu memberi pengalaman baharu, contoh serta teladan baik supaya dapat dipraktikkan anggota Palapes untuk memberi khidmat sukarela kepada masyarakat dalam apa jua keadaan sekali pun,” katanya. - KitaReporters

Anggota Palapes bergotong-royong memasak juadah untuk berbuka puasa.

Anggota Palapes merakamkan kenangan bersama Shakila dan Mohiadin Bahado (duduk di tengah) selepas
selesai program Pelita Mahabbah Ramadan bertemakan ‘Simpulan Cinta Menyantuni Warga Emas’.
