Ibadat haji merupakan rukun Islam yang kelima yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam yang mampu. Pelaksanaannya merangkumi falsafah empat rukun Islam sebelumnya iaitu syahadah, solat, menahan kesabaran dan kesediaan berkorban harta. Justeru, pelaksanaannya perlu dihayati dengan sepenuh jiwa.


Murid Tadika Nur Qalam mendengar arahan Md Hairi Salimin (kiri) untuk melalukan ibadat haji.


Kurikulum Pendidikan Islam di bawah Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) menggariskan murid mesti didedahkan dengan teori ibadat haji seawal usia empat tahun, namun pembelajaran teori tanpa disokong oleh praktikal menjadikan pembelajaran kurang berkesan dan tidak menyeronokkan.

 Justeru itu, pihak pengurusan Tadika Nur Qalam (TNQ), Eco Majestic, Semenyih, Selangor, mengambil inisiatif untuk melaksanakan Program Simulasi Haji Cilik 2026 (kali kelima) supaya murid memahami bukan sekadar teori, malah menjalani pengalaman separa sebenar mengenai ibadat mulia itu dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan bukan hanya sekadar membaca daripada buku.


Memberi tumpuan kepada penerangan mengenai ibadat haji menerusi tayangan video.


Program Simulasi Haji Cilik itu memberi pendidikan praktikal yang mendedahkan murid kepada rukun Islam kelima dengan melalui replika Kaabah, tawaf, saie dan wukuf. 

Bagi TNQ program berkenaan menjadi acara tahunan untuk memberi kefahaman awal dengan cara santai serta interaktif.

Pengetua TNQ Eco Majestic, Siti Shahida Sha’ari, berkata setiap langkah ibadah haji direka bentuk supaya mudah difahami murid dan paling penting ia tidak membosankan, sebaliknya mereka terbabit kekal memberi tumpuan dengan panduan pengajaran yang mudah.

Tambahnya, murid memakai pakaian ihram putih untuk lelaki manakala pakaian menutup aurat bagi perempuan, mengelilingi replika Kaabah mini mengikut arah jam untuk tawaf, berjalan atau berlari anak-anak untuk bersaie antara replika Bukit Safa dan Marwah turut dipraktikkan.


Tawaf dengan mengelilingi Kaabah turut didedahkan dalam program berkenaan.


Jelasnya, bagi melengkapkan ibadah haji itu, berwukuf dan melontar turut didedahkan kepada murid apabila diminta berhimpun di “Padang Arafah” untuk mendengar tazkirah serta melakukan simulasi melontar jamrah menggunakan batu kecil juga diadakan.

“Program yang diadakan setiap tahun ini sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak khusus ibu bapa apabila berasa seronok serta bersyukur anak mereka mendapat pendedahan ibadah haji sejak kecil,” ujarnya sambil menjelaskan program itu diadakan di Makkawy Travel & Tours, EcoHill, dengan membabitkan murid enam tahun, pada 27 April 2026.

Program itu mendapat bimbingan daripada Pengarah Urusan Makkawy Travel & Tours, Md Hairi Salimin.


Siti Shahida Sha'ari menemani murid-murid ketika memberi tumpuan kepada penerangan mengenai ibadat haji.


Siti Shahida berkata, program itu diharapkan dapat mengukuhkan kefahaman murid pada peringkat awal terhadap topik ibadat haji termasuklah dari segi mengetahui etika pemakaian ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menurutnya, pada umur sebegini juga mudah untuk mengajar mereka menghafal, membaca dan menyebut lafaz niat serta doa dalam setiap amalan haji serta senang bagi memahami disamping melakukan amali wajib dan rukun haji seperti tawaf, melontar jamrah, wukuf dan sebagainya.

“Program ini diharapkan memberi banyak manfaat dan pengalaman yang menyeronokkan kepada murid terbabit serta menjadi dorongan untuk mereka menyimpan hasrat  menunaikan haji pada usia muda.

“Pihak TNQ mengucap ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang memberi kerjasama amat baik bagi menjayakan program ini justeru ia mengeratkan lagi ukhuwah antara petugas di tadika dengan mereka dalam usaha memberi pendidikan terbaik,” katanya.


Md Hairi Salimin bersama-sama murid-murid Tadika Nur Qalam yang menerima sijil Program Simulasi Haji Cilik.

15
13
0
7
0

Copy Link: